Tidak yakin pada Isa, Umno ugut pengundi

BAGAN PINANG, 30 Sept:Tidak yakin dengan kemampuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Umno-BN cuba pula mengekang pegawai kerajaan dan tentera dari menyokong Pakatan Rakyat.

Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Noh Omar semalam melarang pegawai kerajaan dari menyertai sebarang mesyuarat anjuran pembangkang.

Ketua Penerangan PAS Idris Hj. Ahmad berkata, tindakan Noh itu adalah cerminan sebenar tahap pemikiran menteri-menteri di Umno-BN.

"Umno kata punca Melayu mundur kerana PAS berpelukan DAP, sedangkan rakyat Malaysia sebenarnya dimundurkan dengan tindakan serta cara berfikir Menteri 1Malaysia seperti Noh,"jelasnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Idris turut menasihatkan Noh agar bersikap lebih demokratik dan nasional; kerana Menteri ini sarjana perundangan.

Tambahnya lagi, Noh sepatutnya fokus pada urusan kementerian, bukannya terlalu berpolitik.

Dalam perkembangan berkaitan, N31 bakal menyaksikan Isa menentang calon Pakatan Rakyat daripada PAS, Zulkefly Mohamad Omar.

Dalam pada itu, pada 21 Januari lalu, akhbar The Star melaporkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sewaktu menjadi Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), pernah mengugut penjawat kerajaan dari menyertai Pakatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pakatan ketika dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang menganggap politik ugutan sebagai politik lama Umno BN.

Tetapi, tanggapan sedemikian masih tidak kedengaran, biarpun Umno sekali lagi mengugut pengundi di sini, sejak semalam.

Sumber: Harakahdaily

Hizbut Tahrir mengancam PAS ?

Majalah Al-Islam telah membawa isu “Hizbut Tahrir” di Malaysia. Malangnya, tidak ramai yang memperdulikan fokus majalah berkenaan. Kepada para pendokong gerakan Islam, ianya dirasakan sebagai usaha untuk melaga-lagakan kumpulan-kumpulan Islam di Malaysia.

Isu tersebut juga tidak mendapat tempat kerana ianya dibawa oleh Astora Jabat yang sering dikenali dengan kontroversinya. Malang sekali, gerakan Islam di Malaysia, terutamanya PAS tidak menyedari bahaya yang dibawa oleh Hizbut Tahrir ini kepada masa depan perjuangan Islam di Malaysia.

Komen Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang mengenai Hizbut Tahrir di dalam majalah tersebut bagaikan tidak diendahkan oleh para pendokong PAS di seluruh Malaysia. Hakikatnya, gerakan Hizbut Tahrir membawa ancaman yang amat besar kepada masa depan PAS dan juga perjuangan menegakkan negara Islam di Malaysia.

Hizbut Tahrir yang ditubuhkan oleh Taqiyudin al-Nabhani dari Palestin pada tahun 1952 merupakan sebuah parti politik yang tidak terlibat dengan pilihanraya. Bagi Hizbut Tahrir, pilihanraya adalah sebahagian daripada sistem demokrasi yang kufur. Barangsiapa yang terlibat dengan sistem demokrasi, maka mereka berdosa dan juga bersyubahat dengan sistem kufur.

Mereka juga mengecam mana-mana pihak yang ingin memperjuangkan Islam melalui saluran demokrasi seperti PAS, Ikhwan Muslimin, Jamaat Islami, PKS di Indonesia, Refah di Turki dan lain-lain lagi. Gerakan Islam yang memilih jalan harmoni dan aman damai tersebut adalah berdosa menurut Hizbut Tahrir.

Bagi Hizbut Tahrir perjuangan yang paling utama umat Islam adalah untuk mengembalikan sistem Khilafah yang merupakan sistem Islam ciptaan Tuhan. Hanya dengan sistem khilafah sahajalah umat Islam akan dapat mengembalikan kehidupan Islam yang sebenarnya yag diredhai oleh Allah SWT.

Mereka juga percaya, perjuangan menegakkan khilafah “haram” dilakukan melalui saluran demokrasi yang aman. Mereka percaya ianya mestilah mengikuti metod Nabi yang mendahulukan peperangan pemikiran, kemudiannya revolusi pemikiran oleh umat semuanya, dan berakhir dengan revolusi politik.

Selagimana tidak tertegaknya khilafah, maka umat Islam akan berada di dalam keadaan berdosa. Mereka juga percaya bahawa segala permasalahan umat Islam di dalam dunia ini disebabkan tidak wujudnya sistem khilafah.

Di dalam proses terakhir untuk menegakkan khilafah di dalam sesebuah negara, Hizbut Tahrir mensyaratkan wajib bagi umat Islam untuk meminta pertolongan (nusrah) mana-mana kuasa yang kuat, sama ada Islam mahupun bukan Islam. Bagi mereka, jika Amerika sekalipun sudi untuk membantu umat Islam untuk membina khilafah, maka mereka boleh meminta nusrah daripada kuasa tersebut.

Sekarang ini Hizbut Tahrir telah mula berkembang di Malaysia kesan daripada kepulangan segelintir para pelajar dari UK yang terpengaruh dengan ideologi mereka. Kegiatan mereka di “bawah tanah” itu juga subur di kampus-kampus dengan kemasukan literasi-literasi Hizbut Tahrir dari Indonesia dan juga kemasukan siswa-siswa Indonesia di IPTA-IPTA tempatan.

UM, UIA dan juga UKM dikenal pasti sebagai pusat kegiatan Hizbut Tahrir yang pesat dan aktif di kalangan mahasiswa. Sebaran, program-program dan juga literasi mereka banyak didapati di kawasan-kawasan tersebut. Sebaran mereka yang bertajuk Soutun Nahdah (SN) juga boleh didapati di kampus-kampus dan masjid-masjid di seluruh Lembah Kelang. Pendekatan Hizbut Tahrir semakin menular di kampus-kampus.

Apa yang merisaukan para pendokong gerakan Islam, terutamanya PAS ialah pengaruh Hizbut Tahrir yang semakin menular di kalangan ahli-ahli PAS. Di kampus-kampus, ramai di kalangan mahasiswa GAMIS dan pro-PAS telah mula dipengaruhi oleh Hizbut Tahrir.

Kesan daripada pengaruh tersebut, mereka beramai-ramai meninggalkan perjuangan PAS yang didakwanya tidak islamik kerana terlibat dengan demokrasi. Oleh kerana demokrasi adalah sistem kufur, maka perjuangan PAS yang berlandaskan demokrasi adalah haram.

Hizbut Tahrir juga telah menyebabkan ramai pelajar-pelajar Islam yang termakan dengan dakyah mereka memulaukan pilihanraya kampus. Pilihanraya kampus yang didakwa sebagai sebahagian daripada sistem demokrasi itu adalah haram dan juga maksiat.

Tidak hairanlah bilangan mahasiswa Islam yang keluar mengundi semakin merosot, sekaligus memberikan kemenangan besar kepada kumpulan yang anti-Islam ataupun yang tidak Islamik. Keadaan ini juga dapat dikesan di beberapa buah IPT lain di mana Hizbut Tahrir bergerak secara aktif.

Terdapat juga di kalangan pendokong-pendokong Hizbut Tahrir yang telah bekerja terlibat di dalam usaha mempengaruhi aktivis-aktivis PAS. Kebanyakan tumpuan diberikan kepada para aktivis pemuda PAS. Di Lembah Kelang, di Kedah dan beberapa tempat di Pantai Timur, para pemuda PAS yang telah dipengaruhi oleh Hizbut Tahrir bertindak meninggalkan PAS dan memboikot pilihanraya.

Bukan sekadar mereka memboikot pilihanraya, malah mereka menghasut umat Islam dan juga masyarakat Islam agar melakukan perkara yang serupa. Natijahnya, orang yang dahulunya mengundi PAS di dalam pilihanraya 1999 tidak lagi keluar mengundi pada tahun 2004. Keadaan semakin parah jika yang dipengaruhi itu merupakan orang-orang kuat PAS. Apa yang membimbangkan, pengaruh Hizbut Tahrir semakin hari semakin meningkat di kalangan anggota-anggota PAS, terutamanya golongan mahasiswa.

Ruang demokrasi melalui pilihanraya dan juga mekanisme lain bukanlah sesuatu yang baru bagi PAS. Ianya telah diakui oleh dewan ulama PAS dan juga para cerdik pandai agama di dalam PAS semenjak dahulu lagi. Jika ianya tidak diambil oleh PAS yang ingin memperjuangkan Islam di Malaysia ini, maka vakumnya akan diisikan oleh UMNO.

Mungkin itu yang dikehendaki oleh Hizbut Tahrir. Bayangkan, jika umat Islam seMalaysia bertindak mengikut cara Hizbut Tahrir, maka bukan Islamlah yang akan berkuasa di Malaysia. Manakala umat Islam hanya duduk sambil menunggu kemunculan khilafah semata-mata.

Hizbut Tahrir juga sering menimbulkan kekacauan kepada segala apa yang dilakukan oleh PAS dan gerakan-gerakan Islam yang lain di Malaysia. Sewaktu Kelantan ingin mengemukakan draf hudud di Terengganu mereka muncul untuk mengkritik dan mempertikaikannya. Mudahlah kerja UMNO dengan apa yang telah dilakukan oleh Hizbut Tahrir.

Sewaktu Barisan Alternatif muncul dengan belanjawan, di mana pada waktu itu PAS merupakan antara yang terlibat, Hizbut Tahrir muncul untuk membantai belanjawan tersebut lewat sebaran mereka. Sewaktu PAS mengetuai demonstrasi hari buruh, Hizbut Tahrir muncul mengkafirkan sambutan hari buruh.

Sewaktu PAS menyokong sistem perbankan Islam, Hizbut Tahrir mengharamkan usaha tersebut. Sewaktu PAS sibuk berkempen pilihanraya, mereka menyeru umat Islam agar memboikot pilihanraya. Sewaktu PAS memprotes harga minyak petrol yang naik, mereka tidak menyokong dan mengatakan hanya dengan sistem khilafah sahaja minyak akan diberikan percuma.

Sewaktu PAS melakukan usaha-usaha membantu kerajaan HAMAS dan rakyat Palestin, Hizbut Tahrir menghentam HAMAS kerana terlibat dengan pilihanraya yang demokrasi. Hizbut Tahrir juga memperlekehkan usaha kempen derma USD1 untuk rakyat Palestin. Pendekatan, segala apa yang PAS dan juga gerakan-gerakan Islam yang lain lakukan adalah salah selagimana tidak wujudnya sistem Khilafah.

Apa yang pelik, Hizbut Tahrir ini tidak pula terlibat dalam usaha-usaha untuk berdakwah kepada masyarakat. Mungkin mereka beriman, jika turunnya khalifah yang mereka impikan itu dari langit, makan masyarakat bukan Islam akan secara automatik menjadi muslim.

Ketika aktivis-aktivis PAS ke Acheh, Pakistan dan Jogjakarta untuk melakukan usaha-usaha kemanusiaan, anggota-anggota Hizbut Tahrir pula sibuk menghentam PAS, PKS dan juga Jamaat Islami. Ketika umat Islam di Palestin dan juga para mujahidin HAMAS berhadapan dengan tentera-tentera rejim setiap hari, mereka pula sibuk mengharamkan HAMAS.

Di manakah logiknya perjuangan Hizbut Tahrir ini tidak dapat dilihat. Di manakah juga fiqh dakwah dan fiqh amal jamaie mereka, juga tidak dapat diketahui. Apa yang pasti, kewujudan mereka dan juga usaha hasutan mereka telah berjaya melemahkan perjuangan PAS di kalangan mahasiswa di kampus-kampus dan juga di kalangan para aktivis pemuda PAS.

Kita tidak mahu, satu hari nanti, apabila Hizbut Tahrir sudah mula mendapatkan kekuatan mereka, mereka akan berkempen agar umat Islam di seluruh Malaysia tidak keluar mengundi. Bayangkan, di kala PAS sedang berkempen untuk rakyat mengundi mereka untuk penegakkan hukum Islam, di waktu itu Hizbut Tahrir pula sibuk berkempen mengharamkan rakyat keluar mengundi.

Maka pada waktu itu, UMNO akan menang dengan begitu mudah, ataupun golongan bukan Islamlah nanti yang akan menguasai Malaysia. Pada waktu itu juga, usahkan khilafah, penegakan syariat Islam di Malaysia pun hanya akan menjadi utopia. Jika anda tidak percaya, sokonglah Hizbut Tahrir dan lihatlah apa yang akan berlaku nanti!

Dua pemimpin Pemuda Umno diberkas terbabit dadah

KUALA TERENGGANU: Polis menahan dua orang pemimpin Pemuda Umno bahagian setelah disyaki mengambil dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Tengah, Kijal, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Roslan Abdul Wahid, berkata kedua-duanya yang berumur 41 tahun itu adalah antara 74 orang yang diberkas dalam Ops Sepadu yang dijalankan oleh jabatan berkenaan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dan Kemaman.

"Seorang daripada mereka ditahan di ruang tamu di rumah berkenaan jam 9 malam, manakala seorang lagi ditahan bersama abangnya dalam sebuah bilik di rumah yang sama.
"Kita merampas satu tiub straw yang mengandungi dadah jenis heroin daripada seorang daripada mereka," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan air kencing yang dijalankan mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah.

Seorang daripada mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan polis setelah kenyataan diambil manakala seorang lagi bersama abangnya telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman sebelum dilepaskan dengan jaminan RM3,000 seorang.

Operasi itu dijalankan oleh 100 anggota dan pegawai dari cawangan narkotik di kawasan-kawasan panas di daerah Dungun dan Kemaman dalam usaha untuk membersihkan kawasan berkenaan daripada kegiatan pengedaran dan penagihan dadah. - Bernama

Biodata lengkap calon Pas PRK Bagan Pinang - Zulkefly Mohamad Omar

NAMA: ZULKEFLY MOHAMAD BIN OMAR

PROFESION: AHLI PERNIAGAAN

UMUR: 45 TAHUN

TARIKH LAHIR: 14/5/1964

KELULUSAN: MASTER SAINS (UPM) & IJAZAH KOMUNIKASI (UITM)

NAMA ISTERI: SAEIAH BINTI TARMIZI

ANAK:6 ORANG

AHMAD FAKHRURAZI 20 TAHUN

FARAH WAHIDAH 18 TAHUN

MOHAMAD FADLI 14 TAHUN

MOHAMAD FADHIL 11 TAHUN

FADHLIN SAKINAH 8 TAHUN

MOHAMAD FAWWAS 4 TAHUN

JAWATAN DALAM PAS:

PESURUHJAYA PAS NEGERI SEMBILAN- 2 PENGGAL (2007 - HINGGA SEKARANG)

TIMBALAN PESURUHJAYA PAS NEGERI SEMBILAN - 1 PENGGAL - (2005 - 2007)

SETIAUSAHA BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI SEMBILAN (2001-2005)

EXCO PEMUDA PAS PUSAT (2001 - 2005)

PEMANGKU KETUA PEMUDA PAS NEGERI SEMBILAN (2004 - 2005)

TIMBALAN KETUA PEMUDA PAS NEGERI SEMBILAN (2001 - 2004)

KETUA PENERANGAN PEMUDA PAS NEGERI SEMBILAN (1999 - 2001)

BENDAHARI DEWAN PEMUDA PAS SEREMBAN (1997 - 1999)

LAIN-LAIN JAWATAN:

1.PENGERUSI 'NO INCINERATOR' BROGA

2.TIMBALAN PENGERUSI TERAS KEUPAYAAN MELAYU NEGERI SEMBILAN

PENGALAMAN KERJA:

1.PENGARAH URUSAN, L & R ENTERPRISE SDN BHD.

2.PENGURUS KANAN, IS TECHNOLOGIES TELECOMMUNICATION SDN BHD.

3.PERANCANG PEMASARAN, TELEKOM MALAYSIA BERHAD.

4.EKSKUTIF PERHUBUNGAN KORPORAT, PUSAT ZAKAT SELANGOR.

5.PEGAWAI PERHUBUNGAN, KOPERASI CELCOM BERHAD.

6.PEGAWAI PERHUBUNGAN, BIRO ANGKASA.

Biar Ibrahim Ali jadi 'kupang tembaga'

PERMATANG PAUH, 29 Sept: Keceluparan Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan, Dato' Ibrahim Ali yang kini sedang bertikam lidah dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ada hikmahnya kata, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat,Mohamad Sabu.

"Siapa tidak kenal Ibrahim Ali yang suka melompat parti dan termahsyur dengan bila bagi betis dia hendak peha walhal perjuangannya tidak lagi releven dengan politik semasa. Tambahan lagi kerusi bebas yang dimenanginya atas lambang PAS pada pilihanraya umum ke-12 lalu adalah restu Menteri Besar sendiri yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri.

"Biar dia terjun dengan labu-labunya kerana itu yang dia mahu. Dia seorang yang tidak tahu berterima kasih bahkan melawan dengan begitu celupar sekali. Itu satu hikmah kerana selepas ini jika dia bertanding juga atas tiket bebas sama ada kunci ke.. bas ke.. pasti kalah, " terangnya.

Menurutnya,sewajarnya Ibrahim Ali bersama Pakatan Rakyat selepas kemenangan di Pasir Mas itu bukan menyendiri atas tiket bebas kononnya untuk memperbetulkan mana yang salah tidak kira parti mana sekali pun dalam parlimen.

Biarpun kata Mohamad, beliau acapkali bertegang leher dengan kepimpinan BN mengatakan kebenaran tetapi perjuangannya bukan kerana menjagai hak malahan perjuangannya lebih kepada pentingkan populariti.

Tetapi beliau yakin pada pilihanraya umum akan datang Menteri Besar Kelantan itu akan berhati- hati memberi mandat pada sesiapa yang dipilih sebagai calon terutamanya membabitkan penggunaan lambang bulan purnama.

"Tengoklah nanti apa akan jadi padanya bila kalah pilihan raya. Umno pun tidak layan, PAS tidak bagi peluang kedua, KeADILan pun macam tu, DAP pun turut menolak perjuangan lompat melompat dia akan jadi 'kupang tembaga' bersendirian tanpa kawan, " jawabnya

Pertikaman lidah berlaku apabila Menteri Besar Kelantan menasihati Ibrahim supaya kosongkan kerusi Pasir Mas kerana telah mengkhianati pengundi di situ apabila memberinya kemenangan untuk menyuarakan kebenaran bukan mencerca PAS dengan berbagai tuduhan yang kadang- kadang kenyataanya boleh meruntuhkan akidah.

Selepas teguran tersebut, Ibrahim Ali terus melatah dengan mendesak Menteri Besar Kelantan berundur kerana faktor tua, selalu sakit dan memberi peluang orang lebih muda menerajui Kelantan.

Bukan itu sahaja malahan beliau juga mengatakan 10 sebab kenapa Dato' Nik Aziz perlu letak jawatan sebagai Menteri Besar.

Sumber: Harakahdaily

PAS pula calonkan Zulkefly

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar diumumkan malam ini sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan.

pas bagan pinang candidate zulkefly mohamad omar.jpgPemilihan Zulkefly diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di pusat penyelarasan DAP bagi pilihanraya kecil berkenaan dekat Port Dickson.

Petang tadi, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pemilihan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN.

Dewan Harian PAS bermesyuarat petang tadi untuk memuktamad pemilihan calonnya di Bagan Pinang.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

Serah pada pengundi

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, Zulkefly berkata Pakatan Rakyat (PR) akan membuat perubahan bersama dengan kehendak rakyat.

zulkefly mohamad omar pas candidate“Kita bertanding untuk membela rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai peluangnya untuk menang, Zulkefly berkata, terpulang kepada pengundi untuk memilih wakil rakyat mereka.

Beliau yakin pengundi bijak untuk memilih wakil rakyat yang dapat berkhidmat untuk membela mereka.

Ditanya harapannya dalam piliharnaya kecil kali ini memandangkan beliau bukan anak tempatan, Zulkefly yang pernah tiga kali bertanding sebelum ini berkata:

“Saya anak watan Negeri Sembilan, cuma lain daerah sahaja. Kita boleh capai kemenangan untuk bawa perubahan kepada rakyat.”.

Ditanya mengenai calon BN - Tan Sri Isa Samad yang merupakan calon popular dan mendapat sokongan akar umbi - Zulkefly sekali lagi mengulangi bahawa terpulang kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat mereka.

Calon terbaik


Sementara itu, Hadi pula berkata, PAS memilih Zulkefly kerana beliau merupakan calon terbaik, muda dan berpendidikan tinggi.

Kepimpinan PAS, tegasnya, sebulat suara memilih Zulkefly bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

pas announce bagan pinang candidate 290909 crowds.jpgDitanya mengenai isu-isu yang bakal dibangkitkan dalam kempen dalam pilihanraya kecil tersebut, Hadi berkata: “Tunggu dulu”.

Hadi juga ditanya mengenai kemungkinan masalah dalaman Pakatan Rakyat di Selangor - ekoran teguran pesuruhjaya PAS negeri itu, Datuk Dr Hasan Ali supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dirombak kerana didakwanya telah 'memalukan' pegawai kerajaan - akan dijadikan isu di Bagan Pinang.

Menjawab soalan tersebut, Hadi berkata: "Masalah dalaman yang ditimbulkan oleh media akan diselesaikan. Tidakjadi masalah."

Hadi juga ditanya mengenai peluang PAS menang dengan meletakkan pesuruhjaya negeri itu sendiri bertanding di Bagan Pinang, memandangkan dalam pilihanraya umum tahun lalu, parti itu tewas di 12 daripada 13 kerusi DUN yang ditandinginya di Negeri Sembilan.

Dalam jawapannya, presiden PAS itu berkata: “Kita melihat perubahan, tujuh daripada lapan pilihanraya kecil (sejak pilihanraya umum tahun lalu) kita menang, ini satu perubahan, adanya anjakan paradigma di kalangan pengundi di Semenanjung.”

Ditanya mengenai pengundi pos yang berjumlah lebih 4,000 orang dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang, Hadi berkata, terserah kepada pemilih yang mempunyai hak untuk mengundi.

Sumber: Malaysiakini

Isa Samad calon BN di Bagan Pinang

Tan Sri Isa Samad diumumkan sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan.

isa samad bn candidateIsa, 59, merupakan ketua Umno bahagian Teluk Kemang dan bekas naib presiden Umno.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bilik operasi BN di Port Dickson hari ini.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

PAS pula akan mengumumkan calonnya malam ini.

Sebelum mengumumkan nama calon BN, Muhyiddin bertanya kepada para hadirin siapa yang mereka mahu, dan mereka menjawab: "Isa".

Sambil memetik slogan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Muhyiddin berkata "sebab rakyat didahulukan, rakyat nak?" disambut dengan laungan kuat "Isa".

Najib tiba sejurus selepas Muhyiddin mengumumkan calon BN itu pada jam 5.15 petang.

isa samad bagan pinang 02Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004.

Isa memenangi jawatan naib presiden Umno bagi penggal
2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi, iaitu undi tertinggi mengatasi Ketua
Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Bagaimanapun kemenangannya itu kemudiannya dibatalkan selepas didapati bersalah terhadap tuduhan amalan politik wang dalam pemilihan tersebut.

Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

Ekoran itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa Isa tidak seharusnya menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Jika tidak, kata Dr Mahathir, imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

Sumber: Malaysiakini


LAGI CERITA LEMBU

BANTAH:
Kira-kira 40 ekor lembu, kambing dan kerbau dibawa lebih 70 penternak yang tidak berpuas hati dengan sikap kerajaan Selangor yang didakwa tidak mempedulikan nasib dua penternak yang mengalami kerugian selepas ban di tapak pelupusan di Sungai Tua, Batu Caves, pecah, Khamis lalu. Perbuatan ahli Persatuan Ruminan Selangor itu menyebabkan jalan menghala ke bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sesak berikutan penternak meletakkan lori berisi ternakan di tepi jalan.

Sumber: Berita Harian Online

Ganesan, Speaker tidak sah - PAS Perak

IPOH, 28 Sept: PAS Perak tetap berpendirian, tindakan Adun Pakatan Rakyat untuk tidak menghadiri sidang DUN yang dipanggil Speaker yang dilantik Barisan Nasional (BN) Ganesan adalah langkah yang tepat.

Ini kerana, bagi mereka V. Sivakumar adalah speaker yang sah, manakala Ganesan adalah speaker yang tidak sah kerana cara Ganesan dilantik sebagai speaker adalah tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

Demikian kata Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain dalam kenyataannya.

Beliau menegaskan bahawa. Kedudukan Ganesan hingga kini masih lagi tidak sah dan tidak jelas. Dan beliau telah melanggar Perlembagaan Negeri yang melarang seseorang memegang dua jawatan dalam satu masa.

"Beliau masih jadi peguam sewaktu dilantik jadi Speaker Dewan. Sebenarnya yang bermasalah adalah Ganesan bukannya Yb V.Sivakumar.

Abu Bakar mengulas tindakan 28 Adun Pakatan yang tidak akan menyertai sidang Dun Perak akan datang yang dipanggil oleh Speaker Ganesan.

"Kita juga sedia maklum apa yang diputuskan dalam Sidang DUN 2 september baru-baru ini adalah sah dan sama statusnya dengan sidang yang diadakan dibawah pokok kerana dihalang oleh umno/bn untuk adun-adun PR masuk bersidang secara baik di dalam dewan sebelum ini dan ianya adalah sah kerana pada satu-satu masa hanya boleh ada satu DUN sahaja. DUN di pengerusikan Ganesan tidak sah kerana kuasa mempengerusikan sidang DUN masih di bawah Yb V.Sivakumar," katanya.

Image(Gambar:Speaker DUN Perak, V Sivakumar diseret dari DUN)

Tambah beliau lagi, seluruh rakyat Perak mengetahui bahawa Sivakumar masih lagi Speaker Dewan kerana ia diangkat keluar dari Dewan secara paksa pada Mei.

Ia adalah cubaan rampasan kuasa Umno-BN, katanya.

"Sememangnya insiden mengusung keluar secara paksa speaker dari dalam dewan adalah tindakan ganas Umno/BN yang telah memalukan seluruh rakyat Negeri Perak," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Kelab penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim mengesahkan semua Adun Pakatan Rakyat tidak akan hadir dalam sidang yang dipanggil oleh Ganesan.

Alasan beliau adalah:-

Ganesan adalah Speaker yang dilantik secara tidak sah mengikut undang-undang , malah perlantikannya dalam keadaan yang saya anggap menghina Pemangku Raja Perak dan DUN Perak pada 7 Mei yang lepas.

Ganesan, kata Khalil, dilantik dalam keadaan Dewan belum di rasmikan lagi oleh Pemangku Raja Perak, dengan kata lain dalam keadaan sidang belum bermula dan semasa Speaker Dewan Perak, V.Sivakumar menduduki kerusi Speaker dalam keadaan menjalankan tugasan awal mengatur kedudukan dewan sebelum mendapat dan memohon perkenan Raja Nazrin masuk ke dewan bagi memulai majlis perasmian.

Bagi beliau, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azahar Mohamed.

Azhar memutuskan mahkamah tidak ada kuasa untuk mendengar permohonan Sivakumar kerana ianya melanggar Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kesahihan sebarang prosiding dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana-mana negeri tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana mahkamah walaupun tidak melihat apakah yang berlaku di dalam DUN.

Beliau memetik Fasal 72. Keistimewaan Dewan Negeri.

Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah.

Sivakumar, katanya, cuma gagal untuk mendapat perintah mahkamah bagi menghalang Ganesan menjalankan tugas sebagai Speaker.

"Saya ingin tegaskan bahawa dia tidak mendapat penghakiman mahkamah bahawa dia adalah Speaker yang sah, dan tidak ada juga penghakiman V. Sivakumar adalah Speaker yang tidak sah," kata Khalil dalam kenyataannya.

Oleh itu, Sivakumarlah Speaker yang sah kerana kedudukannya sebagai speaker yang dilantik lebih awal dan mematuhi undang-unadang yang ada dan tidak pernah terlucut jawatannya secara betul mengikut prosuder yang ada.

"Saya tegaskan bahawa usul yang telah dikemukakan oleh BN bagi melucutkan jawatan V. Sivakumar adalah tidak sah kerana Sivakumar pada 6 Mei sehari sebelum sidang telah menolak usul tersebut sesuai dengan peruntukan yang diberikan kepadanya. Oleh itu semua yang berlaku rentetan dari itu semuanya tidak sah dan sia-sia belaka," katanya.

Sumber: Harakahdaily

BAGAN PINANG - Najib paling bimbang jika Umno ditolak lagi

BAGAN PINANG, 28 Sept: Bayangkan dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang 11 Oktober nanti, calon Umno ditolak lagi oleh rakyat.

Sudah pasti keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat akan melonjak dan pilihan raya ke 13 nanti bakal berlaku tsunami yang lebih besar lagi.

Bagi anggota Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sangat bimbang ianya akan berlaku.

Jika berlaku lagi, beliau bimbang kerusinya juga bakal hilang dan menjadi Perdana Menteri terakhir Umno.

Bagan Pinang adalah salah satu dari lima Dun yang terletak di bawah Parlimen Telok Kemang. Tiga Dun sudah dikuasai Pakatan termasuk Parlimen, hanya dua termasuk Bagan Pinang yang masih di bawah BN.

Bagan Pinang umpama Permatang Pasir yang terletak di bawah Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Datuk Seri Anwar.

Image(Gambar:Datuk Kamarul berucap di majlis hari raya) Datuk Kamarul, bekas Setiausaha Agung PKR berkata demikian dalam majlis rumah terbuka hari raya anjuran PAS Negeri Sembilan semalam di Bagan Pinang semalam.

"Di Permatang Pasir, Najib (dan) Umno telah lihat calonnya ditolak rakyat kerana mempunyai terlalu banyak masalah peribadi dan kerjaya. Sebab itu, mereka bimbang takut ianya sekali lagi akan berlaku di Bagan Pinang," katanya.

"Yang menghairankan, Umno Telok Kemang beri sokongan pada bekas Menteri Besar (Tan Sri Isa Samad). Tiba-tiba al-khalifah (Tun) Dr. Mahathir pula mengkritik calon akar umbi Umno sendiri," katanya.

Katanya lagi, kekeliruan Mahathir itu sebenarnya berpunca dari kekalahan berterusan Umno dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Selambau, Bukit Gantang, Penanti, Manek Urai dan Permatang Pasir.

Ia berlaku bukannya disebabkan masalah peribadi calon mereka semata-mata tetapi faktor penolakan terhadap Umno itu sendiri.

Tambahnya lagi, masalah pencalonan tidak menjadi pertikaian pemimpin Pakatan peringkat negeri dan nasional, kerana Pakatan mengamalkan muafakat dan semangat setia kawan.

Image(Gambar:Ustaz Idris)

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dalam ucapannya menjelaskan, pilihanraya Bagan Pinang ini mampu mempercepat Pakatan mengambil alih Persekutuan jika Umno terus ditolak rakyat.

"Jika menang PAS, kerajaan Negeri (Sembilan) tidak jatuh pada Pakatan Rakyat. Jika menang Umno pun, Pakatan tidak boleh mengambil alih Persekutuan. Tetapi Umno bimbang rakyat terus disedarkan tentang perubahan, katanya.

Ujarnya lagi, kebimbangan tersebut disebabkan Umno tidak mahu rakyat terus terdedah oleh rekod kemampuan memerintah seperti yang ditunjukkan oleh Pakatan Rakyat Selangor, dengan memberikan nikmat bekalan air percuma kepada rakyat.

Bercakap pada pentas yang sama, Pesuruhjaya PAS Melaka Abdul Ghani Abdul Rahman berkata, rakyat bukan sahaja tertanya-tanya siapakah calon terbaik yang dipertaruhkan Umno dalam pilihanraya kali ini; malah isu kemasukan mendiang Altantuyaa Sharibuu tanpa rekod Imigresyen juga menjadi misteri di sisi rakyat.

Image(Gambar:Ustaz Ghani Abdul Rahman)

Beliau juga yakin, keputusan kalah menang pilihanraya kecil ini akan memberi kesan langsung kepada rakyat di peringkat nasional kelak.

Ogos tahun lalu, Datuk Ariff Shah Omar Shah (Umno) dikalahkan oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya Parlimen Permatang Pauh.

Februari lalu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Umno) dikalahkan oleh Mohd Abdul Wahid Endut (PAS) dalam pilihanraya Parlimen Kuala Terengganu.

April lalu, Ismail Safian (Umno) dikalahkan oleh Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin (PAS) dalam pilihanraya Parlimen Bukit Gantang.

Serentak dengan pilihanraya Bukit Gantang, Datuk S. Ganesan (MIC/BN) dikalahkan oleh S. Manikumar (PKR) dalam pilihanraya Dun Bukit Selambau.

Jun lalu, Aminah Abdullah (bebas) yang dikatakan sebagai calon proksi Umno, turut dikalahkan oleh Dr. Mansor Othman (PKR) dalam pilihanraya Dun Penanti.

Julai lalu, Tuan Aziz Tuan Mat (Umno) dikalahkan oleh Mohd Fauzi Abdullah (PAS) dalam pilihanraya Dun Manek Urai.

Ogos lalu, Rohaizat Othman (Umno) dikalahkan oleh Mohd Salleh Man (PAS) dalam pilihanraya Dun Permatang Pasir.

Pilihanraya kecil Bagan Pinang ini dikatakan bakal menjadi aras tanda utama, sama ada tsunami politik 8 Mac 2008 masih berterusan sehingga sekarang, atau rakyat sebenarnya masih menolak sesiapa saja calon yang diperjudikan Umno BN.

Sumber: Harakahdaily

SKETSA RAYA

Jom Teka Apa Nombor Esok...


Selalunya jika pakai baju melayu siap bersamping ni atas urusan apa? dan lepas tu sempat lagi cilok pergi beli nombor ekor... jom kita teka hari apa dan atas sebab apa dia tak sempat coverline (tukar baju) untuk beli nombor... ha..ha..ha...

1) Hari Jumaat.
2) Hari Raya Aidil-Fitri
3) Hantar rombongan nikah
4) Hantar rombongan pengantin
5) Sambutan Hari Kebangsaan
6) Menyertai Perarakan Maulidur Rasul
7) Baru jer... lepas akad nikah... ha..ha...ha... (dengan harapan boleh cover duit hantaran dan kenduri kahwin)

HARTA QARUN

Barang kemas timbul dari tanah


SEBAHAGIAN koleksi gelang dan rantai yang dikatakan keluar dari tanah di Kampung Muhibbah, Tapah.

TAPAH - Seorang warga emas, Hamidah Bakar, 65, tidak menyangka kawasan di halaman belakang rumahnya rupa-rupanya tertanam berguni-guni harta karun yang didakwa berusia ratusan tahun.

Semuanya bermula pada akhir tahun 2004, apabila seorang kenalan beliau dari Indonesia memberitahu kawasan semak yang bersempadan Sungai Perak itu mempunyai 'sesuatu' iaitu harta karun yang tertanam di dalam tanah.

Bagaimanapun menurut Hamidah yang tinggal di Kampung Muhibbah di sini, untuk mengeluarkan harta karun itu, ia mestilah melalui proses 'menarik' yang disertai dan diketuai kenalannya dari negara jiran itu.

Antara syarat yang diperlukan untuk mengeluarkan harta itu, seramai tujuh orang diperlukan untuk berzikir serta membuat beberapa persediaan lain di kawasan yang didakwa mengandungi harta berkenaan.

Selepas, semua upacara itu selesai, salah seorang daripada tujuh orang dalam kumpulan berkenaan akan diminta untuk mengambil harta karun tersebut yang dikatakan timbul dari tanah.

Menurut Hamidah, harta-harta yang timbul itu pula kemudiannya akan dibahagi-bahagikan kepada semua tujuh orang yang berzikir tersebut.

Katanya, sehingga kini, beliau masih menyimpan harta karun itu yang terdiri daripada rantai, gelang, subang dan cincin yang timbul dari tanah belakang rumahnya.

Sementara itu, seorang daripada tujuh sekawan berkenaan, Kamaluddin Mohd. Zain, 70, pula menegaskan, perbuatan mencari harta karun tersebut tidak ada kena-mengena dengan perbuatan memuja.

"Tidak ada unsur-unsur pemujaan atau penggunaan ilmu hitam," katanya.

Katanya lagi, upacara menarik harta karun tersebut hanya berlangsung sekitar 20 minit serta dilakukan selepas solat Maghrib dan bukannya pada waktu tengah malam.

Menyentuh mengenai jenis harta karun yang dijumpai, jelas Kamaluddin, kebanyakan yang timbul adalah rantai, gelang, subang dan cincin yang dipercayai berusia ratusan tahun.

Samy Vellu patut cuti 20 tahun

KUALA LUMPUR 26 Sept. – ‘‘Dia (Samy Vellu) sepatutnya sambung cuti sehingga 20 tahun lagi, dua bulan itu tak cukup.’’

Demikian reaksi sinis bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila ditanya hari ini mengenai cadangan Datuk Seri S. Samy Vellu untuk bercuti selama dua bulan daripada bertugas sebagai Presiden MIC.

Ia ekoran desakan pelbagai pihak supaya Samy Vellu menimbang semula pelan persaraannya.

Dr. Mahathir berkata, Samy Vellu sepatutnya tidak lagi memegang jawatan nombor satu dalam parti itu.

Katanya, Samy Vellu telah terlalu lama menjadi Presiden MIC dan tindakannya yang tidak mahu melepaskan jawatan itu hanya akan menimbulkan kebencian ramai orang.

“Dia tak boleh dah duduk situ, dah 30 tahun, dia lebih lama daripada saya, saya 22 tahun pun saya sanggup letak jawatan.

“Masa saya letak jawatan, bukannya orang benci sangat, tapi saya masih letak jawatan, ini dia lagi duduk situ, lagi orang benci,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Seri Kembangan di sini.

Diminta mengulas mengenai pelancaran parti Makkal Sakti pada 10 Oktober ini yang menjadi parti alternatif memperjuangkan nasib kaum India di negara ini, Dr. Mahathir berkata, ia ditubuhkan berdasarkan sokongan ramai.

“Ia adalah sesuatu yang bagus kerana pengaruh MIC di kalangan masyarakat India semakin berkurangan dan kita tidak mahu kehilangan sokongan mereka,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan parti itu merupakan satu perkembangan baik yang mampu menjadi pengganti kepada MIC.

Presiden Makkal Sakthi, R.S Thanenthiran sebelum ini berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan parti itu yang telah mempunyai keahlian seramai 50,000 orang.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Nik Aziz jawab cabaran Ibrahim Ali

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cabaran ahli parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, supaya beliau meletakkan jawatan sebagai isu lama yang tidak perlu dilayan.

Mursyidul Am PAS itu berkata rakyat boleh menilai sendiri apa yang telah dilakukannya sepanjang mentadbir Kelantan selepas memenangi pilihan raya umum 1990.

Banyak perubahan dari segi pembangunan telah dilaksanakan di Kelantan, termasuk di daerah-daerah terpencil seperti Gua Musang, Tanah Merah dan Jeli, katanya kepada pemberita di majlis Aidilfitri PAS di perkarangan Stadium Sultan Mohamed Ke-1V, di Kota Bharu hari ini, lapor Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Ibrahim semalam yang mencabarnya meletak jawatan kerana gagal melaksanakan tugas sebagai menteri besar dan juga atas alasan beliau sudah tua dan wajar memberi laluan kepada pemimpin muda.

Cabaran Ibrahim itu adalah sebagai susulan kepada desakan menteri besar itu supaya ahli parlimen Pasir Mas itu melepaskan jawatan ekoran tindak tanduknya yang semakin bertentangan dengan parti itu. Pada pilihan raya umum 2008, Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas sebagai calon Bebas atas tiket PAS.

Nik Abdul Aziz berkata faktor tua bukan menjadi penghalang seseorang daripada menjadi pemimpin politik.

"Tua apa salahnya, kalau muda pun hanya sampah apa guna?" katanya.

Sumber: Malaysiakini

Titah menyokong Kerajaan BN: Itu hak Tuanku Sultan

KUANTAN, Sept 26 — Titah Tuanku Sultan Pahang baru-baru ini seperti yang dilaporkan Bernama bahawa rakyat perlu terus bersama Kerajaan BN kerana agenda pembangunan yang dirancang dalam jangka pendek dan panjang bakal memberi manfaat berterusan kepada mereka telah menimbulkan reaksi tidak enak di kalangan ramai orang, terutama dari kem Pakatan Rakyat.

PAS Pahang sendiri turut menyatakan kekesalan mereka atas sokongan terbuka yang ditunjukkan Tuanku Sultan Pahang itu kepada BN.

Namun menurut Datuk Shamsuddin Nawawi, Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Pahang, kekecohan yang timbul cumalah satu cubaan memutar berita dari pihak-pihak berkepentingan. Sedangkan, tambah Shamsuddin, jika diteliti laporan yang disiarkan Bernama itu, titah Tuanku Sultan Pahang itu bukanlah untuk rakyat, tetapi untuk pemberita yang hadir ketika perasmian jambatan Kuala Krau.

Tegas Shamsuddin, Tuanku Sultan sebagai Raja Pemerintah Negeri Pahang sekarang berhak untuk bertitah demikian kerana Kerajaan Barisan Nasional yang memerintah Negeri Pahang sekarang adalah kerajaan yang menjalankan pentadbiran bagi pihak Baginda sebagaimana diperuntukkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang.

Bagi Shamsuddin, Tuanku Sultan tidak boleh dituduh dan disalah anggap mencampuri atau terbabit secara langsung dengan politik semata-mata kerana titah seperti yang dilaporkan Bernama itu. Ini kerana adalah hak dan kuasa Tuanku Sultan untuk menyerahkan pentadbiran kerajaan negeri kepada pihak yang Baginda yakini, yang pada masa ini adalah Barisan Nasional.

Shamsuddin sempat menempelak penyokong pembangkang kerana mempersoalkan kuasa Tuanku Sultan Pahang yang sudah termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Jelas Shamsuddin, tindakan Tuanku Sultan menyeru supaya Kerajaan Negeri Pahang sekarang di bawah teraju Barisan Nasional terus disokong tentulah kerana keyakinan Baginda akan keupayaan Barisan Nasional untuk memberi dan membawa pembangunan kepada rakyat dan negeri Baginda.

Ini ujar Shamsuddin akan turut dititahkan oleh Sultan-Sultan di negeri di bawah penguasaan Pakatan Rakyat jika kerajaan yang ada sekarang, yang menjalankan pentadbiran bagi pihak Tuanku-Tuanku Sultan melakukan sesuatu yang baik untuk rakyat negeri mereka.

Shamsuddin dalam rumusannya mengingatkan kepada pihak-pihak berkepentingan yang suka mencari ruang keruh buat menangguk, bahawa titah Tuanku Sultan yang menyeru rakyat meneruskan sesuatu yang baik bukanlah bermaksud Baginda mencampuri urusan politik. Jangan terlalu suka mempertikaikan segala sesuatu sehingga tanpa sedar kedaulatan Raja-Raja Melayu sedang cuba diheret ke tahap yang rendah.

Bagan Pinang: Umno cari kiblat moral, PAS cari calon MB

Ketika para pemimpin Umno di Teluk Kemang dan di pusat sedang dilihat berbeza pendapat tentang calon pilihan raya kecil Bagan Pinang, PAS juga berhadapan dengan dilema pemilihan calonnya.

Bagi Umno pemilihan bekas Menteri Besar Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menjanjikan kemenangan mudah di Bagan Pinang, tetapi memberikan implikasi besar di peringkat nasional seperti yang telah dijelaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah, kerana rekod salah laku ketua bahagian Umno Teluk Kemang itu.

PAS pula yang dijangka tewas di kawasan Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan itu pula berhadapan dengan pelbagai faktor yang perlu diambil kira dalam pertimbangan politik sebelum memilih calonnya.

Negeri Sembilan dilihat para pendukung Pakatan Rakyat (PR) sebagai negeri keenam yang akan ditawan mereka.

Barisan Nasional (BN) kini memerintah tanpa majoriti dua pertiga buat kali pertama selepas memenangi hanya 21 daripada 36 kerusi negeri pada pilihan raya umum lalu.

DAP menang 10, sementara PKR 4 dan PAS hanya mendapat satu walaupun bertanding 13 kerusi — terbanyak antara tiga parti PR.

Maka Bagan Pinang menjadi medan untuk PAS — yang dalam semua pilihan raya kecil sebelum ini menunjukkan kehebatan jenteranya — membuktikan bahawa parti itu yang paling layak mengepalai PR di Negeri Sembilan dan mempunyai bakat-bakat yang boleh diketengahkan untuk kepimpinan negeri dan menjadi menteri besar.

DAP walaupun sudah tentu akan mendominasi pentadbiran Negeri Sembilan jika PR mengambil alih, belum tentu dapat menawarkan calon menteri besar kerana perlembagaan negeri itu juga meletakkan syarat jawatan itu hanya untuk orang Melayu dan Islam kecuali dikehendaki sebaliknya oleh Yang DiPertuan Besar.

PAS Negeri Sembilan telah mencadangkan tiga nama kepada jawatankuasa pusat — pengerusi negeri Zulkefli Omar, ketua PAS Teluk Kemang Ramli Ismail dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri Kassim Tahir.

Ramli adalah seorang pesara tentera yang pernah berkhidmat di Port Dickson sehingga tahun 1990 dan pengaruhnya diharap dapat membantu kempen PAS di Bagan Pinang yang mengandungi hampir 5,000 pengundi pos yang kebanyakannya anggota tentera.

Kassim pula adalah penduduk asal Kampung Si Rusa di pesisir pantai Port Dickson dan berpengaruh di kampung sekitarnya kerana latar belakangnya sebagai guru agama dan pada usia 69 tahun, masih lagi aktif memberikan kuliah agama di kawasannya.

“Jika bercakap soal calon menteri besar, maka Zulkefli Omar adalah orang yang boleh dipersiapkan, dia juga adalah ahli politik sepenuh masa,” kata ahli strategi PAS Dr Zulkefly Ahmad kepada The Malaysian Insider tetapi menambah soal calon menteri besar belum difikirkan oleh parti itu lagi.

Zulkefli, 45, adalah seorang pemegang ijazah sarjana dan telah tewas tiga kali dalam pilihan raya sebelum ini — beliau dikatakan mempunyai peluang paling cerah menjadi calon di Bagan Pinang.

Pada pilihan raya umum lalu, beliau tewas di kerusi Lenggeng dengan majoriti 1,285.

Bagaimanapun di kalangan pemimpin PAS ada juga yang bimbang pencalonan Zulkefli akan membawa kesan buruk kepada parti itu.

“Tidak baik untuk parti sekiranya seorang pesuruhjaya negeri tewas dengan teruk dalam pilihan raya kecil,” kata seorang lagi pemimpin PAS yang bimbang dengan kewujudan pengundi pos yang tinggi —kira-kira 30 peratus daripada jumlah pemilih.

Jawatankuasa PAS pusat akan bermesyuarat pada 29 September ini di Port Dickson untuk menetapkan nama calonnya dan pengumuman akan dibuat dalam satu ceramah pada malam itu juga.

Jika Zulkefli dicalonkan, ia menjadi isyarat paling jelas bahawa parti itu sedang mempersiapkan diri untuk mentadbir Negeri Sembilan.

Sumber: Malaysiainsider

Umno tidak belajar dari pengalaman - Dr M

KUALA LUMPUR, 25 Sept: Umno menunjukkan kepada dunia bahawa ahli-ahlinya tidak belajar dari pengalaman apabila terus mendesak supaya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dicalonkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kritikan Dr Mahathir yang semakin lantang menjadikan laluan Isa semakin sukar untuk menjadi calon BN di Bagan Pinang walaupun percubaan demi percubaan dibuat untuk mencalonkan bekas Naib Presiden Umno itu dalam pilihan raya kecil tersebut yang akan diadakan 11 Oktober ini.

"Kita tak banyak belajar, sebelum ini kita meletakkan seorang pembohong menjadi calon, yang dipecat oleh Majlis Peguam, yang menggunakan duit pelanggannya.

"Jika kita meletakkan calon seperti itu, sudah pasti kita akan kalah," Malaysian Insider memetik bekas Presiden Umno itu berkata.


Dr Mahathir juga membidas para pemimpin Umno di Telok Kemang yang mengungkit bahawa beliau juga pernah diusir dari Umno oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman tetapi kemudiannya diterima semula ke dalam Umno.

"Saya diusir bukan kerana rasuah atau politik wang tetapi kerana perbezaan pendapat dengannya (Tunku).

"Bila saya kembali (ke dalam Umno), ia kerana pandangan saya diterima. Saya tidak pernah mencuri wang," kata bekas Pengerusi BN itu.

Rabu lalu, Ketua Pemuda Umno bahagian Telok Kemang Mohd Faizal Ramli mempertahankan keputusan untuk menamakan Isa sebagai calon BN bagi pilihan raya tersebut.

Isa digantung keahliannya dalam Umno selama tiga tahun 2005 lalu kerana dituduh terlibat dalam politik wang ketika beliau muncul sebagai pemenang jawatan Naib Presiden dengan undi tertinggi pada pemilihan parti itu 2004 lalu, iaitu sebanyak 1,507 undi mengatasi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Timbalan Presiden Umno kini, Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Beliau kini ialah Ketua Umno Bahagian Telok Kemang dan kawasan DUN Bagan Pinang berada dalam bahagian itu.

Isa sebelum ini menolak pandangan yang menyatakan beliau akan menjadi liabiliti kepada BN jika dicalonkan dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang.

"Dalam pembangkang, hatta bekas banduan pun boleh bertanding," kata beliau yang dilihat merujuk kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya bukan penjenayah," tambah beliau.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dilaporkan satu-satunya calon yang dikemukakan oleh Umno Telok Kemang kepada pucuk pimpin parti itu untuk dipertimbangkan sebagai calon BN dalam pilihan raya tersebut.

Bagan Pinang mempunyai 13,664 orang pengundi dan 4,604 dari jumlah tersebut adalah pengundi pos.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, calon BN, Allahyarham Azman Mohd Nor memenangi kerusi tersebut dengan mendapat 6,430 undi mengalahkan calon PAS, Ramli Ismail yang mendapat 4,097 undi.

Pilihan raya kecil tersebut akan diadakan berikutan kematian Azman.

BN hanya memenangi kerusi Bagan Pinang dan Linggi dalam kawasan Parlimen Telok Kemang dalam pilihan raya umum lalu.-mna Kerusi Parlimen Telok Kemang, kerusi DUN Chuah dan kerusi DUN Port Dickson dimenangi oleh PKR manakala kerusi DUN Lukut dimenangi oleh DAP. Kemenangan BN di Bagan Pinang dan Linggi dipercayai berpunca dari undi pos. Linggi mempunyai 1037 undi pos.

Sumber: Harakahdaily

Jangan calonkan Isa Samad: Dr Mahathir

PUTRAJAYA: "Jangan letak Tan Sri Isa Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang," kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu, berkata imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

"Tan Sri Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes macam ini.
"Kalau pun dia (Isa) boleh menang di situ, kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap Umno," katanya dalam temuramah dengan Bernama.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas ura-ura Isa turut disenarai sebagai calon bagi pilihan raya kecil itu.

Dr Mahathir berkata walaupun Umno bahagian Teluk Kemang yang diterajui Isa sendiri mahukan dirinya bertanding, mereka perlu ingat bahawa pilihan raya kecil itu bukan melibatkan wakil dari Umno bahagian itu sahaja yang bertanding.

"Ini kerana rakyat akan melihatnya sebagai mewakili Umno dari seluruh negara dan menggambarkan pendirian Umno.

"Macam satu orang boleh menang jadi Presiden Umno tapi tak bermakna dia boleh menang pilihan raya," katanya.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004. Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

Pilihan raya kecil kawasan itu akan diadakan pada 11 Oktober dan penamaan calon pada 3 Oktober.

Ia diadakan berikutan kematian Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 September akibat jangkitan dalam darah.

Mengenai kemelut MCA, Dr Mahathir berkata ia boleh selesai sekiranya pemimpin parti meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.

Mereka, katanya, perlu sedar yang utama parti dan bukannya mereka.

"Seorang pemimpin tidak akan membuat sesuatu untuk merosakkan parti," katanya.

"Kalau you (pemimpin) tahu you dah tak layak kerana apa-apa. You berhenti. Jangan nak pegang (jawatan) saja," katanya.

Beliau berkata pemimpin harus sedar kerana partilah, mereka mendapat kedudukan.

Sehubungan itu, kata Dr Mahathir, mesyuarat agung luar biasa MCA boleh menyelesaikan kemelut parti itu jika para pemimpin parti itu mengutamakan kepentingan parti.

Kemelut MCA itu menjadi hangat apabila timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dipecat kerana masalah disiplin berhubung isu skandal seksnya.

Sumber: Bernama

SUMBANGAN DAGING SEMPENA IDUL FITRI

Sebelum subuh lagi petugas-petugas untuk membahagikan daging kerbau yang didermakan bertolak ke Masjid Jamek Tapah untuk mengelakkan kesesakan jalan raya sempena kedatangan Syawal, tapi lewat juga akhirnya kerana perjanjian asal untuk mengambil daging yang telah dilapah di pasar Tapah, tunggu hampir sejam baru diberitahu yang kami kena pergi ambil di rumah sembelih Chenderiang. Kami bersabar, mungkin ini ujian qiyamulail.

Selepas dimuatkan daging di atas lori Mat Suki, kami ke markaz Jeram. Di sana petugas-petugas sudah sedia menanti dengan penuh kesabaran. Kerja-kerja menimbang daging dan isi dalam beg plastik kami lakukan di atas lori sahaja. Syukur kepada ALLah kerana dapat menyelesaikan dalam tempoh yang begitu cepat. Terima kasih kepada para penderma. Mudah-mudahan sedekah ini bemanfaat kepada penerimanya dan kita semua.

Kerja, Kerja !Petugas-petugas yang dedikasi

Sahabat & DagingDaging yang siap untuk diagihkan.

130 kg daging segar selesai diedarkan ke seluruh Parlimen Kampar sebelum jam 10.00 pagi.

Najib diminta percepatkan bayaran Royalti minyak Kelantan.-Nik Aziz

KOTA BHARU 18 Sept: Menteri besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa kerajaan pusat pimpinan Datuk Seri Najib Abdul Razak mempercepat pembayaran balik sejumlah RM1 Bilion hasil royalti minyak milik negeri itu.

Bercakap ketika menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu pagi ini, beliau berharap ia dapat disegerakan kerana tiada sebab untuk kerajaan memperlewat bayaran royalti memandangkan ia adalah dari dari Petronas dan bukannya dari dana kerajaan pusat.

"Saya amat berharap Najib dapat mempertimbangkannya untuk disegerakannya, peruntukkan pusat kepada kerajaan negeripun beliau dapat beri inikan pula duit secara terang-terang adalah milik Kelantan,jadi tiada sebablah beliau nak perlengahkan lagi." katanya.

Tuan Guru juga turut memanjatkan doa kepada Allah swt dan turut diaminkan lebih 5000 yang hadir di kuliah mingguan tersebut agar membuka pintu hati Perdana Menteri supaya mempercepatkan pembayaran royalti minyak milik kerajaan Kelantan tersebut.

Sebelum itu, Nik Abdul Aziz turut merasmikan pelancaran Tabung Pelancaran Program pembiayaan Pelajar Palestin di negara ini yang dianjurkan oleh Misi Cakna Palestin Kelantan.

Seramai 24 pelajar dari negara Palestin yang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti tempatan yang menduduki pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dan juga Doktor Falsafah telah dibiayai diantara RM500 hingga RM 2000 sebulan hasil sumbangan rakyat negeri Kelantan.

Sebelum ini,Misi Cakna Palestin telah berjaya mengumpul sejumlah RM1.4 juta dalam kempen Membantu rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Yahudi.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan,Datuk Ahmad Yakob,Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri,Mohd Zaki Ibrahim.

Sumber: Harakahdaily

'Benarkan PAS kempen di kem askar'

Pemuda PAS menuntut parti yang bertanding di dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang dibenarkan bertemu dan berkempen di kalangan pemilih pos di kem-kem tentera.

Tuntutan itu dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu memorandum dewan tersebut yang diserahkan di pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya pagi ini.

"Apa yang menjadi masalahnya selama ini ialah parti-parti pembangkan langsung tidak diberikan ruang untuk berkempen kepada angota-anggota tentera, sedangkan BN menggunakan Kementerian Pertahanan untuk menemui dan menjalankan aktiviti di kalangan anggota tentera," memorandum itu dipetik.

"(Keadaan) ini telah mewujudkan suasana yang amat tidak adil kepada parti-parti pembangkang kerana tidak dapat menyampaikan maklumat kepada para pengundi tersebut."

Jika isu keselamatan dijadikan alasan untuk tidak membenarkan akses tersebut, Pemuda PAS menyarankan SPR membantu menyediakan ruang kepada calon-calon untuk bertemu dengan para pemilih pos di kem tentera.

"Adalah tidak munasabah apabila undang-undang pilihanraya memberikan tempoh berkempen kepada setiap calon, tetapi ia tidak dibenarkan untuk dilaksanakan kepada para pengundi pos yang merupakan pengundi di dalam pilihanraya tersebut," kata Pemuda PAS dalam memorandum tersebut.

Daripada 13,664 pemilih berdaftar di Bagan Pinang yang layak membuang undi pada 11 Oktober ini, 4,604 terdiri daripada pemilih pos - kumpulan terbesar yang sering dicurigai pembangkang.

PAS sejak awal minggu lepas membangkitkan kembali isu undi pos, termasuk penggunaan Borang Lampiran 2 (foto kiri) yang mendedahkan butiran peribadi pengundi dan nombor siri kertas undi.

Parti itu malah mendakwa mantan pengerusi SPR Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman pernah berjanji untuk mengkaji semula prosedur undi pos.

Selain isu ruang berkempen dan borang tersebut, Ketua Penerangan Pemuda PAS Suhaizan Kaiat yang menyerahkan memorandum itu, PAS juga mendesak SPR menetapkan mekanisme iaitu pengundi pos hendaklah mengundi di tempat berdekatan dengan mereka seperti pejabat kedutaan, pejabat daerah, kem tentera, balai polis atau pejabat-pejabat kerajaan.

Mengisi borang berkenaan seperti dikehendaki dalam Peraturan 12, Peraturan-peraturan Pilihanraya (Pengundian Pos) 2003 dianggap mencabuli prinsip kerahsian undi - piawaian asas kebebasan pilihan raya di seluruh dunia.

"Pemuda mendesak supaya keperluan (mengisi butiran) Borang 2 dihapuskan dalam sebarang pilihanraya bermula dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang," memorandum itu dipetik.

Dewan itu turut menggesa SPR meminda peraturan terbabit.
Sumber: Malaysiakini

Khir Toyo terima ugutan bunuh

Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo tengah hari ini membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Shah Alam selepas menerima sepucuk surat ugutan bunuh terhadapnya.

Mantan menteri besar Selangor itu menerima ugutan tersebut dalam sepucuk surat yang sampai pagi tadi ke pejabat DUN beliau di Sungai Panjang.

Surat itu antaranya bertulis: "Hentikan cubaan menjatuhkan kerajaan Selangor. Jika tidak, saya bebas mencari kamu di Selangor."

"Saya boleh tembak kamu atau sumpitan beracun yang boleh membunuh kamu dalam masa beberapa saat sahaja," surat itu dipetik.

Sekeping surat itu yang bertulisan tangan di kedua-dua halamannya dikirim dari Bukti Raja, Kelang pada 15 Sept berdasarkan cop pada setemnya.

Dihubungi Malaysiakini petang ini, Dr Mohamad Khir berkata beliau membuat aduan polis pada 12.30 tengah hari tadi.

Tambahnya, ugutan sedemikian bukan pertama kali terhadapnya.

"Sebelum ini, melalui SMS itu biasa. Tapi surat, ini kali pertama," katanya, sambil menambah, aduan itu dibuat kerana berasa keselamatan dirinya terancam.

"Dulu lainlah, (semasa menjadi menteri besar) saya ada pengawal peribadi," katanya.

Dalam laporan Bernama, beliau berkata surat itu dibawa oleh pembantunya bersama-sama surat lain dan kad ucapan Selamat Hari Raya ke pejabatnya di Glenmarie, Shah Alam pagi ini dan beliau
membaca surat ugutan kira-kira 10 pagi.

"Dia tulis di sana (salam surat ugutan) saya bebas mencari Datuk Seri sama ada di Selangor, di Sungai Panjang, di Sungai Besar, di Sungai Dorani, di Shah Alam... saya boleh tembak Yang Berhormat pada bila-bila masa," beliau dipetik berkata selepas membuat aduan polis.

Ditanya sama ada beliau mengetahui siapa yang menghantar surat ugutan itu, Dr Mohamad Khir berkata biarlah pihak polis yang menyiasat.

"Sebagai ketua pembangkang saya menegur apa yang perlu, apa yang perlu diambil tindakan untuk kebaikan.

"Saya kesal tindakan saya itu dikatakan saya cuba untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau dilaporkan berkata ugutan itu ditujukan hanya kepadanya seorang sahaja.

Sumber: Malaysiakini

80% golongan muda tidak sokong BN - Daim

KUALA LUMPUR, 16 Sept: 80 peratus dari golongan muda tidak menyokong Barisan Nasional (BN), kata bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Para siswazah menganggur, kebanyakannya Melayu, akhirnya terlibat dengan politik dan mereka menyertai PAS akibat rasa marah kepada kerajaan kerana tidak mempunyai pekerjaan, kata bekas Bendahari Umno itu di dalam temubual dengan China Press Ahad lalu.

Menurut beliau, keadaan sedemikian berlaku kerana kerajaan tidak memupuk bakat yang sepatutnya untuk kehendak pasaran.

Dalam temubual tersebut yang disiarkan oleh The Sun Online Ahad lalu, Daim berkata, universiti-universiti tidak menawarkan kursus-kursus yang menepati dengan kehendak industri mengakibatkan banyak siswazah tidak mempunyai pekerjaan disebabkan apa yang mereka pelajari tidak memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

Beliau berkata, bukan sahaja golongan muda yang menentang kerajaan, malah kira-kira sejuta dari tiga juta ahli Umno juga tidak mengundi parti itu.

Menurut beliau, ramai ahli Umno yang hilang keyakinan kepada parti itu dan para pemimpinnya.

"Politik wang rasuah adalah masalah terbesar yang dihadapi oleh parti itu," katanya.

Di luar Umno pula, Daim percaya, perpecahan di dalam MCA akan menjejaskan kerjasama dan reformasi di dalam BN.

Rakyat, katanya, tidak menghormati mana-mana parti yang berpecah.

Manakala perubahan di dalam BN pula, katanya, terlalu perlahan untuk memenuhi kehendak rakyat.

"Rakyat mahu melihat perubahan, sama ada di dalam BN atau Pakatan Rakyat (PR), siapa yang lebih dahulu berjaya melaksanakan reformasi akan memenangi sokongan mereka," katanya.

Mengenai kemelut Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), Daim berkata: "Kerajaan mesti menghukum kesemua yang melanggar undang-undang, hanya dengan cara itu ia boleh mengembalikan keyakinan umum".

Pada masa lalu, katanya, rakyat tidak melihat mereka yang menyalahgunakan kuasa dihukum.

Mengulas mengenai PR, beliau menyifatkan pakatan itu mengecewakan rakyat.

Rakyat, katanya, menaruh harapan yang tinggi kepada PR tetapi kerajaan negeri-negeri yang dikuasai PR terus memainkan peranan sebagai pembangkang.

"Jangan buang masa melemparkan tuduhan kepada BN, kamu adalah pakatan yang memerintah (di negeri-negeri yang dikuasai PR), kamu sepatutnya memfokuskan kepada usaha untuk menunaikan janji-janji pilihan raya kamu"

Beliau berkata, rakyat mula melihat bahawa PR tidak boleh melakukan dengan lebih baik berbanding BN, walaupun diberi peluang.

Itulah kekecewaan terbesar rakyat, katanya.

Sumber: Harakahdaily

Lima tahanan ISA dibebaskan menjelang Bagan Pinang

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Menjelang pilihan raya kecil Bagan Pinang, lima tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilaporkan akan dibebaskan hari ini.

Ia sama seperti pembebasan pemimpin utama pertubuhan Hak Asasi Hindu (Hindraf), menjelang pilihanraya kecil Bukit Selambau.

Namun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Husein sekeras-kerasnya menafikan pembebasan kali ini ada kaitan dengan pilihan raya kecil.

Namun sehingga berita ini ditulis, Gerakan Mansuh ISA (GMI) masih menunggu janji pembebasan lima tahanan tanpa bicara ISA, sebagaimana yang diumumkan Hishamuddin pagi tadi.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh petang tadi, menjelaskan bahawa pihaknya sendiri hanya mendapat pengkhabaran itu dari media masa, bukannya pihak berwajib secara rasmi.

"Tidak ada lagi pihak polis menghubungi kami (GMI). Tapi, saya telah dihubungi oleh Norlaila (isteri kepada tahanan, Mat Sah Mohamad Satry) dan dia memberitahu pihak polis tidak menghubunginya untuk beritahu bila dibebaskan dan di mana pembebasan itu berlaku."

Bagaimana pun, kalau pembebasan itu merujuk kepada tahanan yang dituduh anggota Jamaah Islamiyyah (JI), Ibrahim menjelaskan ianya terdiri oleh enam orang, rakyat Malaysia; bukannya lima orang.

Puan Norlaila Othman, suami Mat Sah yang juga aktivis GMI sendiri gagal dihubungi kemudiannya, untuk mengesahkan hal demikian.

Laman web The Malaysian Insider melaporkan, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin membuat pengumuman tersebut setelah mendapati kelima-lima tahan terbabit telah insaf.

Pembebasan itu dikatakan juga sempena meraikan Hari Raya Puasa, tidak lama lagi. Selain tahanan lapan tahun, Mat Sah, Pensyarah Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Dr. Abdullah Daud dipercayai khalayak turut dibebaskan.

Baki yang lain adalah Mohd Nasir Ismail, Mohd Kamil Mohd Hanafiah dan Mohd Amir Hanafiah; masing-masing ditahan di bawah akta yang dikatakan zalim itu sejak 30 Mei 2007.

Sumber: Harakahdaily

Tiga nama tokoh PAS di Bagan Pinang

Bekas yang dipertua PAS Teluk Kemang, Dr Rosli Yaakob tidak termasuk dalam senarai pendek calon PAS yang akan bertanding di Bagan Pinang, Negeri Sembilan, 11 Oktober ini.

Sebaliknya tiga nama yang dimajukan kepada kepimpinan PAS dalam mesyuarat jawatankuasa parti itu hujung minggu lalu merupakan pemimpin-pemimpin tempatan yang dapat dijangkakan dan disebut-sebut sebelumnya.

Mereka adalah pesuruhjaya PAS negeri Zulkefly Mohamad Omar, yang dipertua PAS kawasan Ramli Ismail dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri, Kassim Tahir, satu sumber parti itu memberitahu Malaysiakini.

Pemilihan calon yang sesuai akan dibuat dalam satu lagi mesyuarat yang akan diadakan tidak lama lagi, kata sumber lagi.

Pada Ahad lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata PAS telah mengenal pasti tiga calon anak tempatan untuk diketengahkan pada pilihan raya kecil DUN tersebut.

Katanya ketiga-tiga orang calon tersebut adalah pemimpin yang berpengalaman dan diyakini boleh berkhidmat kepada rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan 3 Oktober ini sebagai hari penamaan calon dan 11 Oktober sebagai tarikh pembuangan undi.

Naib Presiden PAS Salahudin Ayub berkata jawatankuasa pusat PAS akan mengadakan mesyuarat khas bagi memuktamadkan calon parti itu.

"Ia akan diadakan dalam masa terdekat," katanya, yang bertindak sebagai pengarah pilihan raya PAS bagi DUN tersebut sewaktu ditemui di hadapan Kedutaan Indonesia semalam.

Kerusi negeri itu kosong berikutan kematian wakil rakyat BN Azman Mohamad Noor, 54 akibat jangkitan dalam darah.

Dalam pilihan raya umum lalu, bekas naib ketua bahagian Umno Teluk Kemang, menang dengan majoriti 2,333 undi, menewaskan Ramli, antara tiga nama yang disenaraikan PAS untuk dipilih semula, yang memperolehi 4,097 undi.

Sumber: Malaysiakini

SUMBANGAN HARI RAYA PAS KAWASAN KAMPAR 13/09/2009

Memilih pakaian terpakaiMemilih pakaian terpakai

YB Chan Min Kai menyampaikan sumbanganYB Chan Min Kai menyampaikan sumbangan

fatehah4

Ust Shuib6
Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut hari Raya yang akan menjelang seminggu lagi , PAS Kampar mengadakan program meraikan golongan miskin dan anak-anak yatim di sekitar Kampar . Program sumbangan Hari Raya itu telah di adakan di Pusat Khidmat Masyarakat PAS Kampar di Tualang Sekah pada 13 September 2009 mulai pukul 3.00 petang. Lebih dari 110 kampit beras dan RM6000.00 wang tunai di agih-agihkan kepadamerekaProgram itu disempurnakan oleh Pn Fatehah Datuk Seri Nizar yang mewakili ibunya, Datin Seri Fatimah Taat yang tidak dapat hadir. Turut hadir ialah AJK PAS Kawasan yang diketuai oleh Ust Shuib Hussien, Timbalan YDP PAS Kampar, YB Chan Ming Kai, ADUN Simpang Pulai yang juga penyelaras PKR untuk DUN Tualang Sekah dan YB Kashvinder Singh, ADUN Malim Nawar.

Selain bantuan berupa beras dan wang tunai, mereka yang hadir juga boleh mendapatkan pakaian terpakai yang disumbangkan oleh ahli PAS Kampar.

Program yang dimulakan dengan Tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh Ustaz Anuar Murad, AJK Pas Kampar telah menarik minat hadirin dengan untuk terus menghayati tuntutan Ramadhan.

Meskipun ringkas tetapi tazkirah itu padat dengan nasihat buat bekalan mengharungi akhir Ramadhan ini. Mudah-mudahan semua mendapat pengampunan ALLah serta pembebasan daripada siksaan api neraka, amin.

Hadir- Lelaki

Hadir - Wanita

Pentazkirah
Pentazkirah

Penerima SumbanganPenerima Sumbangan

Pembantu SetiaPembantu Setia

Nahnu AnsoruLLahNahnu AnsoruLLah

Moga diberkati . . .

Moga diberkati . . .

Selepas berjemaah solat Asar, AF Ustaz Uthman menyampaikan tazkirah. Isinya banyak menyentuh tentang amalan penting pada akhir Ramadhan. moga semua dapat memanfaatkan peluang yang diberikan ALLah kali ini. Tahun hadapan belum tentu kita dapat bertemu dengan Ramadhan Al-Mubarak.
“Sesungguhnya Allah Ta’ala itu Maha Memberi, Ia mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia, Ia membenci akhlak yang buruk.” (HR. Al Baihaqi, di shahihkan Al Albani dalam Shahihul Jami’, 1744)

Dari hadits ini demikian dapat diambil kesimpulan bahwa pelit dan bakhil adalah akhlak yang buruk dan bukanlah akhlak seorang mukmin sejati. Begitu juga, sifat suka meminta-minta, bukanlah ciri seorang mukmin. Bahkan sebaliknya seorang mukmin itu banyak memberi. Sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam:

“Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Tangan di atas adalah orang yang memberi dan tangan yang dibawah adalah orang yang meminta.” (HR. Bukhari no.1429, Muslim no.1033)

Selain itu, sifat dermawan jika di dukung dengan tafaqquh fiddin, mengilmui agama dengan baik, sehingga terkumpul dua sifat yaitu alim dan juud (dermawan), akan dicapai kedudukan hamba Allah yang paling tinggi. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Dunia itu untuk 4 jenis hamba: Yang pertama, hamba yang diberikan rizqi oleh Allah serta kepahaman terhadap ilmu agama. Ia bertaqwa kepada Allah dalam menggunakan hartanya dan ia gunakan untuk menyambung silaturahim. Dan ia menyadari terdapat hak Allah pada hartanya. Maka inilah kedudukan hamba yang paling baik.” (HR. Tirmidzi, no.2325, ia berkata: “Hasan shahih”)

Allah Subhanahu Wa Ta’ala benar-benar memuliakan orang-orang yang bersedekah. Ia menjanjikan banyak keutamaan dan balasan yang menakjubkan bagi orang-orang yang gemar bersedekah. Terdapat ratusan dalil yang menceritakan keberuntungan, keutamaan, kemuliaan orang-orang yang bersedekah.
Usai tazkirah, majlis penyampaian dijalankan. Ketua Cawangan bersama Ust Uthman menyantuni penduduk di sini menerima sumbangan. Mudah-mudahan usaha kecil ini bermakna di sisi ALLah SWT dan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kita …………..

Sumber: Raja Sedaka dan Laman Aku NEC

CAKAP MERAPU

Najib tegaskan Umno adalah parti Islam sebenar

SIK: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Umno adalah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat Islam dan negara ini.

Katanya, Umno sememangnya membela dan menaikkan taraf hidup umat Islam dengan membasmi kemiskinan menerusi pelbagai program kerajaan terutamanya menerusi rancangan Felda.

"Dalam Islam, kemiskinan itu menghampiri kekufuran dan Umno sejak 53 tahun yang lalu berusaha membasmi kemiskinan di kalangan umat Islam dengan membuka tanah rancangan Felda dan adakah ini bukan tuntutan Islam?," katanya ketika menghadiri majlis Rahmat Ramadan di Felda Teloi Timur di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno membangunkan negara ini bagi melahirkan umat Islam yang dihormati dan bermaruah dengan pembangunan negara, teknologi dan ketenteraan yang termaju.

"Kita tidak perlu label "membangun bersama Islam" kerana kita sudah lama memperjuangkan Islam dan telah memberi keselesaan hidup kepada umat Islam kerana kita tidak mahu umat Islam miskin dan tidak ada kekuatan," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, Islam juga menuntut perubahan umatnya daripada yang baik kepada lebih baik dan itulah yang dilakukan oleh Umno. - Bharian

* Isteri pun tak tutup aurat.

P'jaya PAS NS tanding di Bagan Pinang?

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar adalah antara tiga nama telah disenaraikan untuk dipilih sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Dua lagi nama ialah bekas pesuruhjaya PAS negeri, Dr Rosli Yaakob dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri, Kassim Tahir.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat PAS negeri itu malam tadi.

Menurut sumber, kebanyakan 25 ahli jawatankuasa bahagian, lebih cenderung untuk memilih Zulkefly untuk mewakili PAS dalam pilihanraya kecil tersebut.

"Di peringkat PAS Pusat pun, ada harapan cerah beliau terpilih (sebagai calon)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Sumber itu berkata pemilihan Zulkefly (foto) dianggap bersesuaian memandangkan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohd Salleh Man juga dipilih bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos lalu.

Tambahan pula, kata sumber lagi, Dr Rosli sekarang berada di Bangladesh atas urusan perniagaan.

Kerusi DUN tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya dari BN, Azman Mohammad Noor pada Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.

Dalam pilihan raya umum tahun lalu, Azman menang dengan majoriti 2,333 undi, menewaskan calon PAS Ramli Ismail yang memperolehi 4,097 undi.

Menurut sumber itu lagi, mesyuarat malam tadi juga turut membincang dan menyusun pembahagian tugas jentera pilihanraya kecil Bagan Pinang.

Mengenai pendekatan kempen pilihanraya kecil kali ini, sumber berkata: "Kita mengambil pendekatan berhemah, iaitu tidak menyerang peribadi calon lawan kerana ia tidak berkesan terhadap pengundi Melayu.

"Tambahan pula, Bagan Pinang adalah kubu kuat (bekas menteri besar) Tan Sri Isa Samad yang mempunyai saudara mara di situ. Jika menyerang secara melulu, Pakatan Rakyat akan hilang sokongan, terutama pengundi Melayu," kata sumber itu.

Dalam pilihanraya umum yang lalu, katanya, Pakatan Rakyat memenangi tiga daripada lapan peti undi di DUN tersebut di mana ketiga-tiganya merupakan kawasan kaum India.

"Kita akan mempertingkatkan undi kaum India di samping memberi penerangan dengan lebih baik kepada masyarakat Melayu.

"Kita ada masalah di kawasan perkampungan majoriti Melayu dan undi Pos," katanya.

Menurut sumber itu lagi, antara isu yang boleh dibangkitkan oleh Pakatan ialah isu kepala lembu di Shah Alam, isu kematian Teoh Beng Hock, isu kenaikan cukai tanah dan cukai pintu serta isu tanah adat yang tergadai.

Sumber: Malaysiakini

Najib cipta aqidah baru untuk Umno - Nik Aziz

KOTA BHARU, 10 Sept: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pemimpin Umno supaya memperbetulkan pengertian sebenar aqidah di sisi Islam. Ini kerana tiada aqidah lain kecuali Islam sahaja.

Menurutnya, kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang mengingatkan PAS jangan sekali-kali mempersoalkan aqidah Umno seolah-olah menggambarkan pemimpin Umno menganuti aqidah lain.

Kata beliau 'aqidah Umno' yang cuba dibawa pemimpin tertinggi parti itu sebenarnya fahaman yang salah kerana manusia tidak boleh mencipta aqidah sendiri.

"Manusia tak boleh membuat aqidah sendiri, begitu juga PAS tidak boleh memperkenalkan aqidahnya sendiri kecuali berpegang pada aqidah atau ajaran Islam sebenar," katanya di pejabatnya hari ini.

Baru-baru ini Perdana Menteri ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Kuala Krai meminta PAS jangan menuduh Umno Islam pada luaran sahaja. Beliau juga mengingatkan PAS jangan sekali-kali mempersoalkan aqidah orang Umno. Ini, kata Najib, boleh timbulkan kekalutan dan kekeliruan dalam masyarakat.

ImageNik Abdul Aziz berkata, apabila Umno membuat aqidah sendiri, ia jelas menggambarkan aqidah baru ciptaan parti itu.

"Kalau pun kita ada dasar parti, dasar parti itu mesti diselaraskan dengan Islam dan bukannya membuat aqidah sendiri," ujarnya.

Kata beliau apabila dasar parti mengikut acuan Islam sudah tentu ia tidak memberikan masalah kepada sesiapa juga.

Katanya, kerana itu beliau sering mengingatkan pemimpin Umno supaya mengubah dasar parti dari kebangsaan kepada Islam kerana ia selaras dengan aqidah sebenar.

"Kerana itu tiap-tiap orang mukmin akitivitinya kerana Allah, jadi saya hairan bila Umno menyebut istilah 'aqidah Umno'," ujarnya.

Kata Nik Aziz juga, apabila manusia menolak hukum Allah, tarafnya seumpama setinggan di bumi ini.

Sumber: Harakahdaily

Rebut peluang pengampunan di malam Lailatul Qadar

Ramadan adalah bulan yang terbaik, penghulu segala bulan yang sama dengan hari Jumaat, penghulu segala hari.

Ia merupakan anugerah Allah kepada insan muslim agar mengambil kesempatan daripada kedatangan Ramadan dengan memperbanyakkan kerja taat kepada Allah untuk memperolehi anugerah tambahan-Nya atau bonus agung-Nya dengan menjanjikan Lailatul Qadar yang biasanya akan jatuh pada salah satu daripada 10 malam terakhir.

Mungkin inilah yang disebut oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dalam satu hadis yang bermaksud: Alangkah hairannya, bagi orang yang dianugerahkan umur sehingga selesai satu Ramadan tiba-tiba ia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.

keampunan itu merupakan satu anugerah yang dijanjikan kepada orang yang benar-benar menjadikan Ramadan sebagai bulan ibadah khusus kerana Allah. Di samping mengharapkan keampunan.

Nabi juga pernah sebut dalam hadis: "sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala Allah, maka akan diampunkan segala dosa-dosanya."

Lebih khusus daripada itu, kita lihat kepada tarbiyah yang ditarbiyah Rasulullah kepada umatnya menerusi satu hadis sahih.

Daripada Aishah r.a dengan pesannya,"wahai Aishah, sekiranya kamu ditemukan Allah dengan malam Qadar, maka perbanyakkan doa memohon kepada Allah yang ditentukan perkara yang hendak dicapai dalam doa itu ialah : Ya Allah ! Kamulah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mulia, Ampunkanlah dosa saya."

Tarbiyah yang dimaksudkan itu dengan meletakkan pengharapan yang begitu tinggi, agar kesalahan, ketelanjuran atau kesengajaan, Allah akan terima pengampunannya pada 10 malam akhir Ramadan, akan diampunkan dosa.

Jelas kelihatan bahawa yang amat perlu dipohon kepada Allah ialah penghapusan dosa dan bukan kemanfatan duniawi seperti memohon kekayaan, kemenangan menghadapi musuh, kehebatan dalam kerjaya atau apa sahaja yang namanya hambatan dunia. Semuanya itu tidak penting berbanding dengan keampunan dosa.

Kerana jika diamati akan ternampak kehebatan pencapaian manusia dalam kehidupan ini bukannya kejayaan bersifat sementara.Kehebatan yang agak sementara, akan tetapi kehebatan Allah dengan penghapusan dosa adalah suatu impian dan pencapaian yang begitu tinggi kerana itulah maka fokus utama setiap muslim ialah hari-hari akhir 10 malam ini.

Menjadi satu fokus ke arah meletakkan nilai diri insan yang semata-mata untuk mendapat keredaan Allah. Sekiranya matlamat keredaan Allah itu sudah dicapai, maka tercapailah kemuncak daripada tujuan sebenar manusia ini diciptakan Allah yang akhirnya kepada Allah sahaja tumpuan hidup semua makhluk bagi mendapat reda Allah.

Janji-janji Allah pada hamba-Nya

Ramadan juga merupakan bulan muhasabah untuk kita melihat sekadar mana daya juang kita dalam menangani cabaran penghidupan khususnya cabaran untuk menanggung dan menyempurnakan amanah Allah yang telah dipikulkan ke atas mereka suatu tugas untuk martabatkan agama Allah melainkan dengan usaha berterusan mengharungi suatu perjuangan menentang segala halangan bagi meletakkan kegemilangan Islam di tengah penghidupan yang semakin mencabar.

Lebih-lebih lagi di hari-hari yang sedang kita lalui ini. Di mana umat Islam seolah-olah dijadikan mangsa kepada kegelojohan musuh-musuh Islam yang dari dulu mencari peluang untuk mengganyang umat Islam.

Suasana akhir-akhir ini, selepas tragedi 11 September 2001 seolah-olah menghalalkan untuk mengambil apa sahaja tindakan ke arah pengganyang umat ini dan sekaligus hendak membenarkan Islam itu dari terus wujud di maya pada ini.

Tetapi yakinilah wahai saudara yang seagama denganku bahawa Allah telah menjanjikan suatu 'madah' yang akan menjadi perangsang untuk pejuang-pejuang Islam khasnya di akhir-akhir Ramadan dengan ayat Allah yang bermaksud : "mereka itu musuh-musuh kamu hendak menghapuskan cahaya Allah, agama Islam dengan pelbagai usaha mereka tetapi Allah tidak membiarkan mereka berbuat demikian, dan Dia (Allah) akan menyempurnakan agama kamu dan memenangkan meskipun dibenci oleh orang-orang musyrikin."

Janji-janji seperti ini jelas diterangkan dalam al-quran seperti dalam surah Annur ayat 55 yang mafhumnya : " Allah berjanji dengan kamu yang beriman denganNya. akan diangkat mereka menjadi khalifah (pemerintah) seperti mana Allah telah mengangkat angkatan-angkatan sebelum daripada angkatanmu pemerintah bumi Allah dan pada ketika itu segala perkara huru hara yang berlaku akan digantikan dengan keamanan yang sebenar. Kamu menyembah Allah tanpa menyekutuiNya. Dan sesiapa yang tidak percaya dengan janji sedemikian itu, mereka itu ialah orang-orang yang fasiq."

Oleh itu, maka Ramadan yang bakal tinggalkan kita ini amat berguna lagi kalau diisinya dengan pengorbanan harta benda bagi membantu perjuangan sebagaimana lambang kewajipan fitrah yang diwajibkan kepada setiap individu yang hidup sepanjang Ramadan hingga mencecah menemui awal Syawal.

Pun demikian keseluruhan umat Islam mengeluarkan kewajipan fitrah mereka pada beberapa hari terakhir Ramadan. Hampir berlaku orang yang semata-mata sengaja tidak tunggu kedatangan syawal barulah hendak menunaikan kewajipan zakat fitrah.

Amalan mengawali membayar zakat fitrah adalah petunjuk kepada wujudnya ibadah 'maliyyah' walaupun sedikit tetapi seboleh-bolehnya pengorbanan harta ini dibuat sebanyak yang mungkin bagi mengejar ganjaran yang sebanyak mungkin, lebih-lebih lagi jika sekiranya pengorbanan harta itu dilakukan pada malam Qadar atau setidak-tidaknya berlaku dalam bulan Ramadan.

Maka semuanya itu menyaksikan kita tergolong dalam golongan hamba-hamba Allah yang cukup beruntung memanafaatkan kedatangan Ramadan dengan amal-amal yang berguna untuk diri kita khususnya di saat kita menemui Allah di hari akhirat nanti.

Dato' Dr Haron Din

Harakahdaily

Nik Aziz tolak sebarang rundingan dengan UMNO

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak sebarang rundingan dengan UMNO selagi parti itu masih memperjuangkan dasar kebangsaan dan tidak memperjuangkan Islam.

Nik Abdul Aziz berkata, cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berunding dengan Pas demi kepentingan umat Islam di negara ini boleh dianggap sebagai 'cerita lama'.

“Ini cerita lama. Nak berunding apa lagi, nak runding apa. Kalau nak runding fasal petroleum Kelantan bolehlah. Kalau nak tentu tarikh bila MB Kelantan pergi Kuala Lumpur yang itu boleh runding,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darul Naim dekat sini, semalam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, adalah lebih baik tiada rundingan di antara kedua-dua parti.

“Berunding apa, kalau dia nak jaga Islam lebih baik dia buat seperti mana yang saya sebut. Tukar dasar daripada dasar kebangsaan kepada dasar Islam. Barulah benar-benar menampakkan kita ini ikhlas dengan Islam.

“Senang tak ada apa. Kelantan telah hidup lebih kurang 20 tahun dah di bawah dasar Islam. Dasar Islam salah satu yang kami buat ialah kami tukar pemikiran rakyat daripada jadi ‘Pak Turut Eropah’ kepada ‘Pak Turut Nabi Muhamad SAW’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Najib pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Krai yang mengatakan UMNO sanggup berunding dengan Pas untuk kepentingan umat Islam negara ini.

Ketika diminta mengulas peruntukan sebanyak RM8.9 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan pusat untuk pembangunan kawasan Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Nik Abdul Aziz melahirkan rasa terima kasih di atas peruntukan itu.

“Terima kasih kepada pihak kerajaan pusat yang telah menolong Kelantan di dalam pelbagai bidang kerana itu adalah kewajipan kerajaan pusat," katanya.

Perdana Menteri kelmarin dilaporkan meluluskan projek pembangunan untuk penduduk Manik Urai berjumlah RM8.9 juta sebagai menepati janji pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Manek Urai, 14 Julai lalu.

Sumber: Sinar Harian

Pakatan Rakyat tetapkan Pas tanding di Bagan Pinang

SEREMBAN 9 Sept — Pakatan Rakyat (PR) Negeri Sembilan menetapkan calon Pas bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Keputusan itu diumumkan oleh Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar pada sidang akhbar di pejabat Perhubungan Pas Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan yang juga anggota Parlimen Telok Kemang Datuk Kamarul Bahrin Abbas serta Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang juga Anggota Parlimen Rasah dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak Loke Siew Fook.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor pada Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Azman, 54, yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan undi 6,430 menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi.

Zulkefly berkata keputusan meletakkan calon Pas adalah berdasarkan kesefahaman yang dicapai di antara mereka.

Ditanya mengenai calon Pas, beliau berkata ia akan diumumkan seminggu atau dua tiga hari sebelum tarikh penamaan calon yang akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya calon yang dipilih adalah mengikut ksesuaian beliau di kawasan itu berdasarkan pandangan akar umbi dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengumumkan nama calon berkenaan.

Sementara itu, Kamarul Bahrin meminta SPR mengkaji semula proses pengundian undi pos di kem tentera sebab ramai di kalangan anggota tentera didapati tinggal di luar kem dan mereka ini tidak wajar dianggap sebagai pengundi pos.

— BERNAMA

Saksi dakwa didera SPRM beri keterangan dalam inkues

SHAH ALAM 9 Sept — Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock hari ini dikejutkan dengan pendedahan seorang saksi yang mendakwa didera secara fizikal oleh 10 hingga 15 pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di pejabat suruhanjaya itu di Tingkat 14, Plaza Masalam di sini.

T. Sivanesan, 23, pembantu pengurus syarikat Puncak Rezeki di Kuantan, Pahang berkata antara bentuk penderaan yang dialaminya termasuklah ditampar, ditumbuk di seluruh badan, dirotan di bahagian kemaluan dan dibelasah dengan menggunakan besi yang dibalut dengan kertas surat khabar.

“Ketika saya didera, saya hanya memakai seluar dalam sahaja dan dalam keadaan tangan bergari di belakang. Saya turut ditendang dan ditumbuk seluruh badan oleh 10 hingga 15 orang pegawai.

“Pada satu ketika, seorang pegawai menyuruh saya memakai semula baju kerana Timbalan Pengarah SPRM turut berada di situ, bagaimanapun timbalan pengarah yang dikatakan itu berkata “Teruskan saja, kenapa, takut ke?” katanya.

Sivanesan yang memberikan keterangan sebagai saksi peguam mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, berkata kejadian penderaaan itu berlaku selama dua hari iaitu pada 4 dan 5 Sept 2008, bagaimanapun soal siasat terhadapnya berlanjutan selama tiga hari lagi.

Gobind dalam prosiding semalam, memberitahu mahkamah beliau akan memanggil Sivanesan sebagai saksi bagi membuktikan dakwaan bahawa pegawai SPRM menggunakan kekerasan ketika menyoal siasat, dan seterusnya menunjukkan terdapat percanggahan dalam keterangan saksi SPRM, pegawai penguasa Mohd Ashraf Mohd Yunus sebelum ini.

Sivanesan berkata pada hari kejadian (iaitu pada 4 Sept 2008) beliau didatangi tiga pegawai SPRM yang dikenali sebagai Zulkifli, Asyraf (yang diketahui nama mereka kemudian melalui laporan sebuah akhbar tabloid) dan pegawai yang dikenali sebagai J, di rumahnya di Klang sebelum membawanya ke pejabat SPRM di Plaza Masalam, bagi membantu siasatan.

“Ketika ditempatkan dalam sebuah bilik, seorang pegawai SPRM bernama Mohan berkata dalam Bahasa Tamil jika saya tidak bercakap benar tempat ini akan menjadi neraka. Saya juga diarahkan untuk menandatangani surat tahanan dan tangkapan, bagaimanapun saya enggan berbuat demikian kerana pada mulanya saya diberitahu hanya untuk membantu siasatan bukannya ditahan.

“Saya kemudian ditampar oleh seorang pegawai lain kerana masih enggan menandatangani surat berkenaan. Pada masa itu lah pegawai tersebut menyuruh saya membuka baju dan hanya memakai seluar dalam,” katanya.

Sivanesan berkata beliau turut dilempar dengan kata-kata kesat, ditutup mata dengan kain tuala dan dirotan kemaluan oleh pegawai dikenali sebagai Ashraf sehingga menyebabkannya mengalami kesakitan selama hampir 20 minit.

Sivanesan berkata beliau pengsan setelah dipukul teruk dan ketika tersedar pada pukul 6 pagi esoknya, beliau mendapati seketul ais dalam bungkusan plastik telah diletakkan dalam seluar dalamnya.

Kata saksi itu lagi kejadian sama turut dialaminya pada hari kedua menyebabkan seluar dalam yang dipakainya terkoyak pada bahagian depan dan belakang akibat dirotan sekali lagi di bahagian kemaluan oleh Ashraf.

Seluar dalam berwarna putih tersebut turut ditunjukkan oleh Sivanesan di mahkamah hari ini.

“Pada hari kedua juga saya turut ditumbuk perut, punggung, kepala dan dilempang oleh seorang pegawai di koridor pejabat SPRM. Apabila ada pegawai lain memberitahu timbalan pengarah ada di situ, pegawai itu tidak mengendahkannya sambil berkata : “Semalam pun dia bagi (mendera mangsa)”.

“Selepas dipukul pada hari kedua saya diberikan panadol dan minyak sapu.

Apabila dibebaskan saya membuat laporan polis yang ditaip oleh bapa saudara saya iaitu Muthiah. Pegawai polis dikenali sebagai Inspektor Firdaus memberikan surat supaya saya membuat pemeriksaan di klinik,” katanya.

Sivanesan berkata pihak klinik kemudian merujuk beliau ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang dan dia ditempatkan di wad selama empat hari kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala, buah pinggang dan kemaluan.

“Bapa saudara juga menyuruh saya mengambil gambar kecederaan tersebut.

Selain pihak polis, saya turut membuat laporan kepada badan bukan kerajaan (NGO) seperti SUARAM (Suara Rakyat Malaysia), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T.Murugiah melalui Biro Pengaduan Awam (BPA).

Menjawab soalan Gobind sama ada beliau tahu di antara keempat-empat agensi itu yang manakah mengambil tindakan dengan menjalankan siasatan lanjut, Sivanesan berkata, “ Yang saya tahu BPA ada menjalankan siasatan”.

Sementara itu, peguam mewakili Kerajaan Selangor Malik Imtiaz Sarwar berkata pihaknya akan memanggil pakar forensik patologi terkenal dari Thailand iaitu Pornthip Rojanasunand untuk memberikan keterangan Isnin depan, selain memanggil semula pakar patologi HTAR Dr Khairul Azman Ibrahim.

Prosiding di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung esok dengan sesi soal balas Sivanesan oleh peguam mewakili SPRM Datuk Abdul Razak Musa

— BERNAMA