Hadiah hari merdeka, harga minyak naik lagi?

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Rakyat mendapat hadiah istimewa sempena menyambut Hari Kemerdekaan tahun ini apabila harga petrol dipercayai akan mula naik mulai tengah malam ini.

Menurut sumber, Ron 95 akan naik dari RM1.75 ke RM1.80 malam ini manakala F1 akan naik dari RM1,80 ke RM2.05. Bagaimanapun sehingga kini tidak ada sebarang pengumuman rasmi mengenainya.

"Ketika ekonomi rakyat meleset dan bakal berhadapan dengan hari raya Aidil Fitri, inilah hadiah kerajaan BN kepada kita," kata Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS.

PAS bersama dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat serta NGO prihatin telah beberapa kali membantah kenaikan minyak sehingga ramai antara mereka terpaksa bermalam dalam lokap.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan debat khas dengan Menteri Penerangan sebelum ini, Datuk Ahmad Shabery Cheek bagi membincangkan isu kenaikan harga minyak ini.

Dipercayai, kenaikan kali ini akan membuatkan kemarahan rakyat kembali semula dan bakal menjana protes sekali lagi.

Ini kerana, barangan keperluan harian sebagaimana biasa akan naik menjelang hari perayaan nanti.

"Kenaikan harga minyak akan menambahkan lagi beban rakyat," kata Salahudin. _

Sumber : Harakahdaily

Pilihan raya kecil lagi?

Pilihan raya kecil DUN Kota Seputeh? SPR putuskan Selasa ini

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Selasa ini bagi memutuskan status kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Seputeh, Kedah iaitu sama ada perlu diadakan pilihan raya kecil ataupun sebaliknya.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya akan meneliti semua aspek dengan tumpuan kepada soal perundangan sama ada kerusi itu perlu dianggap kosong, sekali gus mengadakan pilihan raya kecil.

SPR mempunyai kuasa muktamad untuk mengisytiharkan kekosongan mana-mana kerusi dan diadakan pilihan raya kecil.

"Kita akan bincang semua aspek secara menyeluruh, mempertimbangkan dari segi perundangan dan dari segi moral tetapi lebih kepada soal undang-undang," katanya lagi.

Jika diputuskan wujud kekosongan sudah pasti pilihan raya kecil akan diadakan, kata beliau.

SPR telah mengadakan pilihan raya kecil yang kelapan pada 25 Ogos lalu - sejak selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Sehubungan itu, kata Aziz, pihaknya akan memaklumkan keputusan SPR kepada Speaker Kedah.

"Oleh kerana Speaker telah menulis surat kepada kami, kami akan memaklumkan Speaker hasil keputusan mesyuarat khas ini... mesyuarat ini hanya membincangkan isu kerusi Kota Seputeh," kata beliau kepada mStar Online ketika dihubungi.

Pilihan raya kecil itu menjadi sebutan banyak pihak ekoran kemungkinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Seputeh, Datuk Abu Hassan Sarif - dari Umno-BN - digugurkan daripada jawatannya kerana gagal hadir dua kali sidang DUNtanpa kebenaran Speaker.

Oleh itu, SPR telah meminta pandangan penasihat undang-undangnya dan juga Jabatan Peguam Negara mengenai isu berkenaan.

Pada 18 Ogos lalu, Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail berkata, beliau sudah menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi. Lawannnya, Ismail Wan Teh dari PAS menerima 7,665 undi.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melahirkan harapan agar SPR akan mempertimbangkan keadaan Abu Hassan yang kurang sihat dalam menentukan sama ada kerusi tersebut kosong atau sebaliknya.

Muhyiddin berkata, SPR yang mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan sesebuah bahagian pilihan raya, sebagaimana disaksikan di Perak Februari lalu, akan ambil kira pertimbangan itu.

"Bagaimanapun kita akan akur dengan keputusan SPR, kita selalu akur dengan keputusan SPR, mana ada yang kita tidak akur," kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN.

Dalam pada itu, Wan Ahmad ketika dihubungi pagi tadi memberitahu mStar Online bahawa semua dokumen berkaitan dengan isu berkenaan sudah sedia ada.

"Semua dokumen, pandangan dan maklum balas sudah diterima. Kita hanya perlu mengadakan mesyuarat dan menentukan status kerusi ini," katanya.

Sumber : mstar

SIDANG DUN TETAP DITERUSKAN - JANGAN DENGAR KHABAR ANGIN

ADUN Pakatan Perak tetap hadir sidang DUN Rabu ini
IPOH, 30 Ogos: Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Pakatan Rakyat Perak akan hadir ke Sidang Dun Rabu depan seperti notis panggilan yang telah dikeluarkan speaker V.Sivakumar kepada mereka.

Ianya sekaligus mengenepikan arahan Speaker Barisan Nasional, Datuk R. Ganesan agar ADUN mengabaikan jemputan yang dibuat Sivakumar itu.

Menteri Besar Pakatan Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pagi tadi menegaskan bahawa Ganesan tidak layak berbuat demikian kerana bekas Adun Sungkai itu bukanlah Speaker Dun yang sah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Adun Pasir Panjang turut berkata, mustahil Ganesan boleh mengakui dirinya Speaker Dun Perak, sedangkan jawatan itu masih disandang V. Sivakumar secara sah sehingga sekarang.

"Dia (Ganesan) bukan Speaker yang sah. Dia tidak berhak berbuat begitu (menghalang sidang Dun Rabu depan) kerana Sivakumar masih Speaker yang sah. Dalam laporan Aturan Mesyuarat (Standing Order) Dewan Undangan Negeri, selagi Speaker (merujuk pada Sivakumar) masih ada di kerusinya, tidak ada orang lain boleh mempengerusikan persidangan."

"Jadi, persidangan tidak bermula pun. Ini kerana Speaker Sivakumar telah menunggu semua yang diarahkan keluar dewan berdasarkan Perintah Tetap 11, keluar dewan (Dun)," ujarnya ketika dihubungi.

Jelas Nizar, Sivakumar telah mengarahkan 7 Adun BN (Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, Hamidah Osman, Ramly Zahari, Dr. Mah Hang Soon, Saarani Mohamad, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Zainol Fadzi Paharuddin) yang digantungnya kerana menghina Dun Perak; tetapi mereka enggan mematuhi peraturan tetap Dun.

Sivakumar juga telah mengusir keluar 3 Adun Bebas iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kpt. (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) yang didakwanya sudah hilang kelayakan sebagai Adun disebabkan pengisytiharan kekosongan Dun, keluar dewan; tetapi mereka juga mengingkari perintah Speaker Sivakumar.

"Arahan Speaker (Sivakumar) waktu itu sah. Mereka (Adun BN) sedar, mereka sudang hilang majoriti (di dalam Dun). Jadi, mereka heret Sivakumar keluar secara paksa sebelum lantik Ganesan. Itu (Ganesan) Speaker haram namanya." ujarnya lagi.

Ditanya tentang sidang dun Rabu depan sudah mendapat perkenanan Tuanku Sultan atau tidak, Nizar menjelaskan bahawa bidang kuasa Tuanku Sultan untuk memanggil sidang Dun sebenarnya pada permulaan penggal kerajaan memerintah sahaja.

"Artikel 36 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak hanya digunapakai untuk permulaan sesuatu sesi Dewan ataupun apabila Dewan bermula selepas sesi itu tamat. Artikel ini tidak boleh diguna pakai dalam keadaan setelah Dewan ditangguhkan dan dipanggil semula untuk bermesyuarat dalam sesi yang sama." tambahnya.

Beliau yang dikenali sebagai ikon 'Politik Baru Malaysia' sewaktu pilihanraya kecil Bukit Gantang, April lalu, turut memaklumkan bahawa persiapa Dun Perak kali ini telah dibuat lebih rapi, sejak enam bulan yang lalu.

Pihak Polis dan FRU tidak boleh lagi menghalang sidang Dun tersebut dari terus berlangsung, sebagaimana yang pernah mereka lakukan dalam peristiwa 'Perak Yang Gelita' (1Black Perak), 7 Mei lalu.

"Saya berasa ia (Perak Yang Gelita) tidak akan berlaku kerana Tuan Speaker (Sivakumar) telah membuat suatu persiapan yang lebih serius sejak enam bulan lalu. Sivakumar telah memohon daripada Mahkamah Tinggi Ipoh supaya ianya (sidang dun) tidak akan dihalang Polis dan FRU."

"Kami (Pakatan) merasakan kalaulah kemasukan kami (ke Dun) itu dihalang kerana mahkamah tidak memberikan pengisytiharan, maka ia sesuatu yang bertentangan dengan peraturan Panel Kod 124 Kanun Keseksaan. Polis dan FRU tidak boleh menghalang atau mengkasari kami. Sebab itu, kami (Pakatan Rakyat) meminta perintah Mahkamah supaya manghalang Ketua Polis Daerah dan FRU mengkasari kami dari menghadiri sidang dun depan," ujarnya lagi.

Nizar juga turut mempersoal kredibiliti Ganesan yang berani menganggap Sivakumar dan Pakatan Rakyat negeri seolah-olah menghina Tuanku Sultan Perak serta cuba merampas kuasa (kudeta) kerajaan negeri; sekiranya tetap mahu meneruskan sidang Dun Rabu depan.

"Yang menghina Sultan bukannya Sivakumar, Yang hina Sultan dan kemuliaan Dun Perak adalah Ganesan sendiri. Barisan Nasional lah yang kudeta (merampas kuasa) kerajaan negeri Perak dari Pakatan; yang sah mendapat mandat rakyat dalam pilihanraya umum ke-12 lalu." katanya.

Tambah Nizar lagi, Ganesan juga boleh dianggap sebagai perampas kuasa speaker Dun, kerana perlantikannya meragukan.

"Merujuk Perkara 36(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Nizar menegaskan bahawa apa-apa perlantikan pun (termasuk melantik Ganesan), mestilah selepas titah Tuanku (Sultan Azlan Shah). Dia (Ganesan) dilantik dalam kalangan mereka (Adun-Adun BN) di dalam dewan, sebelum Tuanku bertitah (setelah) dengan merampas kerusi Speaker, sedangkan Speaker (Sivakumar) masih ada dikerusinya. Itu yang meragukan."

Semalam, sebuah akhbar arus perdana melaporkan, Ganesan mengarahkan semua Adun Perak tidak menghadiri sidang Dun Rabu depan.

Beliau mendakwa Sivakumar cuba menyamar sebagai Speaker Perak dan seolah-olah cuba merampas kerajaan negeri dari genggaman Umno Barisan Nasional.

Mei lalu, Sivakumar mengeluarkan Notis Panggilan Sidang Dun Tergempar 11 hari lebih awal sebagaimana sah di diperuntukkan undang-undang, Perintah Tetap Dewan Negeri (PT)8(1).

Bagaimana pun, ianya dihalang dan terpaksa mengadakan sidang di bawah pokok.

Selepas kejayaan BN menghalang sidang Dun tergempar lalu, khalayak percaya Pakatan Rakyat akan berdepan cabaran yang lebih genting Rabu depan.

Sumber : Harakahdaily




Cakap Orang Mengigau

Tiada sidang DUN Perak Rabu ini

Speaker: Tindakan Sivakumar panggil sidang adalah pelik

IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R. Ganesan hari ini berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak tidak perlu menghadiri persidangan dewan yang dipanggil pada Rabu ini kerana arahan yang dikeluarkan adalah daripada sumber tidak sah.

Beliau berkata, tindakan ADUN Tronoh, V. Sivakumar memanggil persidangan itu adalah pelik kerana beliau bukan lagi Speaker.

Bercakap kepada pemberita di sini, Ganesan berkata, Sivakumar masih mahu "menyamar" dan bertindak sebagai Yang Dipertua dengan memanggil sidang sedangkan DUN tidak pun bercadang untuk mengadakan persidangan pada tarikh berkenaan.

"Saya juga ingin memaklumkan kepada semua ADUN supaya mengenepikan sebarang arahan atau dakwaan yang dibuat oleh ADUN Tronoh... ini berdasarkan kepada ketetapan dewan yang bersidang pada 7 Mei lalu antara lainnya, dengan suara majoriti telah melucutkan jawatan Adun Tronoh daripada jawatan Yang Dipertua dan selanjutnya melantik saya sebagai Yang Dipertua yang baru," katanya.

Semalam, Ganesan membuat laporan polis meminta siasatan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap Sivakumar berhubung perkara berkenaan.

Beliau berkata, ADUN Tronoh itu tidak mempunyai kuasa untuk memanggil sidang DUN dan usaha yang dibuatnya itu adalah tindakan yang bertujuan mahu mewujudkan keadaan tidak stabil dalam pentadbiran kerajaan negeri Perak.

ADUN pembangkang daripada PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pernah mencuba mengadakan persidangan Dewan pada Mac lalu tetapi tidak dibenarkan masuk ke dewan dan akhirnya 28 ADUN terbabit mengadakan persidangan di kawasan lapang berhampiran dan episod itu dikenali sebagai "Sidang DUN bawah pokok".

Ganesan menjelaskan bahawa mengikut peruntukan Artikel 36 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menyebut kuasa memanggil sidang DUN adalah kuasa mutlak Sultan Perak.

"Sidang DUN perlu mendapat pengisytiharan Sultan Perak yang mana baginda sendiri akan menentukan tarikh, masa dan tempat persidangan seterusnya akan diwartakan mengikut PerintahPerintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak. Ini amalan yang diikut sebelum ini," katanya.

Beliau berkata tindakan Sivakumar memanggil sidang DUN tanpa mendapat perkenan Sultan Perak boleh dianggap sebagai sebagai "rampasan kuasa" dan merupakan penghinaan serta penderhakaan kepada institusi diraja Perak.

Ganesan berkata, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mengikut peruntukan Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Sivakumar atau pihak terbabit dalam "sidang DUN" pada Rabu ini. BERNAMA

Sumber: mstar

Amaran Melayu Celup

Jangan cabar orang Melayu: Zambry
IPOH – Seni Silat Gayong merupakan warisan budaya Melayu yang perlu dipelihara dan menjadi pegangan kepada seluruh masyarakat Melayu di negara ini sebagai ilmu mempertahankan diri, bangsa, agama serta negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, seni silat itu merupakan lambang keagungan budaya Melayu yang seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh masyarakat Melayu khususnya generasi pewaris bangsa.

Menurutnya, generasi muda perlu memainkan peranan dan sedar akan kepentingan mempelajari serta memelihara warisan budaya identiti Melayu.

“Seni silat ini jugalah menjadi teras kepada kekuatan orang Melayu yang dapat membentuk perpaduan serta ketaatan kepada lunas undang-undang sebagaimana telah termaktub.

“Anak-anak Gayong perlu bersatu padu serta bekerjasama dan jangan sesekali bertelingkah sesama sendiri kerana ia kelak akan merugikan masyarakat Melayu kita,” katanya semasa ucapan aluan sempena Majlis Penyampaian Sandang Imam Khalifah Negeri, Lembaga Beradat Pertubuhan Seni Silat Gayong Bahagian Negeri Perak kepada beliau di kediaman rasmi, semalam.

Hadir sama, Ketua Penerangan Kerajaan Negeri merangkap Khalifah Besar Negeri, Datuk Hamdi Abu Bakar; Pengerusi Majlis Lembaga Beradat Negeri Perak, Datin Feridah Abu Johan; Pemangku Presiden Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM) Kebangsaan, Adiwijaya Abdullah dan Ahli Lembaga Warisan Amanah PSSGM, Sazali Salleh @ Datuk Meor Abd Rahman.

Zambry berkata, penganugerahan yang diterima merupakan satu amanat dan tanggungjawab untuk memastikan perjuangan bangsa Melayu tidak akan pudar serta tidak akan dilupakan.

Menurutnya, memandangkan perjuangan umat Melayu hari ini berada di persimpangan, kita dicabar dari segenap sudut, ditentang dari dalam dan luar serta dipukul seperti gelombang besar, bagi menguji semangat bangsa Melayu.

“Kita perlu sama-sama penuhi semangat perjuangan ini untuk mempertahankan jati diri orang Melayu serta memastikan warisan darah keperwiraan gayong Datuk Paduka Meor Abdul Rahman sentiasa mengalir dalam tubuh badan bangsa Melayu.

“Oleh itu, jangan sesekali mencabar kedudukan orang Melayu, institusi perlembagaan Raja-raja Melayu dan jangan menganggap dengan berdemonstrasi di jalan raya mereka anggap mereka handal, tapi mereka tidak tengok lagi amukan serta kepahlawanan Melayu,” katanya.

Beliau berkata, cabaran yang dibuat bukan bermaksud mengajak orang lain bertarung tetapi mengingatkan pihak tertentu jangan sesekali berani mengusik hak dan kepentingan orang Melayu yang telah sedia maklum.

“Justeru, kepada anak-anak gayong, sama-samalah kita mempertahankan perjuangan bangsa Melayu di bumi tercinta ini, jangan sesekali kita mengalah dengan ancaman anasir-anasir yang sememangnya cuba mengambil kesempatan di atas hak milik bangsa Melayu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

MB Kudeta umum insentif raya..

Siak, bilal dapat duit raya
IPOH – Seramai 1,975 siak serta bilal di seluruh negeri Perak bakal menerima bonus khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kesemua siak dan bilal bakal menerima RM500 setiap seorang sebagai sagu hati daripada pihak Kerajaan Negeri.

Menurutnya, bonus berkenaan adalah sebagai penghargaan terhadap pengorbanan mereka selama ini.

“Peranan mereka (siak dan bilal) ini adalah penting, terutamanya bagi mengurus serta menjaga masjid di seluruh pelosok negeri.

“Mereka telah mengurus dan menjaga masjid atau surau tanpa menerima apa-apa bayaran melainkan elaun berjumlah RM300 sebulan.

“Saya berharap agar perkara ini menjadi berita gembira buat mereka menjelangnya sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak,” katanya.

Zambry berkata demikian kepada pemberita setelah mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di pejabatnya semalam.

Hadir sama, Ketua Penerangan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar.

Zambry berkata, bonus berkenaan tidak diperuntukkan kepada para imam kerana difahamkan mereka (imam) ada menerima elaun berjumlah RM400 sebulan daripada pihak kerajaan.

Sumber: Sinar Harian

Berbuka Bersama DS Nizar

Ds Nizar menyampaikan tazkirah

Badar Al-Qubra PAS Kawasan Kampar pada 27/08/2009

Tempat : Masjid Jamek Kampar

Ds Nizar menyampaikan tazkirah selepas solat sunat tarawih

Setelah penat mengharungi jalan yang sesak di Permatang Pasir, hati rasa terubat bila dapat mendengar suntikan motivasi dari YB DS Nizar yang menyampaikan tazkirah ringkas di masjid Jamek Al Falah. Beliau meminta ahli jamaah masjid menghayati makna doa iftitah, ” Sesungguhnya Solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah ,Tuhan sekelian Alam.” Beliau menyatakan syukur kerana ramai orang dapat menjalani ibadah puasa, walaupun Allah memerintahkan syariat itu dengan satu ayat sahaja. Beliau kesal kerana ramai yang meringankan solat walaupun ayat yang menyuruh solat disebut lebih 60 kali dalam Al Quran. Ramai yang tidak solat kerana suasana yang tidak membantu mereka mendirikan solat. Antara lain pengaruh TV, program hiburan dan sebagainya.Bagaimana rakyat akan bersolat jika pemimpin mereka tidak bersolat.

Sumber : Raja Sedaka

Rakyat makin jelak dengan dakyah,tipu helah Umno-BN


KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Kemenangan mutlak buat Pakatan Rakyat. Rakyat makin matang dan tidak tertipu dengan dakyah Umno-Barisan Nasional (BN). Walaupun berdepan dengan pelbagai tipu helah dan taktik kotor BN, namun kemenangan jelas berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Pilihan raya kecil Permatang Pasir yang telah meletakkan Ustaz Mohd Salleh Man sebagai Adun yang sah membuktikan rakyat terutama pengundi di kawasan tersebut mulai muak dengan permainan politik yang kotor oleh Umno-BN.

ImageRakyat mulai sedar dan memberi mesej jelas kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa corak dan gaya yang dibawa melalui kepimpinannya bukan lagi sebagai 'candu' yang ditagih oleh rakyat.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan penolakan demi penolakan rakyat terhadap Umno dalam siri pilihan raya kecil sebagai isyarat mereka tidak menerima dasar kebangsaan parti itu.

ImageKetika mengulas kemenangan PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir beliau berkata, salah satu punca kekalahan Umno di DUN berkenaan ialah dasarnya yang bercanggah dengan Islam.

"Penolakan-penolakan yang begitu banyak terhadap Umno ni satu daripada sebabnya berpunca daripada dasar yang dibuat parti Umno. Parti yang memerintah sekarang ni tak betul dengan dasar Islam.

"Kelantan telah hampir 20 tahun guna dasar Islam dengan segala praktikalnya. Alhamdulillah dapat penerimaan daripada semua bangsa dan agama," ujar Menteri Besar Kelantan itu kepada pemberita selepas mesyuarat exco di pejabat setiausaha kerajaan baru-baru ini.

Dalam pada itu, penolakan demi penolakan serta kemenangan berturut-turut yang diperolehi Pakatan Rakyat dalam siri pilihan raya kecil adalah mesej dan amanat jelas untuk Najib dan barisan kepimpinannya dalam Umno-BN bahawa politik perkauman dan pembunuhan karektor tidak lagi menjamin peratusan undi bagi mereka.

Image"Meskipun berbulan-bulan diasak fitnah sebagai pengkhianat bangsa dan berhadapan pembelotan, jelas kemenangan ini membuktikan rakyat menolak politik acuan pimpinan Umno-BN yang memecahbelahkan,"jelas Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan semalam.

Isu pengkhianat bangsa yang ditonjolkan oleh pimpinan BN-Umno jelas memakan diri sendiri apabila rakyat terutamanya pengundi di Permatang Pasir memberikan undi yang tidak berbelah bagi terhadap calon PAS, Ustaz Salleh Man.

Rakyat sudah boleh menilai siapa pengkhianat sebenar apabila Anwar dalam siri ceramah dan kenyataan media mendedahkan isu penjualan tanah bangsa kepada tauke judi seperti di Genting Highlands.

Bagi diri Anwar, kemenangan dalam pilihan raya ini jelas menzahirkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap Pakatan Rakyat.

"Ia juga hasrat mereka (rakyat) yang sentiasa bergelora mahukan perubahan dan melihat masa depan Pakatan Rakyat yang lebih gemilang,"katanya.

Apa yang jelas kemenangan di Permatang Pasir adalah tamparan hebat kepada pimpinan Najib.

Ini disebabkan dalam tempoh 144 hari sebagai Perdana Menteri keenam, rakyat mula melihat dan jelak dengan gaya yang ditunjukkan Najib dan menolak politik perkauman yang cuba dimainkannya.

Image"Pengundi di Permatang Pasir memberikan sokongan jelas kepada Pakatan Rakyat walaupun Umno-BN melalui kempen terdesak mereka cuba memainkan isu perkauman dan agama,"jelas Penasihat dan tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang dalam blog peribadinya baru-baru ini.

Walaupun Umnno-BN cuba untuk menjadikan Permatang Pasir sebagai 'Manek Urai' yang didakwa sebagai 'kalah tetapi menang' namun, secara realitinya ia tetap sebagai satu kemenangan mutlak Pakatan Rakyat yang 'membelasah' 7-0 dalam siri pilihan raya kecil sejak tsunami pilihan raya ke-12 lalu.

ImagePilihan raya kecil Permatang Pasir yang merupakan pilihan raya kali kelapan diadakan selepas pilihan raya umum pada 2008. Ianya menyaksikan kekalahan Umno BN buat sekian kalinya dengan majoriti besar iaitu sebanyak 4551 undi.

Calon PAS Ustaz Salleh Man mendapat 9618 undi manakala calon BN, Rohaizat Othman mendapat 5067 undi.

BN hanya menang di DUN Batang Ai sementara di DUN Penanti, mereka tidak meletakkan calon.

Dalam lapan pilihan raya kecil iaitu tiga parlimen dan lima DUN yang ditandingi jelas menyaksikan rakyat menolak Umno BN walaupun pimpinan parti itu tetap mengatakan bahawa mereka masih diterima rakyat.

Bermula di Parlimen Permatang Pauh, menyaksikan Anwar mendapat majoriti yang besar iaitu sebanyak 15,671 undi mengalahkan calon BN, Dato' Arif Shah Omar Shah.

Di Parlimen Kuala Terengganu pula, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut menang dengan majoriti 2,631 undi menewaskan calon BN, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Seterusnya tiga pilihan raya kecil yang berlangsung serentak iaitu di Parlimen Bukit Gantang, Dun Bukit Selambau dan Dun Batang Ai menyaksikan Pakatan Rakyat menang dua daripadanya.

Di Bukit Gantang,Dato' Seri Muhammad Nizar Jamaluddin mengalahkan calon BN, Ismail Saffian dengan majoriti 2,789 undi. Di Dun Bukit Selambau pula calon PKR S.Manikumar mengalahkan calon BN, Dato' S.Ganesan dengan majoriti 2,403 undi.

Manakala BN hanya menang di Dun Batang Ai apabila calonnya Malcom Mussen Lamoh mengalahkan calon PKR Jawah Gerang dengan 1854 undi.

Atas pelbagai alasan, BN membuat keputusan tidak meletakkan calon di DUN Penanti. Seterusnya di Dun Manek Urai, calon PAS tetap berjaya menewaskan calon BN walaupun hanya dengan majoriti 65 undi.

Sumber: Harakahdaily

PERMATANG PASIR KEKAL MILIK PAS


TAHNIAH

KEPADA PARA PEJUANG-PEJUANG, INI ADALAH DI ANTARA UJIAN-UJIAN YANG ALLAH BERIKAN KEPADA KITA, UNTUK MENGHADAPI MEHNAH & TRIBULASI YANG MENDATANG.

ALLAHUAKHBAR