Kota Siputeh diisytihar kosong

Kerusi DUN Kota Siputeh diisytiharkan kosong dan membuka laluan kepada pilihan raya kecil jika penyandangnya dari Umno, Datuk Abu Hassan Sarif gagal dalam rayuannya.

Keputusan tersebut dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini setelah mendengar permohonan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan Abu Hassan sebagai ADUN di situ.

Abdul Isa memfailkan saman pada 1 Oktober lalu, menamakan Abu Hassan daripada BN dan SPR sebagai responden.

Beliau memohon diisytiharkan Abu Hassan bukan lagi ADUN bagi kerusi tersebut berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN secara berturut-turut dan injunksi menghalang beliau daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi itu kosong dan memerintahkan SPR mengadakan pilihan raya kecil di samping memohon ganti rugi, kos dan faedah lain.

Pada 1 September lalu, SPR memutuskan tidak berlaku kekosongan di kerusi Kota Siputeh dan Abu Hassan masih menjadi wakil rakyatnya.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bertindak bagi pihak SPR.

DUN Kedah akan bersidang esok untuk meluluskan bajet kerajaan PAS negeri itu.

Abu Hassan boleh memfailkan rayuan. Permohonan lisannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mahkamah itu tidak dibenarkan hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah akan mendengar permohonan formalnya Jumaat ini.

Dalam pilihan raya umum lalu, Abu Hassan menewaskan calon PAS Ismail Wan Teh dengan majoriti kecil 495 undi.

Abu Hassan mendapat 8,160 undi manakala Ismail mendapat 7,665 undi.

Sumber: Malaysiakini

Hari Augerah Kecemerlangan PASTI Kawasan Kampar Kali Ke 10

parent1

Sebahagian dari ibubapa yang turut hadir

pakaian bragam

Pertunjukan pakaian beragam

nuha2

Persembahan anak-anak PASTI.


Menurut Pengerusi Pasti Kampar, Sdr Abdul Manaf bin Haji Ismail, Hari Anugerah kali ke 10 ini cuba membuktikan kepada massa pencapaian anak-anak didik Pasti Kampar , antaranya berjaya mewakili Perak ke pertandingan membaca peringkat kebangsaan.

Para hadirin terhibur dengan persembahan pelajar Pasti yang mengalunkan nasyid, hafazan Quran , azan dan membaca jawi dengan lancar.

rasmi

Ucapan perasmian oleh Setiausaha Pasti Perak.

Majlis Anugerah Pasti Kampar telah berlangsung meriah di Dewan Maahad Tahfiz Tualang Sekah dengan persembahan pelajar, ucapan penuh motovasi oleh pimpinan Pasti dan penyampaian hadiah.

Majlis telah dirasmikan oleh Sdr Muhammad Hadri b Abd Majid, Setiausaha Pasti Perak. Turut Hadir ialah Tn Hj Rosli Suhaime, Setiausaha Pasti Pusat yang juga mantan pengerusi Pasti Kampar, Sdr Ridzuan Rashid, Ketua DPP Kampar dan Sdr Yunuf Haji Kechik, Setiausaha Pas Kampar.

Royalti jadi ehsan satu perbuatan khianat dan jahat

KUALA TERENGGANU, 9 Nov: Perbuatan mengubah pembayaran royalti minyak kepada wang ehsan yang dilakukan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional kepada negeri Terengganu dan Kelantan adalah satu pengkhianatan yang jahat.

Penasihat Lajnah Guaman dan Undang-undang PAS Terengganu, Datuk Wan Mutalib Embong berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam yang dianjurkan oleh DUN Alor Limbat disebuah restoran dekat sini semalam.

"Sepertimana apa yang dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Najib di Parlimen dua hari lepas, dia (Najib) kata, kita dah buat keputusan supaya hasil minyak yang dapat di perairan Kelantan itu di beri kepada rakyat Kelantan, tetapi cara dia kata, seperti mana kita beri kepada Terengganu iaitulah melalui wang ehsan.

"Ini pengkhianatan dan jahat yang paling jahat!,"katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam yang dianjurkan oleh DUN Alor Limbat disebuah restoran dekat sini semalam lapor Buletinonline.

Menurutnya, Najib juga sehingga kini tidak mengotakan janjinya untuk memulangkan royalti minyak Terengganu, sewaktu berkempen dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Katanya, pemberian royalti bukan hak peribadi Najib, namun soal pemberian royalti adalah undang-undang menurut Akta Pembangunan Petroleum 1973.

"Bukan soal bagi (beri royalti), bukan soal hak 'tok' dia, bukannya hak 'bapak’' dia, ini undang-undang, dalam undang-undang Akta Pembangunan Petroleum 1973,"tegasnya.

Menurutnya, akta tersebut memperuntukkan setiap penyerahan hasil minyak kepada kerajaan pusat mestilah dibalas dengan pemberian royalti sebanyak 5% dan perkataan 'lima peratus' itu ditulis dengan terang dan jelas.

Sumber: Harakahdaily

Presiden PAS arah guna IT lawan persepsi buruk

SHAH ALAM, 8 Nov: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta PAS menggunakan IT sepenuhnya untuk melawan segala tohmahan sehingga melahirkan persepsi buruk terhadap PAS.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan di majlis perasmian sambutan 10 Tahun Jabatan IT PAS Pusat.

"Kita memang tersekat untuk masuk dalam semua rumah rakyat negara ini, tetapi saya yakin ICT boleh melakukannya," kata Abdul Hadi dalam ucapannya itu.

Untuk melaksanakannya, beliau meminta kajian, penyelidikan dan inovasi dibuat untuk membolehkan perkara ini dilaksanakan.

"Kita mesti mendahului lawan kita dalam hal ini walaupun kita kekurangan jentera, petugas dan sebagainya," kata beliau.

Dalam ucapannya itu juga, Abdul Hadi menyelar pihak-pihak yang menggunakan IT sekarang untuk menyebarkan maklumat salah sehingga menimbulkan fitnah.

"Kena ingat, fitnah ini besar dosanya," katanya.

Turut hadir dalam majlis sambutan ini adalah Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad.

Arahan Abdul Hadi ini diadakan sehari selepas seminar memperkasakan PAS yang banyak mendapat imput baru untuk memperkasakan parti Islam itu.

Sumber: Harakahdaily

FUTSAL PIALA YDP PAS KALI KE EMPAT 8/11/2009

Sesi Temu Ramah dengan Wartawan Sinar Harian

Ketua DPPK sedang ditemuramah oleh wartawan Sinar Harian.

DSCN1361Pendaftaran pasukan sedang bermula.

Gambar Kenangan

Barisan AJK DPP dan urusetia program


DSCN6284Pegawai Khas MB Pakatan Rakyat turut hadir.

DSCN6286Sebahagian aksi perlawanan kali ini.

Dewan Pemuda Pas Kawasan Kampar telah menganjurkan pertandingan Futsal Piala YDP PAS Kampar kali Ke 4. Program dirasmikan oleh Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Sdr Salman Salleh. Sebanyak 19 pasukan telah berentap untuk merebut kejuaraan pada tahun ini.

Empat pasukan yang layak untuk berentap pada pusingan akhir ialah: JUPEM, Pasukan Belia Kampar, Kelab Sukan Maybank Ipoh dan Pekan Razaki Ipoh.

Keputusan: Johan pada tahun ini ialah pasukan Kelab Sukan Maybank Ipoh.

Jangan terperangkap! serang 'sahabat satu jemaah' lebih hebat dari serang musuh


KUALA LUMPUR, 5 Nov: Seluruh petugas PAS diingatkan jangan terperangkap dengan 'agenda musuh' sehingga mencetuskan polimik sesama sendiri dan lupa fokus paling utama untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sama ada sedar mahupun tidak, PAS katanya sedikit demi sedikit telah masuk ke perangkap musuh apabila menyerang 'sahabat dalam satu jemaah' lebih hebat dari menyerang musuh sebenar.

Selain merugikan jemaah, membuang masa, tenaga dan wang ringgit, tindakan itu juga seperti menghulurkan peluru kepada musuh untuk menyerang PAS itu sendiri.

"Jangan masuk perangkap musuh yang sengaja menimbulkan perpecahan di kalangan kita. Di mana ukhuwah jamaah, sehingga kita menyerang sahabat dalam satu jamaah lebih hebat dari kita meyerang 'musuh' kita sebenar.

"Apakah sudah hilang ukhuwah jamaah, sudah hilang rasa sayang pada saudara sesama jamaah, sehingga kita sanggup memberikan peluru kepada musuh untuk menyerang sahabat kita," tulis dalam blognya http://tuanibrahim.blogspot.com.

Beliau yang juga pengerusi Lembaga Disiplin PAS berkata, Petugas PAS perlu sedar bahawa Umno sudah menukar strategi mereka setelah melihat sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat semakin meningkat sejak PRU ke-12 dan tujuh pilihanraya kecil berikutnya.

Umno kini katanya menggunakan strategi menimbulkan pergolakan dalaman parti parti dalam PR sehingga timbul pelbagai pandangan dalaman yang berbeza yang mampu menggawatkan parti masing masing.

Strategi itu katanya dilihat berjaya apabila disokong sepenuhnya media arus perdana dan media baru yang mengalihkan perhatian masyarakat dengan menumpukan kepada krisis dalaman PR.

"Kaedah mengalih perhatian diguna sepenuhnya oleh media perdana dan media baru sehingga kini dilihat berjaya.

"Pengalihan pandangan dan pemerhatian ini menyebabkan seluruh pemerhatian tertumpu kepada soal krisis yang diciptakan menyebabkan terlalu banyak masa, tenaga dan fikiran tertumpu kepada perkara yang tidak sepatutnya dihabiskan," tulisnya lagi.

Namun katanya, keadaan masih belum terlewat untuk petugas PAS kembali kepada fokus sebenar iaitu merancang straregi menang PRU ke-13.

"Jangan kita terperangkap dengan agenda musuh agar kita menghabiskan masa kepada perkara yang bukan menjadi tugas kita.

"Dengan kata lain jangan anda habis masa, tenaga dan wang ringgit memikirkan masalah yang sebenarnya bukan masalah," tegasnya.

Keadaan yang berlaku pada PAS kini turut dianalogikan dengan kisah 'enam pelabur' bercadang menternak kambing.

Biarpun projek mereka belum berjalan namun masing-masing sudah bergaduh memikirkan pembahagian keuntungan.

Sehingga salah seorang dari mereka dilaporkan berkata:

"Kita nak bahagi keuntungan, tapi di mana kambingnya. Kambing pun tak ada lagi, dah bincang untung rugi". ceritanya dipetik.

"Barulah mereka sedar rupanya mereka bincang perkara yang tak ada. Menghabiskan masa, tenaga dan memeningkan kepala saja," katanya.

Resolusi Konvensyen Pakatan Rakyat Perak pada 31/10/2009




Konvensyen Pakatan Rakyat Negeri Perak yang telah bersidang pada 31 Oktober 2009 bersamaan 12 Zulkaedah 1430 telah merumuskan resolusi berikut :-

1. Kesepakatan dan perpaduan Pakatan Rakyat perlu terus diperteguh dan diperkasakan bagi menumbangkan UMNO/BN. Segala bentuk prejudis dan prasangka buruk sesama rakan Pakatan Rakyat perlu dihindari.

2. Meningkatkan amalan prinsip ‘collective decision’ melalui meja rundingan sebagai kaedah penyelesaian masalah.

3. Mengukuh dan menggerakkan organisasi parti dengan penekanan serius kepada menubuh dan menggerakkan majlis pemuafakatan Pakatan Rakyat di semua peringkat parti.

4. Menghapuskan doktrin perkauman sehingga ke akar umbi seterusnya meningkatkan hubungan sesama rakyat, kakitangan kerajaan, ahli politik, NGO dan Istana.

5. Menampilkan calon berwibawa dan berintegriti sebagai asas dan fokus kemenangan calon Pakatan Rakyat di DUN dan Parlimen. Fokus kepada program pembangunan jatidiri seluruh ahli parti terhadap perjuangan masing-masing.

6. Meneruskan prinsip 5K Keadilan, Kewibawaan, Ketelusan, Kebajikan dan Kebebasan sebagai asas bekerja dan memerintah.

7. Menerus dan memperbanyakkan siri dan media penerangan keseluruh negeri agar rakyat menerima maklumat yang tepat dan pemikiran rakyat tidak dijajah oleh Umno/BN.

8. Program mewujudkan ‘kebersamaan’ antara parti komponen Pakatan Rakyat perlu segera dilaksanakan agar seleruh ahli Pakatan Rakyat memahami perjuangan rakan seperjuangan.

9. Munajat yang berterusan bagi memohon pertolongan dan keredhaan Allah swt sama ada sewaktu dilanda krisis mahupun tidak.

10. Jawatankuasa resolusi mencadangkan agar gagasan Pakatan Rakyat disegerakan pendaftaran diperingkat nasional dengan penggunaan 1 logo.