MB Kedah: Biar penduduk Memali ambil tindakan pada Kosmo!


Menteri besar Kedah menyerahkan isu tuduhan ajaran sesat dalam Kosmo! kepada penduduk Kampung Memali untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada akhbar tersebut.

"Mungkin mereka akan mengambil tindakan undang-undang kerana menyamakan kes Memali dengan ajaran sesat. Ia merupakan satu perkara yang tidak betul dan perkara itu sudah selesai," kata Datuk Seri Azizan Abdul Razak

"Biarlah orang Memali mengambil tindakan yang wajar kepada mereka," katanya, sambil menambah beliau sendiri mengetahui kontroversi ini selepas dimaklumkan oleh penduduk kampung terbabit.

"Kalau (di) Memali itu ajaran sesat, bagaimana (Sultan Kedah) Sultan Abdul Halim sendiri menziarahi pusara Ibrahim Mahmud dan kawannya di Parit Panjang (di Baling)?"

Beliau mengadakan sidang media di Kuala Lumpur petang ini selepas mempengerusikan mesyuarat kerajaan Kedah di pejabat Kedah Business Centre di ibu negara.

Azizan, yang juga pesuruhjaya PAS Kedah, berkata isu Memali selesai sejak 24 tahun lalu dan mempersoalkan kewajaran tragedi berdarah yang mengorbankan 14 orang itu ditimbulkan semula.

Ditanya tindakan PAS Kedah berhubung itu tersebut, Azizan berkata: "Memali jangan dikaitkan dengan PAS. Kebetulan mereka (ini) ahli PAS, tapi perjuangan mereka bukan perjuangan PAS."

"Perjuangan (yang menyebabkan) peristiwa Memali bukan perjuangan PAS tetapi mereka adalah sebahagian daripada ahli PAS," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Pemuda PAS hari ini turut menyerahkan memorandum kepada akhbar itu sebagai tanda bantahan mereka.

Dalam memorandum yang diserahkan ketuanya Nasrudin Hassan, dewan itu antaranya mendakwa tulisan itu "jelas berunsur fitnah yang melampau dan berniat jahat terhadap PAS".

Sehubungan itu, mereka mendesak Kosmo! menarik balik artikel tersebut dan membuat permohonan maaf terbuka kepada PAS dan keluarga yang terlibat dalam peristiwa berdarah, penghujung 1985.

"Kita beri mereka satu, dua hari (untuk memohon maaf) sebelum memfailkan saman di mahkamah," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam kunjungan tengah hari tadi, Nasrudin berkata rombongan beliau disambut pengarangnya Baharom Mahusin yang menurutnya berjanji akan menimbulkan perkara itu kepada "pihak atasan" penerbitnya kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd.

Sementara itu, PAS Baling turut mendesak akhbar itu menarik balik artikel 'Jangan Pandang Rendah Ajaran Sesat'.

Ketua penerangannya Mat Juki Ahamad juga mendesak harian itu memohon maaf berhubung penyiaran artikel kelmarin.

"Mereka menulis dengan mengaitkan (allahyarham) Ustaz Ibrahim (Mahmud) dengan ajaran sesat dalam peristiwa Memali.

"Perkara ini sudah lama selesai, kerajaan sudah bayar pampasan, tiba-tiba mereka mengingatkan semula," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Selain PAS kawasan itu, aduan polis turut dibuat oleh balu Ibrahim, penceramah PAS yang lantang dan juga bekas seorang pegawai agama di Jabatan Perdana Menteri.

Aduan polis tersebut dibuat di balai polis Baling, kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Mat Juki, yang juga pengetua sekolah yang diasaskan oleh allahyarham, turut menggesa akhbar tersebut mendapatkan maklumat perinci mengenai tragedi itu yang mengorbankan 14 orang pada penghujung 1985.

"Kalau ajaran sesat takkan (Sultan Kedah) Sultan Abdul Halim, sebagai ketua agama Islam di Kedah mahu mencemar duli datang menyiram air mawar (di kuburan Ibrahim dan pengikutnya).

"Ini bermakna allahyarham (Ibrahim) tak sesat," katanya.

Sumber: Malaysiakini

TRAGEDI KUALA DIPANG




Struktur lemah punca tragedi?

Cara pembinaan jambatan gantung menyeberang Sungai Kampar di Kuala Dipang dekat Kampar yang runtuh menyebabkan seorang murid lemas dan dua lagi hilang semalam hangat dipersoalkan oleh pelbagai pihak yang berada di tempat kejadian.

"Saya seperti tidak percaya apabila melihat saiz konkrit pelapik tiang jambatan... ia terlalu kecil dan tiada cerucuk," kata seorang penduduk yang enggan dikenali.

Beliau yang mendakwa berpengalaman dalam sektor pembinaan berkata saiz konkrit berkenaan yang kecil tidak sepadan dengan tiang besi jambatan yang turut menampung kabel besi jambatan.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam tadi, 19 murid lain sempat diselamatkan oleh guru dan pengawal SK Kuala Dipang apabila mereka terhumban ke dalam sungai yang mengalir deras apabila sepasang tiang berkenaan runtuh semasa mereka sedang menyeberang Sungai Kampar untuk jamuan.

Murid berkenaan sebahagian daripada 298 murid dari 64 buah sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai aktiviti kokurikulum perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.

Seorang bapa murid, S Thiagaran, 42, berkata beliau hairan apabila melihat konkrit bagi tiang jambatan itu tidak dipasang besi cerucuk.

"Dari pemerhatian saya, simen pada kaki jambatan ini juga masih belum kering dan ia menunjukkan keadaan yang tidak selamat," katanya.

Jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu baru siap dua minggu lepas dan menurut seorang anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Kuala Dipang, ia dibina bagi menggantikan sebuah jambatan gantung lama yang telah runtuh sebelum ini.

Seorang lagi bapa murid Jaafar Arif, 65, berkata tindakan tegas perlu diambil hasil daripada siasatan yang dijalankan pihak berkuasa kerana kejadian itu telah menyebabkan kehilangan nyawa.

Seorang penjawat awam yang berpengalaman dalam kegiatan lasak pula berpendapat bahawa jambatan gantung biasanya dihadkan bilangan pengguna kerana ia berbuai-buai atau bergoyang dan boleh menyebabkan pengguna terjatuh jika tidak berhati-hati.

ADUN PR hadir sidang, dapat jaminan polis

KUALA LUMPUR, 27 Okt: 28 ADUN Pakatan Rakyat Perak hari ini mengesahkan kehadiran ke sidang DUN esok setelah mendapat jaminan daripada pihak polis bahawa keselamatan mereka akan dijaga.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat (PRBBC) Khalil Idham Lim berkata, mereka akan hadir berdasarkan notis panggilan mesyuarat yang dikeluarkan oleh speaker yang sah.

"Kami (ADUN Pakatan) akan hadir atas panggilan speaker yang sah. Saya tak mahu sebut nama, tapi saya tegaskan, speaker yang sah,"katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Khalil merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak polis yang memberikan jaminan akan menjaga keselamatan mereka itu.

"Saya ucapkan terima kasihlah di atas jaminan itu,"ujarnya.

Semalam, Khalil yang juga ADUN Titi Serong berkata kesemua ADUN Pakatan mungkin tidak akan menghadiri sidang DUN Rabu ini jika polis gagal memberi jaminan terhadap keselamatan mereka.

"Sebelum ini kami (ADUN Pakatan) minta jaminan daripada pihak polis. Apa jaminan yang mereka boleh bagi untuk pastikan keselamatan kami terjamin," katanya lagi.

Menteri Besar Pakatan Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin seperti yang dilaporkan laman web Malaysikini sebelum ini mendakwa beliau mendengar dari sumber-sumber tidak sah tetapi boleh dipercayai bahawa Umno akan mengupah 15 orang "samseng" untuk menggantikan pengawal keselamatan di DUN bagi menghalang "berlaku sebarang kekecohan dari pihak Pakatan.

Nizar juga memberitahu bahawa beliau mendengar dari sumber-sumber di Sekretariat Kerajaan Negeri (SUK) bahawa 28 ADUN Pakatan akan dihalang daripada membawa telefon bimbit dan kamera untuk merakam sebarang kejadian tidak diingini yang mungkin berlaku dalam sidang esok.

Khalil sebentar tadi turut memaklumkan perkembangan terkini berhubung sidang DUN esok yang dihantar ADUN DAP Beruas Ngeh Kor Ham melalui khidmat pesanan ringkas (sms).

Ngeh membuat tinjauan ke Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi melihat perkembangan terkini.

Ngeh dalam pesanannya memberitahu polis baru sahaja selesai memasang kamera berparabola di sekeliling Bangunan Perak Darul Ridzuan dihubungkan terus ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memantau sebarang kejadian esok.

"Polis turut memasang mesin pengesan di pintu masuk utama. Beberapa petugas sedang mencuba mikrofon tanpa wayar kemungkinan akan digunakan speaker mereka apabila mereka mematikan mikrofon ADUN PR," lapornya dalam sms berkenaan.

Sumber: Harakahdaily

Bersih: Kemungkinan 10 lagi p'raya kecil

Lapan ahli parlimen dan dua ADUN Pakatan Rakyat mungkin kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat ekoran mereka didakwa atas tuduhan menyertai perhimpunan agung dan kesalahan yang berkaitan dengannya.

Selain ahli parlimen PKR di Batu, Tian Chua - yang didapati bersalah atas tuduhan menggigit seorang anggota polis ketika dalam perjalanan ke Parlimen pada 2007 - tujuh lagi rakannya mungkin menerima nasib yang sama.

Mereka ialah ahli parlimen PKR - Azmin Ali, Sivarasa Rasiah, N Gobalakrishnan - Tony Pua (DAP), Dr Dzulkifly Ahmad, Dr Hatta Ramli dan Dr Lo' Lo' Ghazali dari PAS.

"Ini bermakna Pakatan Rakyat mungkin tinggal 74 kerusi di Parlimen," kata Bersih - gabungan parti politik dan NGO yang berkempen untuk pilihanraya bebas dan adil.

Dengan itu, katanya, BN akan memperolehi semula penguasaan dua pertiga di Parlimen.

"Dua DUN DAP (Selangor) - Ronnie Liu dan Lau Weng San - juga mungkin menjadi mangsa "gelombang" kedua terhadap perhimpunan haram.

Khamis lalu, Tian Chua didenda RM3,000 dan dihukum enam bulan penjara selepas didapati bersalah menggigit seorang anggota polis dan menghalangnya untuk menjalankan tugas.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman untuk membolehkan Tian Chua memfailkan rayuan. Jika semua rayuannya ditolak, maka Tian Chua akan hilang kelayakannya sebagai ahli parlimen.

Bersih, yang menyifatkan penghakiman tersebut sebagai satu pendakwaaan terpilih, mengingatkan bahawa jika rakyat tidak membantah "tekanan" seumpama itu, maka 10 wakil rakyat pembangkang mungkin turut hilang kelayakan mereka.

Sumber: Malaysiakini

Pemuda Umno Perak takut berdebat



IPOH, 24 Okt: Dewan Pemuda PAS (DPP) Perak menyifatkan Pemuda Umno negeri itu pengecut dan penakut ekoran tidak mahu pula untuk berdebat.

Mereka sebelum ini telah mengemukakan cabaran debat kepada Pemuda PAS negeri itu atas tajuk mencari kebenaran siapa benar siapa salah dalam insiden sidang DUN Perak 7 Mei lalu.

Cabaran yang disiar akhbar Sinar Harian edisi perak pada 22 Oktober lalu juga turut meminta DDP Perak menunjukkan bukti benarkah Adun BN bertindak merampas kerusi Speaker dari V.Sivakumar.

Mereka juga menuntut supaya DPP membuktikan adakah benar dakwaan bahawa Pakatan rakyat di pihak benar dan BN di pihak salah.

Namun, apabila DPP ingin menghantar surat menyahut cabaran itu semalam, Pemuda Umno pula didakwa mengelak dan tidak mahu untuk berdebat.

DPP Perak diketuai ketua penerangannya Mohd Akmal Kamarudin semalam telah pergi ke pejabat Pemuda Umno bagi menyerahkan surat menyahut cabaran debat tersebut.

Namun rombongan mereka dihalang oleh petugas pemuda Umno di tengah jalan 50 meter dari pagar bangnunan Umno Perak.

Petugas Pemuda Umno itu hanya memberitahu mereka telah diarahkan oleh ketua mereka untuk tidak menerima surat tersebut.

Surat tersebut antara lain memaklumkan DPP Perak bersedia pada bila-bila masa dan di mana sahaja untuk berdebat secara intelektual berhubung isu tersebut.

Image"Mengapa pemuda umno berdolak dalih, bukankah pemuda umno cabar supaya kami tunjukkan bukti, tapi bila kami nak tunjukkan bukti mengapa pemuda umno tak berani berdepan," kata Akmal.

"Apakah pemuda umno Perak tiada sebarang hujah sehingga menyebabkan mereka tidak berani berdepan dengan pemuda PAS Perak?" soalnya.

Sumber: Harakahdaily

'Samseng' diupah kawal sidang DUN Perak?


Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin membuat "rayuan peribadi" kepada Sultan Perak supaya membatalkan sidang bajet Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kerana beliau bimbang berlaku kekecohan jika ia diteruskan.

Nizar mendakwa beliau mendengar dari sumber-sumber tidak sah tetapi boleh dipercayai bahawa Umno akan mengupah 15 orang "samseng" untuk menggantikan pengawal keselamatan di DUN bagi menghalang "berlaku sebarang kekecohan dari pihak kami".

Dakwanya lagi, apa yang membimbangkan beliau ialah 15 orang samseng ini telah diarahkan supaya mensasar dan memukul lima ADUN bukan Islam dari Pakatan.

Menurut Nizar lagi, satu sumber memberitahu beliau bahawa lima ADUN Pakatan itu ialah Chang Lih Kang (Teja), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), S Kesavan (Hutang Melintang), A Sivasubramaniam (Buntong) and Thomas Su (Pasir Pinji).

Nizar memberitahu Malaysiakini bahawa beliau mendengar dari sumber-sumber di Sekretariat Kerajaan Negeri bahawa 28 ADUN Pakatan akan dihalang daripada membawa telefon bimbit dan kamera untuk merakam sebarang kejadian tidak diingini yang mungkin berlaku dalam sidang dewan Rabu ini.

Dakwaan yang sama juga dibuat oleh setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming dalam sidang akhbarnya semalam.

"Kami juga mendengar bahawa kami perlu melalui pemeriksaan keselamatan yang ketat, termasuk penggunaan pengesan logam," kata Nizar.

"Kami bukan penjenayah yang perlu melalui layanan yang memalukan itu oleh regim BN, yang telah menghina pengundi yang telah memilih kami sebagai wakil rakyat mereka," tambahnya.

Nizar berkata, ADUN Pakatan Rakyat tidak akan mencetuskan sebarang gangguan dan kekecohan di sidang dewan itu nanti.

"Kekecohan tidak akan berpunca daripada kami yang melakukan tugas kami mengikut Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Perak dan Perlembagaan Perak," tambahnya.

Sumber: Malaysiakini

Sidang Dun Perak, ada usaha halang Adun PR masuk awal

Persidangan DUN Perak yang dijadualkan berlangsung 28 Oktober depan bakal menyaksikan nanti beberapa perancangan jahat mereka bagi menghalang Adun-adun Pakatan Rakyat memasuki dewan awal.

Semua pintu akan dikawal rapi, adun PR tidak dibenarkan membawa pengiring atau pelawat. Adun Pakatan Rakyat kemungkinan akan dibenarkan masuk dewan selepas pukul 10 pg, atau selepas semua Adun BN termasuk Speaker haram memasuki dewan terlebih dahulu.

Ada maklumat semua bentara dewan tidak lagi dari kalangan kakitangan pejabat SUK, sebaliknya mereka melantik orang-orang luar pejabat SUK. Kemungkinan Polis-polis yang berpakaian preman akan mengawal keseluruhan persidangan dewan.

Kemungkinan juga YB Sivakumar sebagai Speaker yang sah akan dihalang memasuki dewan.

Semalam, difahamkan Ketua Polis Perak telah berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai langkah keselamatan di sidang DUN Perak.

Setiausaha Politik,
Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat.

PANAS...

Mengapa Pakatan Rakyat Perak dijatuhkan?

Kita semua tahu apa yang berlaku di Perak. Tetapi ramai yang tidak tahu, mengapa ia berlaku.

Sekiranya anda masih ingat, ianya mengambil masa seminggu untuk kerajaan baru di Perak dan Selangor mengangkat sumpah selepas pilihanraya umum Mach 2008. Kedua-dua Sultan dinegeri ini mahu ‘membincangkan’ terlebih dahulu dengan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat.Sultan kemudiannya meletakkan beberapa syarat sebelum bersetuju untuk melantik Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri yang baru.

Jurang masa selama seminggu itu telah memberika masa kepada kerajaan negeri yang lama iaitu Barisan Nasional untuk memindah dan memusnahkan banyak bukti-bukti penyelewengan yang dilakukan sebelum ini.

Kelewatan selama seminggu ini juga membolehkan Barisan Nasional menawarkan kemungkinan untuk Umno bergabung dengan Pas untuk membentuk kerajaan baru di Selangor dan Perak. Malah, Umno bersetuju memberikan kerusi Menteri Besar kepada Pas dikedua-dua negeri ini. dan kemuncaknya, Umno malah bersetuju untuk membenarkan Pas melaksanakan undang-undang Islam dikedua-dua negeri ini.

Tetapi, Pas terus bersama dengan dua rakan mereka, PKR dan DAP didalam Pakatan Rakyat dan menolak tawaran Umno. Akhirnya, kedua-dua Sultan tidak mempunyai pilihan melainkan menerima Pakatan Rakyat sebagai kerajaan baru di Perak dan Selangor. Tetapi ini tidak menghentikan mereka dari terus merancang dibelakang tabir tentang bagaimana untuk menjatuhkan kedua-dua kerajaan ini.

Sultan Selangor agak bersedia untuk menerima keadaan yang berlaku. Tambahan pula, Pakatan Rakyat Selangor mempunyai majoriti yang cukup banyak dan agak susah untuk membeli ramai Ahli Dewan Undangn Negeri. Tetapi, Perak agak berlainan sama sekali. Majoriti yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat Perak amat sedikit berbanding Selangor.

Sebaik saja kerajaan baru dibentuk di Perak, Sultan Perak mula meminta macm-macam. Kerajaan Pakatan Rakyat Perak bersedia bertolak ansur, demi menjaga hubungan baik dengan istana. Tetapi apa yang diminta oleh Sultan dan kerabat diraja agak berlebihan dan kerajaan Pakatan Rakyat Perak tidak mempunyai pilihan melainkan menolak permintaan Sultan.

Dan ini menyebabkan Sultan murka. Dan apabila Pakatan Rakyat Perak kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri, Barisan Nasional mempunyai jalan yang amat mudah untuk mendapatkan perkenan untuk Barisan Nasional membentuk kerajaan baru.

Pada mulanya, Sultan Perak tidak begitu pasti sama ada hendak menyingkir kerajaan Pakatan Rakyat dan memilih Barisan Nasional. Apabila Menteri Besar, Nizar Jamaludin berjumpa dengan Sultan dan memohon Dewan Undangan Negeri dibubarkan untuk membolehkan pilihanraya baru diadakan, Sultan meminta masa untuk membuat pertimbangan. Tetapi sebaik saja selepas itu, Najib Tun Razak berjumpa Sultan dan mempengaruhi Sultan untuk menolak permohonan Pakatan Rakyat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri, sebaliknya melantik Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan yang baru.

Taktik Najib amat mudah. Nazrin, anak kepada Sultan Azlan Shah, tidak sepatutnya menjadi Raja Muda. Dan ini bermakna, dia tidak sepatutnya menjadi Sultan kelak. sekiranya Sultan Azlan mangkat. Kerajaan Pusat tidak akan menyokong Nazrin sebagai Sultan Perak seterusnya. Lihatlah apa yang berlaku di Negeri Sembilan. walaupun Yamtuan melantik anaknya sebagai Raja Muda, tidak bererti dia akan menjadi Yamtuan.

Oleh itu, sama ada Nazrin boleh menjadi Sultan atau tidak bergantung kepada hubungan baik dengan kerajaan Pusat. Tetapi hubungan baik itu hanya boleh diperolehi sekiranya Barisan Nasional menjadi kerajaan negeri. Kalau Pakatan Rakyat masih lagi menjadi kerajaan negeri, maka Nazrin terpaksa membayar harganya apabila tiba masa untuk menggantikan bapanya.

Tambahan pula, Sultan dan keluarganya telah meminta banyak perkara dari kerajaan Pakatan Rakyat, semuanya telah ditolak. Umno pula akan memastikan bahawa semua permintaan Sultan dan keluarganya akan dipenuhi sekiranya Barisan Nasional dipilih sebagai kerajaan negeri.

Dan dengan itu, Pakatan Rakyat menemui ajalnya di Perak. Sultan memilih Barisan Nasional sebagai kerajaan negeri yang baru dan Pakatan Rakyat menjadi pembangkang.

Apakah permintaan Sultan dan keluarganya yang ditolak oleh Pakatan Rakyat dan sebaliknya diterima oleh Barisan Nasional? Mari kita tengok, dalam masa beberapa bulan saja, Sultan dan keluarganya tiba-tiba menjadi salah satu keluarga diraja yang terkaya di Malaysia, sebaik saja Pakatan Rakyat tumbang.

1. Umno menghadiahkan kepada Sultan sekeping tanah yang dikenali sebagai lot 183578. Tanah seluas kira-kira 600 ekar ini terletak di Tanjung Tualang, dalam daerah Kinta. Tanah ini telah di berikan kepada salah seorang proksi Sultan yang bernama Mohamed Khaair Johari Hj. Osman.

2. Umno menghadiahkan kepada Sultan konsesi balak seluas 1,000 ekar yang terletak di Ulu Kenderong, Gerik, Hulu Perak, disepanjang lebuhraya Gerik-Kupang. Konsesi ini pada mulanya diberikan kepada Universiti Utara Malaysia. Walaubagaimanapun, pemberian ini ditarik balik dan diberikan kepada Pusat Kreatif Kanak-Kanak dimana Pengerusinya ialah Raja Datuk Seri Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Shah.

3. Umno menghadiahkan kepada Sultan tujuh konsesi balak di kompartmen 39, 41, 42, 43, 44, 45 dan 49 di Hutan Simpan Kenderong di Hulu Perak. Ketujuh-tujuh lot ini, yang berjumlah kira-kira 600 ekar, diberikan kepada dua syarikat proksi Sultan - Syarikat Zotonjaya Sdn Bhd dan Kibaran Wang Sdn. Bhd.

4. Umno akan meluluskan satu cadangan penghutanan semula (reforestation) yang melibatkan 10,781 hektar. 5,781 hektar terletak di Hutan Simpan Gunung Besout, di selatan Perak wementara 5,000 hektar lagi di Pondok Tanjung dalam daerah Larut Matang. Syarikat yang akan mendapat projek ini ialah Permatang Utama Sdn. Bhd (nombor syarikat 513583-D) dimana Pengerusi Eksekutifnya ialah Datuk Seri Ismail Farouk Abdullah, menantu kepada Sultan Azlan Shah).

5. Berikutan dengan itu, Datuk Seri ismail Farouk Abdullah dibenarkan untuk mengambil alih Hotel Casuarina milik kerajaan negeri dengan harga yang paling murah iaitu RM43 juta dimana harga sebenar jauh lebih tinggi dipasaran terbuka. Hotel tersebut terletak dikawasan paling strategik di Ipoh malah harga tanah lapang saja mempunyai nilai yang amat tinggi.

Keluarga Diraja Perak bukan orang susah. Tetapi nampaknya mereka tamak. Raja datuk seri Eleena Azlan Shah merupakan Pengarah kepada Gamuda Berhad dan juga merupakan orang ke 25 kaya di Malaysia dengan harta bernilai RM773 juta. Ini menjadikan beliau wanita kedua terkaya di malaysia selepas Puan Sri Chong Chook Yew, yang menduduki tangga ke 18 dengan harta bernilai RM1 billion.

Gamuda Berhad juga telah diberikan kontrak bernilai lebih RM10 billion. Ia juga mengurus dan menyelenggara lebuhraya sepanjang 230 kilometer dan juga merupakan pemaju hartanah di empat projek bandar baru yang melibatkan lebih dari 30,000 rumah.

Itulah kisahnya. Rakyat Perak, khususnya orang Melayu, merasakan bahawa pembangkang tidak menunjukkan hormat kepada Sultan. Apa yang tidak diketahui oleh mereka ialah Sultan tidak seharusnya diberikan penghormatan. Dan ramai juga yang tidak tahu mengapa Sultan mahukan Pakatan Rakyat disingkir di Perak.

Sekarang, kita berharap, rakyat Perak tahu apa yang berlaku.

(Artikel diatas adalah terjemahan daripada artikel asal Raja Petra “Why the Pakatan Rakyat government was brought down in Perak” yang disiarkan di Malaysia Today)

Sumber: Mat Saman Kati

Semoga Panjang Umur

Selamat Ulangtahun ke 62

1. 20 hb Oktober 2009 genap 62 tahun usia Presiden PAS , Al Fadhil Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Beliau dilahirkan pada 6 Zulhijjah 1366 bersamaan [ 20 Oktober 1947. ] di Kampung Rusila Marang , Terengganu . Anak ke 5 dari 9 orang adik beradik .

2. Tuan Guru menuntut di Sekolah Kebangsaan Rusila, Marang kemudian Sekolah Agama Marang dan seterusnya mengambil senawi di Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Disamping itu belajar agama, Bahasa Arab serta politik dari ayah sendiri iaitu Tuan Guru Haji Awang Muhamad.

3. Tuan Guru melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah dengan biasiswa dari Kerajaan Arab Saudi dari tahun 1969 - 1973 . Tamat dengan B.A (Syariah) . Melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar ke peringkat M.A (Siasah Syariyyah) dan berjaya menamatkannya dalam masa 2 tahun sahaja (1974 - 1975)

4. Tuan Guru Mula aktif sejak tahun 1964 iaitu semasa belajar lagi sebagai Setiausaha Ranting (sekarang cawangan) PAS kampung Rusila , Marang .

5. 1976 , setelah tamat belajar dan pulang ke tanah air , beliau dilantik menjadi Ketua Pemuda PAS Terengganu serta EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat. Pada tahun 1977 dipilih menjadi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan kemudiannya disahkan ke jawatan tersebut pada tahun 1980. Pada tahun 1989 di pilih menjadi Timbalan Presiden PAS setelah Dato' Fadzil Mohd Noor dipilih menjadi Presidennya .

6. Tuan Guru Mula menyertai pilihan raya sebaik sahaja pulang ke tanah air pada tahun 1978 di DUN Marang dan kalah di tangan Tengku Zahid Musa dengan majoriti 68 undi. Pada tahun 1982 diamanahkan sekali lagi menjadi calon PAS di DUN Marang dan Parlimen Dungun. Menang di DUN Marang tetapi kalah di Parlimen Dungun di tangan Haji Awang Jabar. Pada tahun 1986, bertanding DUN Rhu Rendang dan menang tetapi kalah di Parlimen Marang di tangan Abdul Rahman Bakar. Pada tahun 1990 menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang . Begitu juga tahun 1995, menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang.

7. Tuan Guru juga terlibat di peringkat antarabangsa di Madinah apabila menjadi Ketua Pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah di samping menjadi Setiausaha Agung Gabungan Pelajar-pelajar Asia Tenggara di Madinah. Semasa di Asia Barat, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr. Abdul Satar Al Khudsi. Di Mesir pula, beliau menjadi Setiausaha Seksyen Syariah dan Undang-undang Persatuan Melayu Republik Arab Mesir. Sebagai pemimpin PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang banyak terlibat di peringkat antarabangsa samada gerakan Islam atau gerakan rakyat.


Antaranya :-


a] Ahli Penyelaras Sekretariat Parti-parti Islam Sedunia yang berpusat di Istanbul Turki.
b] Ahli Sekretariat Perjuangan Rakyat mempertahankan Baitul Maqdis yang berpusat di Amman, Jordan.
c] Ahli Majma' Taqrir di kalangan mazhab-mazhab Islam yang berpusat di Tehran, Iran.
d] Ahli deligasi ahli Parlimen parti-parti Islam yang dipimpin oleh Dr.Necmetin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki menemui Setiausaha Agung PBB, Butros Butros Ghali serta menemui Ahli Senat Amerika Syarikat.
e] Menyertai deligasi ahli-ahli Parlimen Parti Islam melawat Eropah yang diketuai oleh Dr. Erbakan.
f] Menyertai deligasi pemipin parti Islam seluruh dunia menemui raja-raja serta presiden negara-negara Asia Barat sebelum Perang Teluk.
g] Mengiringi Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor bersama deligasi pemimpin German Islam seluruh dunia untuk mendamaikan kumpulan-kumpulan mujahidin Afghanistan.

8. Dewan Pemuda PAS Pusat mengucapkan Selamat Ulangtahun ke 62 buat Al Fadhil Tuan Guru Hj. Hadi Awang dan mendoakan agar al Fadhil Tuan Guru senantiasa dikurniakan kekuatan dan petunjuk untuk memimpin sebuah parti yang besar pula mencabar ujiannya.

9. Kepimpinan beliau sejak awal sering berdepan dengan ujian getir samaada yang datang dari tekanan luar parti mahupun permasaalahan dalaman parti . Kesabaran dan ketabahan beliau mendepani segalanya adalah suatu yang sangat mengkagumkan . Semoga Allah swt terus mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada beliau .

10. Kepada sahabat yang turut ingin memberikan ucapan selamat ulangtahun , bolehlah dimuatkan ke ruangan komen dan insyaallah ianya akan menjadi kata - kata semangat buat al Fadhil Tuan Guru untuk terus thabat memikul amanah berat ini seterusnya mendapat ganjaran setimpal daripada Allah swt .

Pemuda PAS pohon mengadap Sultan Perak

Dewan Pemuda PAS (DPP) Perak hari ini merayu kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah supaya berkenan menerima mereka mengadap untuk membincangkan isu persidangan DUN negeri itu minggu depan.

Permohonan Pemuda PAS itu dimaklumkan melalui sepucuk surat rasmi yang difaks kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja Pejabat Sultan Perak, Datuk Samsul Baharin @ Mohd Rofaa Hasan pagi tadi.

Dalam surat tersebut, setiausaha DPP Perak, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, jika diperkenankan, delegasi mereka akan dipimpin oleh ketuanya, Zawawi Hassan dan lapan anggota jawatankuasa kerja dewan itu.

Sementara itu, penolong setiausaha DPP Perak, Safarizal Saleh berkata, pertemuan itu boleh membuahkan pandangan bernas bagi memastikan perjalanan DUN Perak pada 28 Oktober ini berjalan lancar.

"(Speaker BN) Datuk R Ganesan kata (mereka) dapat perkenan Tuanku untuk memanggil sidang DUN. (Speaker Pakatan) V Sivakuamar pun memanggil DUN bersidang. Sebagai raja pemerintah, sudah tentu Tuanku mempunyai pandangannya," kata Safarizal.

"Kita tidak mahu peristiwa speaker diangkat dari kerusi, dikurung dalam bilik berulang lagi. Seluruh dunia sedang menantikan persidangan pada 28 Oktober ini," tambahnya.

Ditanya mengenai butiran perkara yang akan dibangkitkan kepada Sultan Perak, beliau berkata, ia tidak boleh didedahkan kepada media sekarang.

"Lagi pun, kita tidak tahu lagi apa Tuanku akan tanya," kata Safarizal yang juga setiausaha kerja Pemuda PAS pusat.

Menurutnya lagi, dewan itu sebelum ini pernah dua kali menghadap Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah termasuk sewaktu majlis berbuka puasa bulan lalu.

Safarizal berkata, pihaknya mengambil kesempatan dalam pertemuan tersebut untuk membincangkan perkembangan semasa politik di negeri Perak.

Sumber:Malaysiakini

Pakatan hadapi spekulasi p'raya Perak

Pakatan Rakyat di Perak terus bersedia menghadapi pilihan raya mengejut peringkat negeri – seperti yang mereka tuntut – walaupun tidak sepenuhnya yakin BN berani mengadakannya dalam masa terdekat.

Desas-desus mengenai kemungkinan pilihan raya negeri dipanggil muncul semula susulan perkembangan terkini di negeri ini, antaranya sambutan besar sehingga 50,000 orang di program pelancaran 1Malaysia di Ipoh kelmarin.

Ia diperkuatkan lagi dengan semakan daftar pemilih baru peringkat Perak selama seminggu sehingga Isnin depan, selain kesediaan Pakatan Rakyat menyediakan manifesto baru untuk berdepan dengan pilihan raya mengejut.

Difahamkan, gabungan tiga parti pembangkang itu juga sedang menggiatkan jentera mereka.

Ura-ura lebih 20 ADUN BN sudah mengambil foto terbaru masing-masing menguatkan spekulasi negeri ini bakal menghadapi pilihan raya.

Satu sumber Pakatan Rakyat menyebut, masih tidak jelas tujuan foto itu diambil sama ada untuk dijadikan poster atau sebab-sebab lain.

Krisis politik terus berlarutan di Perak, antara yang penting perebutan jawatan menteri besar antara Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dengan penggantinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melalui proses mahkamah akan didengar awal bulan depan.

Sementara persidangan DUN untuk pembentangan belanjawan negeri bermula 28 Oktober di tengah-tengah pertikaian siapa Speaker yang sah – sama ada V Sivakumar atau penggantinya Datuk R Ganesan.

Walaupun mengalu-alukan pilihan raya negeri, Mohamad Nizar berkata, perdana menteri tidak seharusnya melihat kejayaan menganjurkan program 1Malaysia sebagai penanda aras sokongan rakyat Perak kepada BN.

"Kalau nak tengok populariti di satu program saja, kalau tengok (keputusan) Bagan Pinang saja tidak boleh kata (BN) boleh menang," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

"Kita tahu rakyat masih menyokong Pakatan Rakyat."

BN bagaimanapun, tegasnya, masih perlu menghadapi rakyat untuk mendapatkan mandat sahih daripada rakyat.

"Kalau ia betul-betul yakin dengan persepsi itu, ia kena uji. Ia kena berani menghadap ke bawah duli Tuanku (Sultan Perak) dan mohon untuk adakan pilihan raya," kata ADUN Pasir Panjang.

Mohamad Nizar menambah, Pakatan Rakyat menjangka pilihan raya itu akan diadakan dan telah "lama bersedia" untuk menghadapinya. "Pakatan Rakyat sudah ada manifesto untuk pilihan raya ini," katanya, dengan menjelaskan ia disediakan sejak dua bulan lalu.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham pula berkata BN mungkin akan memanggil pilihan raya berkenaan berdasarkan pemerhatiannya terhadap beberapa tanda awal.

Katanya, beliau difahamkan wakil-wakil rakyat BN Perak telah menjalani satu sesi rakaman foto di sebuah kedai gambar di negeri itu, kira-kira dua bulan lalu.

"Secara tradisinya, apabila wakil rakyat diambil gambar seperti itu, pilihan raya akan diadakan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Gambar itu diambil lebih awal kerana ia perlu disunting bagi memastikan muka wakil-wakil rakyat BN tersebut kelihatan lebih menarik apabila dicetak pada bahan kempen, tambahnya.

Jelasnya lagi, DAP negeri membuat persediaan sejak tujuh bulan lalu dengan memberikan latihan berterusan.

Ngeh berkata, BN dipercayai akan mengambil kesempatan untuk mendapatkan sokongan rakyat daripada perkembangan kes Mohamad Nizar-Zambry di Mahkamah Persekutuan, 5 November ini.

"Mereka boleh gunakan keputusan mahkamah untuk tunjukkan kepada rakyat bahawa Zambry adalah menteri besar yang sah dan popular," katanya.

"Tetapi bajet negeri pula akan dibentangkan pada 28 Oktober (oleh Zambry). Jika mahkamah putuskan Nizar sebagai menteri besar yang sah, apa akan jadi dengan pembentangan bajet itu, adakah ia juga sah?"

Katanya, BN hanya akan memanggil pilihan raya jika keyakinan rakyat di negeri itu dilihat memihak kepada parti berkenaan.

"Setakat ini, situasi sekarang menunjukkan mereka akan meneruskan dengan cara sedia ada sehingga wujud keadaan lebih baik. Mereka mesti hendak wujudkan faktor feel good di kalangan rakyat dahulu," katanya.

Walaupun tidak menolak kemungkinan pilihan raya negeri, PKR masih belum pasti BN benar-benar ingin membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya semula.

Naib Presidennya Mustaffa Kamil Ayub berkata tanda-tanda bahawa pilihan raya baru akan diadakan kini masih belum jelas.

"Nak kata 'tidak lama lagi pun, tidak boleh juga', BN sendiri pun nampaknya tidak berapa yakin (untuk adakan pilihan raya)," katanya, yang juga bekas pengerusi PKR Perak, kepada Malaysiakini hari ini.

Seperti Mohamad Nizar, yang juga timbalan I pesuruhjaya PAS Perak, Mustaffa Kamil tidak yakin kempen 1Malaysia pada Ahad lalu sebagai petanda penting pilihan raya dengan menyifatkan ia satu "proses biasa".

Beliau juga tidak pasti sesi rakaman gambar wakil-wakil rakyat BN ke arah mengadakan satu pilihan raya baru.

"Saya fikir (foto) itu proses biasa, mereka perlu juga sentiasa bersiap sedia kerana kerajaan sedia ada masih tidak stabil dan sentiasa dicemuh oleh rakyat," jelasnya.

Beliau mengakui PKR sedang mempergiat latihan kepada jentera parti bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya, antaranya, ejen tempat mengundi.

Sumber: Malaysiakini

Jamuan Raya PAS Tualang Sekah 18/10/2009

Majlis sambutan Hari Raya telah di adakan di Pusat Khidmat Masyarakat Tualang Sekah. Tetamu yang hadir telah diberi santapan rohani dengan ceramah agama oleh Ust Hisyam Mohd Ali dari Bruas.

Lebih 4000 cucuk sate telah habis dalam masa setengah jam sahaja. Majlis jamuan itu turut disertai oleh jawatankuasa PAS Kawasan Kampar yang diketuai oleh Naib YDPnya, Ust Shuib Hussien.

Menurut Abd Manaf, sambutan kali ini amat menggalakkan di mana kehadiran telah bertambah sekali ganda berbanding sambutan tahun lepas.

Sumber: Raja Sedaka

Pemuda PAS Perak cabar Zambry dedah bukti PAS rasuah

IPOH, 16 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mencabar Menteri Besar BN Perak, Datuk seri Dr. Zambry Abdul Kadir berdebat dengan Menteri Besar Pakatan Rakyat Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin berhubung tuduhan beliau bahawa PAS melakukan rasuah.

Ketua Pemuda DPPN Pk dalam satu kenyataannya juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan Zambry bahawa beliau mempunyai bukti bahawa PAS telah melakukan rasuah.

"DPPN Perak mencabar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir membuktikan tuduhan beliau bahawa PAS melakukan rasuah sepertimana kenyataan yang telah dikeluarkan oleh beliau baru-baru ini."katanya.

"Kami menyediakan pentas untuk Zambry bagi berdebat isu rasuah bersama Nizar jika beliau benar-benar berani dan mempunyai bukti. "

DPPN PK turut meminta Zambry mengemukakan bukti mengenai tuduhan beliau kononnya PAS terlibat dengan rasuah sewaktu memerintah negeri itu.

Tegasnya, jika benar dakwaan Zambry itu, SPRM seharusnya mengemukakan bukti siasat mengenai kes itu.

"Dimanakah laporan yang telah disiasat oleh SPRM berkaitan rasuah oleh PAS?"soalnya.

"DPPN Perak menganggap Zambry sekarang telah tersepit dan cuba memburukkan PAS dan Pakatan Rakyat yang telah diterima oleh rakyat untuk menerajui Kerajaan Negeri Perak selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 tahun lepas."katanya lagi.

DPPN Pk juga menyokong kenyataan Nizar bahawa kemenangan Umno BN di Bagan Pinang 11 Oktober lalu sebagai kemenangan rasuah kerana calonnya Tan Sri Isa Samad yang dipilih untuk bertanding telah didapati bersalah kerana melakukan rasuah oleh UMNO sendiri.

Sehubungan itu, DPPN PK tegasnya berpandangan Umno BN yang telah serasi dengan budaya rasuah politik masih cuba menafikan perkara itu sebaliknya menuduh orang lain melakukan rasuah.

"Budaya rasuah politik ini tidak terpengaruh dalam PAS kerana adalah menjadi satu kesalahan besar bagi orang yang melakukannya."tegasnya.

PAS perlu jadi kerajaan yang ditunggu

HULU TERENGGANU, 17 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, parti itu mestilah mempunyai budaya kerja untuk menjadi 'kerajaan yang ditunggu'.

Ini, katanya kerana perkembangan yang berlaku pada hari ini sangat menuntut kepada parti politik dan gerakan Islam yang disegani dalam negara kita.

Tambahnya, keruntuhan sistem sekular yang mengasingkan urusan dunia dengan agama memerlukan Islam sebagai pilihan.

"Sebagai wadah yang membawa Islam, PAS seharusnya disegani dan dihormati agar ianya mudah untuk diterima oleh semua pihak termasuk golongan bukan Islam," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu kali ke-13 yang bertemakan "Berubah Untuk Kemenangan Islam" di Markas Tarbiah PAS Kubang Lembik, Manir, hari ini.

Image Turut berucap ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Harun Taib dan pengarah ijtimak, Ustaz Saiful Bahri Mamat.

Menurutnya, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh Umno kini semakin hampir kepada zaman kejatuhan sebagaimana yang berlaku kepada parti-parti sezaman dengannya.

Beliau mengambil contoh Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun, Parti Golkar di Indonesia dan parti-parti lain yang telah mengalami penyakit tua sebagaimana Umno dan BN di Malaysia.

Tambahnya, golongan yang jatuh itu akan digantikan oleh parti yang mendapat sokongan rakyat.

"Oleh itu, PAS mestilah mempunyai budaya kerja untuk menjadi kerajaan yang ditunggu," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, PAS sewajibnya menilai diri untuk menentukan keabsahannya sebagai sebuah gerakan Islam yang berkesan melalui kelayakan dan kemampuan untuk menangani gerakan dan politik semasa.

"Sebagai sebuah gerakan Islam, kita perlu bertanya; pertama, adakah daya jihad dan ketekunan ahli PAS dalam perjuangan berdaya saing dan berorientasi?" ujarnya lagi.

Selain itu, tanya beliau, adakah sumber manusia dan kewangannya pada tahap yang munasabah dan, ketiga, adakah penguasaan ilmu, maklumat dan kemahiran mengatasi pihak lawan.

Image Katanya, persoalan-persoalan itu memerlukan renungan yang mendalam dan kecekalan hati untuk menjawabnya.

"Insya Allah, tuan puan tidak berasa ragu sedikit pun dengan semangat dan daya juang yang ada untuk menggarap persoalan-persoalan di atas dan mengatasi kekurangannya, seterusnya berhadapan dengan mereka yang menentang dan berniat jahat terhadap kita," katanya.

Tambahnya, ini bermakna untuk mendapatkan kemenangan, pejuang Islam mestilah terlebih dahulu berubah daripada negatif kepada positif, daripada maksiat kepada taat dan daripada perpecahan kepada perpaduan.

Justeru, katanya, kekalahan yang menimpa jemaah Islam bukan semata-mata kerana kejahatan musuh akan tetapi juga daripada kelemahan dalam diri jemaah sendiri.

Teruskan perjuangan jentera Pas Perak













• Saya selaku Pesuruhjaya PAS negeri Perak bersama-sama seluruh
pimpinan dan ahli-ahli PAS negeri Perak mengucapkan jutaan
terima kasih, jazakumullahu khairan kathira kepada semua
petugas-petugas pilihanraya daripada PAS negeri Perak dari semua
peringkat, samada JPN, Kawasan, Cawangan, Dewan Ulamak,
Pemuda dan Muslimat yang telah menjalankan tugas dengan
penuh dedikasi dan komitmen.

• Bagi PAS negeri Perak saya mengharapkan dengan keputusan
PRK DUN Bagan Pinang tersebut akan memberi suntikan dan
semangat baru pada ahli danpemimpin PAS di semua peringkat
untuk bekerja keras mulai dari sekarang bagimemastikan
kemenangan PAS dalam pembubaran DUN Perak yang dijangka akan
berlaku tidak lama lagi dan Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

Ingatlah kita akan Firman Allah SWT:

Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan
kerajaan kepada orangyang Engkau kehendaki dan Engkau
cabut kerajaan dari orang yang Engkaukehendaki. Engkau
muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan
orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala
kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa
atas segala sesuatu.( Ali Imran ayat 26)

• Semoga usaha mulia kita dalam memastikan Islam terus
memimpin perubahanbuat rakyat Malaysia mendapat
keredhaan dan bantuan dari Allah SWT.

Ustaz Abu Bakar Hussain
(Pesuruhjaya PAS Perak)

Sivakumar panggil sidang, Adun PR akan hadir

IPOH, 15 Okt: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat Perak hari ini mengesahkan akan menghadiri sidang DUN yang dijadual 28 Oktober ini.

Bagaimanapun ia bukan atas panggilan Speaker BN, R.Ganesan tetapi berdasarkan notis panggilan dari Speaker Pakatan Rakyat, V.Sivakumar yang diterima mereka hari ini.

Sivakumar dalam satu kenyataan media bertarikh 14 Oktober memberitahu, hanya 49 Adun termasuk dari BN dihantar notis panggilan tersebut.

Manakala Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Ahli Exconya, Zainol Fadzi Paharuddin, Datuk Ramly Zahari, Hamidah Osman, Datuk Saarani Mohamad, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Dr Mah Hang Soon telah digantung sebelum ini.

ImagePersidangan kali ini adalah yang Ketiga untuk Penggal Kedua, Dewan Negeri yang ke 12 yang kan diadakan di Dewan Negeri Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam sidang media siang tadi turut mengesahkan kehadiran Adun PR ke persidangan itu nanti.

Kehadiran tersebut katanya adalah berdasarkan panggilan Sivakumar bukannya Ganesan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit gantang juga sekali lagi menegaskan, PR hanya mengiktiraf Sivakumar sebagai speaker yang sah dan menolak Ganesan.

Sehubungan itu mereka turut mendesak Ganesan supaya tidak menganggu persidangan yang akan berlangsung kelak.

Kemelut negeri perak bagaimanapun dilihat makin rumit apabila Ganesan turut mengeluarkan notis panggilan ke sidang Dun untuk tarikh yang sama.

ImageAdun PR sebelum ini memutuskan untuk tidak hadir sidang Dun yang dipanggil Ganesan kerana menganggap beliau speaker tidak sah dan panggilan oleh Ganesan juga adalah tidak sah.

Namun dengan notis panggilan Sivarkumar yang baru diterima, kesemua mereka akan menghadirinya.

Ini bermakna persidangan pada tarikh tersebut akan dikendalikan oleh dua speaker berbeza seperti yang pernah berlaku pada 7 Mei lalu.

Mohammad Nizar ketika mengulas perkara itu memberitahu, PR tiada sebarang niat untuk melakukan huru hara.

Ditanya sama ada insiden persidangan Dun 7 Mei lalu akan berulang, Nizar hanya menjawab "tunggu dan lihat sahaja pada hari itu".

Hadir sama pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Perak siang tadi, ADUN Pantai Remis, Nga Kor Meng, ADUN Titi Serong Drs. Khalil Idham Lim dan ADUN Lubuk Merbau, Haji Zainuddin.

Sumber: Harakahdaily

Memori PRK N31 Bagan Pinang 11/10/2009



Dengan aksi kipas dan topi percuma

Pertandingan Perut Besar

Petugas-petugas dari kawasan Kampar telah menyertai kempen PRK N31 Bagan Pinang dan pada hari mengundi kami diarahkan menjaga UPU Seliau di mana pengundi-pengundi di sini majoritinya kaum India. PRU 12 dulu UPU ini menang 85 undi tapi kali ini tewas 238 undi. Walaupun PAS tewas dalam PRK kali ini tapi semangat kami tetap membara untuk menyertai mana-mana kempen PRK yang akan datang.

Kalah di Bagan Pinang, 'PAS akan post mortem'

KUALA LUMPUR, 14 Okt:PAS akan melakukan post-mortem dengan segera bagi meneliti segala aspek untuk menilai kegagalan dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang.

Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pelbagai komen, analisa dan cadangan yang diterima oleh PAS ketika ini akan diteliti untuk melihat punca kegagalan PAS dalam pilihan raya berkenaan.

"Apa yang pasti ialah PAS akan melakukan post-mortem bagi meneliti pelbagai aspek politik tempatan dan nasional untuk menentukan punca sebenar kegagalan PAS memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dari tangan BN.

"Kepimpinan parti tentunya akan mengambil langkah strategik yang bersesuaian tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti dalam melaksanakan penambahbaikan," jelasnya dalam satu kenyataan daripada Syria melalui setiausaha politiknya, Dr Ahmad Samsuri hari ini.

Tambahnya, semua ahli di pelbagai peringkat dalam PAS diminta supaya tidak menuding jari dan menyalahkan sesiapa sebelum punca sebenar ini dapat dikenalpasti.

"Dalam suasana keriuhan kegagalan kita memenangi kerusi DUN Bagan Pinang ini, semua ahli PAS diminta bertenang dan tidak keliru dengan status-quo kemenangan BN yang dirayakan oleh mereka.

"PAS menyedari bahawa semua pihak menaruh harapan yang tinggi untuk mengambil kerusi DUN Bagan Pinang dari milikan BN. Hakikatnya ialah kita menyertai pilihan raya ini dengan penuh maklumat bahawa ianya merupakan satu tugas yang mencabar dan penuh dengan insiden provokasi oleh pihak lawan," jelasnya lagi.

Beliau juga melahirkan penghargaan kepada semua pengundi kerana masih lagi memberikan kepercayaan kepada PAS dalam pilihan raya berkenaan.

"Walau apapun, PAS ingin menyampaikan ucapan terimakasih yang tidak terhingga kepada pengundi yang masih memilih PAS, para petugas parti yang datang dari segenap pelusuk tanahair dan berkampung di DUN Bagan Pinang, orang perseorangan dari pelbagai rumpun bangsa yang datang memberikan tenaga dan sokongan serta semua pihak yang telah berusaha bersama-sama dengan jentera parti dalam berhadapan dengan pilihan raya kecil ini,"katanya.

BN dicabar bubar DUN Perak, jika yakin sudah kembali disokong rakyat

IPOH, 12 Okt: Pakatan Rakyat Perak mencabar Barisan Nasional membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu jika parti pemerintah tersebut yakin telah mendapat kembali sokongan rakyat berikutan kemenangan di Bagan Pinang semalam.

Pengerusi Kelab Penyokong kerajaan PR Perak, Drs. Khalil Idham Lim dalam satu kenyataan memberitahu, sekiranya benar dakwaan pemimpin BN bahawa rakyat kembali yakin dengan mereka, BN seharusnya tidak perlu takut membubarkan DUN Perak dan mengambilnya melalui proses pilihan raya negeri.

"Jika Bagan Pinang sebagai mana yang didakwa oleh BN sebagai petunjuk bahawa rakyat telah menyokong BN, dengan ini saya mecabar kepimpinan BN di Perak untuk segerakan pembubaran DUN Perak dan memberi laluan kepada rakyat untuk memilih siapakah kerajaan yang akan meneruskan teraju kerajaan di Perak," kenyataannya dipetik.

ImageDia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Titi Serong memberitahu, jika BN menang pada pilihanraya itu, Pakatan Rakyat akan menerimanya atas semangat demokrasi.

Kekalahan PAS mahupun Pakatan katanya bukan sesuatu yang luar biasa malah berlaku sejak merdeka sehinggalah di Bagan Pinang.

Namun lebih penting ujarnya, kepentingan rakyat negeri itu yang juga mahukan pembubaran DUN agar hak mereka dikembalikan untuk memilih kepimpinan yang akan menerajui negeri mereka.

"Desakan ini sudah bermula sejak 5 Februsri 2009 dan tidak jemu-jemu kami suarkan kerana melihat kepada kepentingan rakyat Perak sebagaimana slogan BN 'rakyat didahulukan'.

Makanya inilah masa untuk mendahulukan rakyat dengan bubarkan DUN Perak," tulisnya.

Dalam PRK Bagan Pinang semalam, calon PAS Zulkefly Mohamad Omar tewas kepada calon BN Tan Sri Mohd Isa dengan jumlah majoriti sebanyak 5,435 undi.

Mohd Isa memperolehi 8,013 undi manakala Zulkefly, Pesuruhanjaya PAS Negeri, mendapat 2,578 undi.

Jumlah itu lebih besar daripada majoriti 2,333 undi yang diperolehi oleh BN pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas.

Ekoran kemenangan itu, kepimpinan BN mendakwa parti itu kini sudah mula diterima kembali oleh rakyat selepas ditolak pada Pilihan Raya Umum ke-12, Mac tahun lalu dan tujuh siri pilihan raya kecil sebelum ini.

Mereka juga mendakwa, pembaharuan dibawa Datuk Seri Najib melalui slogan '1 Malaysia, Rakyat di dahulukan, pencapaian di utamakan', antara faktor besar penyumbang kepada kemenangan tersebut.

Sumber: Harakahdaily

Antara maruah dan rasuah, pengundi terpilih rasuah - Dr Lo' Lo'

KUALA LUMPUR, 12 Okt: Anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali menyifatkan, pengundi Bagan Pinang telah terpilih tokoh rasuah.
"Antara maruah dan rasuah, pengundi Bagan Pinang telah terpilih rasuah. Ini satu kemalangan," kata beliau kepada Harakahdaily.

Lo' Lo' yang juga AJK PAS Pusat berkata demikian ketika mengulas keputusan pengundi Bagan Pinang yang memberikan kemenangan besar kepada calon Umno, Tan Sri Mohd. Isa Samad semalam.

Isa mendapat undi 8,013 berbanding calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar yang mendapat 2,578 undi dengan undi rosak sebanyak 223.

Ini bermakna, Isa mendapat majoriti 5, 435 iaitu kemenangan berlipatganda berbanding calon BN dalam pilihan raya umum 2008 lalu yang menang dengan majoriti 2,333.

Isa menang ketika semua pihak mempertikaikan personaliti beliau yang pernah digantung jawatannya oleh Umno selepas Lembaga Disiplin Umno mendapati beliau bersalah dalam politik wang dalam pemilihan Umno.

Image Mengulas lanjut, Lo' Lo' percaya, keputusan pengundi Bagan Pinang ini bukanlah mewakili aspirasi seluruh rakyat Malaysia.

"Malah kita tetap yakin bahawa majoriti rakyat Malaysia masih menolak rasuah demi menjaga maruah negara," katanya.

Semalam, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan keputusan pilihyan raya semalam sebagai 'Umno menang tetapi kalah dalam melawan rasuah'.

Calon PAS, Zulkefly pula berkata, beliau menerima keputusan pengundi dan mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang memberikan undi kepada beliau.

Pengarah Jentera Pilihanraya PAS, Salahudin Ayub pula berkata, pihaknya akan terus menekankan agar sistem undi pos diperbaiki dan yakin ada perkara tidak kena dalam pilihan raya ini.

Sumber: Harakahdaily

Umno menang tetapi kalah dalam memerangi rasuah

TELOK KEMANG, 11 Okt: Umno memang menang dalam pilihanraya Bagan Pinang ini tetapi ternyata kalah dalam memerangi rasuah, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar sambil menghormati keputusan rakyat atas prinsip demokratik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, dengan kemenangan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang sebelum ini telahpun ditolak oleh Umno; mengakibatkan Umno akan terus angkuh mengamalkan rasuah.

Ujarnya lagi, kemenagan Isa ini sebenarnya tidak sedikit pun memulihkan kepercayaan palabur terhadap integriti kerajaan.

Sebaliknya, ia bakal menjadi satu lagi titik gelita dalam sejarah integriti negara.

Sementara itu, Pengarah Jentera Pilihan raya PAS Bagan Pinang, Salehuddin Ayub yang sebelum ini yakin, N31 bakal memangkin gelombang ketiga Rasuah Musuh No.1 Negara, konsistan menjalaskan, keputusan pilihan raya hari ini akan mempercepat gelombang itu.

Tegasnya lagi, N31 juga bakal dijadikan medan permulaan Pakatan memperjuangkan senarai undi pos bersih.

Kedua-dua mereka mengulas keputusan pilihan raya kecil Bagan Pinang dalam sidang media mereka jam 9 malam tadi. Turut serta dalam sidang media itu adalah calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar dan Pengarah Operasi Pilihan raya ini, Dr Dzulkefly Ahmad serta pimpinan Pakatan Rakyat.

ImageSPR mengumumkan, calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Samad menang besar dalam pilihan raya kecil ini mengalahkan calon PAS, Zulkefly Mohamad bin Omar dengan majoriti majoriti 5,435 undi.

Mohd. Isa memperolehi 8,013 undi manakala Zulkefly mendapat 2,578 undi.

Dalam pilihan raya lalu, calon BN, Azman Mohd Nor mengalahkan calon PAS dengan majoriti 2,333 undi. Pilihan raya ini diadakan ekoran kematian Azman.

Saya bertanggungjawab penuh dan dah jumpa polis, kata Salahudin

TELOK KEMANG, 9 Okt: Pengarah Operasi Pilihan Raya PAS Bagan Pinang, Salahudin Ayub berkata, pihaknya bertanggungjawab penuh dengan kenyataan mereka dalam sidang media yang mendakwa seorang petugas PAS telah dipukul dan berdarah.

"Saya bertanggungjawab penuh dengan penyebaran gambar itu dan memang ia benar-benar berlaku bukan direka-reka," kata Salahudin kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, katanya, beliau bersama peguamnya, Mohamed Hanipa Maidin telah memberikan keterangan di bawah seksyen 112 (keterangan saksi) di Balai Polis IPD Port Dickson jam 6.45 petang tadi.

Buletin Utama TV3 jam 8 malam tadi telah menyiarkan berita kononnya waran tangkap telah dikeluarkan kepada Salahudin kerana tidak datang ke balai polis sebagaimana yang diminta.

Ini berikutan dari berita Harakahdaily yang menyiarkan gambar seorang mangsa yang berdarah kepala kerana dipukul dalam kejadian Rabu lepas.

Gambar mangsa yang sama juga telah diedarkan oleh sidang media yang dibuat oleh Salahudin dan pasukannya dalam sidang media harian mereka.

Pihak polis mendakwa, mangsa kepala berdarah itu tidak membuat sebarang laporan polis. Laporan polis hanya dibuat oleh beberapa pihak lain yang turut terlibat dalam serangan kepada Markas Pemuda PAS.

PAS pula berkata, pihaknya telah membuat sembilan laporan polis ekoran kejadian serangan pihak lawan dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang ke atas petugas dan markas mereka.

Image(Gambar:Mata Bob bengkak akibat dipukul Rabu lalu dalam siri kejadian ganas pilihan raya Bagan Pinang.)

Antarannya laporan polis dibuat oleh Mohd Said bin Mohamad, 27 tahun.

Mohd Said yang lebih dikenali sebagai Bob ketika ditemui Harakahdaily berkata, beliau dipukul oleh petugas Umno dalam kejadian petang Rabu lalu di Bagan Pinang.

Ia bermula apabila adiknya dipukul oleh sekumpulan pemuda ekoran dari tindakan mereka melarang adiknya memasang poster PAS.

Namun yang menjadikan beliau marah, motosikal yang dibawa adiknya telah dirampas oleh kumpulan pemuda itu.

Image

(Gambar kejadian:Bob diselamatkan oleh petugas PAS selepas dibelasah oleh sekumpulan Pemuda Umno)

Bob, penduduk jati Bagan Pinang, yang dihubungi adiknya terus ke tempat kejadian untuk mendapatkan semula motosikalnya dan ingin mengetahui kenapa adiknya dipukul.

Beliau kemudiannya ditumbuk dan dipukul oleh kumpulan petugas yang memakai pakaian Umno berkenaan.

Akibatnya, mata dan kepala Bob bengkak.

Namun, Bob berkata, beliau tidak pernah kesal dengan kejadiannya bahkan memberikan beliau lebih bersemangat untuk mengundi memenangkan PAS.

"Saya tidak pernah mengundi sebelum ini termasuk tahun 2008 lalu kerana tidak pernah kesah hal politik ini. Namun 11 Oktober ini saya akan pergi mengundi di awal pagi lagi untuk calon PAS," kata Bob kepada Harakahdaily.

Sumber: Harakahdaily

Pemuda diminta tingkat keselamatan, elak provokasi

TELOK KEMANG, 8 Okt: Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi meminta ahli-ahli Pemuda meningkat keselamatan di markas dan unit peti undi parti di kawasan Bagan Pinang, sebagai respons kepada peningkatan tindakan ganas di sini.

Nasrudin berkata demikian dalam ucapannya di perhimpunan Pemuda di Markas Induk PAS di Telok Kemang sebentar tadi.

Perhimpunan dihadiri sekitar 300 ahli Pemuda dari seluruh negara itu dikerah Dewan Pemuda siang tadi untuk meningkatkan keselamatan di kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang.

"Tujuan Pemuda dikerahkan hadir ialah untuk meningkatkan keselamatan agar mengelakkan berlaku provokasi dan kekacauan di sini," kata Nasrudin ketika ditemui Harakahdaily.

Beliau menggesa semua Pemuda agar tidak bertindak balas terhadap provokasi dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terjadi sebarang kejadian tidak diingini.

Ketua Pemuda PAS juga berpesan kepada Pemuda supaya "jangan bertindak tanpa sebarang arahan," tegasnya.

Majlis bermula sekitar pukul 8.30 di sini dihadiri Nasrudin, Timbalan Ketua Pemuda Ustaz Azman Syafawi Abdul Rani, exco Pemuda Kamaruzzaman Mohamad dan Ustaz Riduan Mohd Noor dan pemimpin pemuda seluruh negara.

Sumber: Harakahdaily

PAS dakwa BN cuba rasuah tentera

Pemuda PAS hari ini mendedahkan rakaman suara dua pemimpin BN yang didakwa menawarkan rasuah politik kepada tentera dengan berselindung di sebalik majlis sambutan Aidilfitri menjelang pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED) di Port Dickson pagi kelmarin, Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi berjanji menawarkan bantuan pendidikan untuk anak tentera, pembinaan kolam renang, gelanggang futsal dan perkhidmatan internet tanpa wayar jika mereka menyokong BN.

Menurut rakaman tersebut lagi, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan pula berjanji kepada pemilih undi pos ini untuk menghulurkan bantuan RM100,000 untuk menaiktaraf sebuah surau di IJED.

Di kem tentera tersebut, menurut PAS, seramai 847 pemilih pos layak membuang undi.

Bagaimanapun parti itu tidak menjelaskan jumlah kehadiran tentera di majlis tersebut dan sama ada keraian itu khusus diadakan untuk anggota di kem IJED sahaja.

PAS sebelum ini menyatakan ia mempunyai "mata-mata" di kalangan anggota-anggota tentera untuk memantau kempen BN di kem-kem pasukan keselamatan itu.

Rakaman tersebut dimainkan dan diedarkan kepada wartawan dalam sidang media Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur pagi ini.

Ketika rakaman kira-kira sepuluh minit itu dimainkan, timbul kelucuan di kalangan petugas media apabila Nasrudin secara berseloroh berkata: "(Janji tersebut) macam Santa Claus".

Naib ketua dewan itu Sabky Yusuf, setiausaha Kamaruzaman Mohamad dan ketua penerangannya, Suhaizan Kaiat, yang juga pengerusi jawatankuasa undi pos Pemuda PAS, turut hadir.

Nasrudin berkata, perbuatan Zahid dan Mohamad jelas melanggar peruntukan dalam Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya, berkaitan larangan menyogok pengundi secara langsung atau tidak langsung.

"Dan pihak Pemuda PAS akan membuat laporan kepada pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkan kita membatalkan keputusan pilihan raya sekiranya (keputusan pengundian) berpihak kepada BN," katanya.

Ditanya bila laporan itu akan dibuat, Nasrudin berkata, aduan kepada polis dijangka dibuat pada 6 petang ini di ibu pejabat polis Port Dicskson.

Sementara aduan kepada SPRM, tambahnya, akan dibuat segera. "SPR pula, tiap-tiap hari kita jumpa," kata Nasrudin.

Beliau menegaskan lagi jaminan Pemuda PAS untuk menyediakan khidmat guaman percuma kepada tentera jika dikenakan tindakan kerana mengundi calon PAS Zulkefly Mohamad Omar pada Ahad ini.

"Setakat ini, kita terima maklumat, ada tentera yang menerima risalah, yang kita edarkan di sekitar kem, dipanggil dan diambil namanya," jelasnya.

Dengan penuh yakin, Nasrudin berkata, dewan itu kini mampu mengesan sebarang manipulasi undi pos sekiranya berlaku dan tidak akan teragak-agak menyaman pihak yang terbabit.

"Kita kini sejengkal di depan dan sejengkal di belakang," tambahnya.

Pembuangan undi pos, selama tiga hari, bermula pagi ini di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson.

Kira-kira 2,000 anggota pasukan keselamatan dilaporkan berbuat demikian hari ini (foto fail - pembuangan undi pos pada Mac 2008).

Sebanyak 4,571 tentera termasuk dalam sejumlah besar pemilih pos (4,620 orang) daripada keseluruhan 13,664 yang layak membuang undi di Bagan Pinang.

Zulkefly bersaing dalam pertarungan dua penjuru dengan calon BN Tan Sri Isa Samad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan.

Sumber: Malaysiakini

Petugas PAS ditetak penyokong BN




sekumpulan lelaki, dipercayai penyokong BN, berpunca daripada "perang poster" di Si Rusa, dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, awal pagi ini.
Tiga penyokong PAS cedera dalam satu pergaduhan dengan sekumpulan lelaki, dipercayai penyokong BN, berpunca daripada "perang poster" di Si Rusa, dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, awal pagi ini.

Seorang petugas PAS Ammeran Mad berkata beliau melihat kira-kira 50 orang penyokong BN, termasuk yang bersenjatakan parang, menyerang pekerja-pekerja parti PAS dalam kejadian pada kira-kira jam 1-2 pagi itu.

Selain bilik gerakan PAS di Si Rusa, tiga lagi bilik gerakan parti berkenaan diserang oleh kumpulan yang didakwa sebagai anggota Pemuda Umno, Ammeran memberitahu Malaysiakini ketika ditemui di hospital Port Dickson tengah hari ini.

Beliau, yang berada di tempat kejadian di markas induk Pemuda PAS, ke hospital untuk menziarahi ketiga-tiga mangsa yang berusia antara 20 hingga 30 tahun tetapi dimaklumkan mereka hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar jam 6.45 pagi ini.

Ammeran, seorang penduduk tempatan, berkata kumpulan yang terdiri daripada individu tidak dikenali itu pada mulanya mendakwa pekerja parti PAS berkenaan telah menurunkan bendera BN di kawasan berkenaan.

Ketiga-tiga mangsa, antara mereka yang bersemuka dengan kumpulan berkenaan, bagaimanapun menafikan berbuat demikian.

Kumpulan berkenaan kemudian bertindak liar dan mula memukul penyokong PAS serta memecahkan cemin kenderaan di bilik gerakan tersebut.

Ammeran juga berkata, tiga lagi bilik gerakan peti undi dalam kawasan berkenaan turut diserang oleh kumpulan sama dalam kejadian antara jam 2 hinggga 5 pagi ini.

Ketiga-tiga penyokong PAS yang cedera itu dikenali sebagai Muhd Zulhairi Zainuddin, 20, Shamsul Bakri, 30 dan Muhd Nazaruddin Md Isa, 23.

Muhd Zulhairi dan Shamsul Bakri berasal dari Johor, manakala Muhd Nazaruddin dari Kedah.

Akhbar rasmi parti itu Harakahdaily.net melaporkan, selain ditumbuk, kesemua mangsa juga dihalau keluar meninggalkan markas itu.

Ramai lagi petugas PAS dipukul, lapor akhbar web itu lagi, malah ada juga yang dikejar dengan parang hingga ke rumah.

Foto-foto yang diterbitkan akhbar itu menunjukkan seorang petugas, yang tidak dinamakan, berdarah di kepala dan baju merahnya koyak di bahagian belakang, dilaporkan akibat ditetak dalam serangan tersebut.

Pemuda PAS berhasrat membuat aduan polis jam 6 petang ini di balai polis Port Dickson.

"Sekarang ini kita sedang mengumpul semua maklumat berkaitan. Kita diberitahu banyak kes serupa berlaku di tempat lain juga.

"Kita kumpul semua dan buat satu laporan petang ini," ketua dewan itu Nasaruddin Hassan dipetik berkata.

Sumber: Malaysiakini

Pakatan ingin tangguh p'raya Bagan Pinang?

Pakatan Rakyat mungkin memohon perintah mahkamah untuk menangguhkan pilihan raya kecil Bagan Pinang sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dapat membersihkan daftar pemilih DUN tersebut, yang didakwanya membolehkan pemilih pos memangkah lebih daripada sekali.

Pengarah pilihan raya PAS bagi Bagan Pinang, Salahuddin Ayub dalam sidang media di Port Dickson hari ini berkata, satu delegasi Pakatan akan bertemu pengerusi SPR di Putrajaya petang ini bagi mendapat penjelasan dan meminta daftar pemilih pos dibersihkan.

"Petang ini kita akan membuat perhitungan dengan SPR bagi membersihkan nama-nama pengundi yang bertindih yang akan digunakan pada 11 Oktober ini," kata Salahuddin lagi.

Katanya lagi, pertemuan antara delegasi Pakatan Rakyat, yang diketuai setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali dan pengarah pilihan raya PAS Datuk Halim Abdul Rahman dengan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan turut menuntut supaya suruhanjaya berkenaan membersihkan status pengundi pos di seluruh negara.

Menjawab soalan wartawan, Salahuddin menolak pandangan bahawa isu melibatkan nama pemilih pos berulang itu hanya dibangkitkan dalam pilihan raya kecil kali ini.

Jelasnya, isu berkenaan telah lama dibangkitkan oleh Pakatan dan menjadi sebahagian daripada tuntutan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) - yang menganjurkan demonstrasi besar di Kuala Lumpur pada 2007.

"Kita dah sebut berkali-kali tentang nama pengundi yang bertindih ini dan SPR tidak dapat menjalankan pemutihan dengan sepenuhnya," katanya.

Jelasnya lagi, jumlah sebenar pemilih pos yang terlibat juga akan dapat diketahui petang ini selepas pertemuan dengan SPR.

"Setakat ini saya boleh katakan terdapat beratus-ratus (pertindihan) nama (pengundi pos yang terlibat di Bagan Pinang).

"Sekiranya petang ini SPR tidak dapat melakukan sesuatu ke arah pembersihan ini, kita tidak menolak kemungkinan akan menggunakan kaedah perundangan," kata Salahuddin.

"Mungkin esok atau lusa, pasukan peguam kita akan memohon perintah mahkamah supaya pilihan raya ini dapat ditangguhkan sehingga pembersihan nama itu benar-benar dapat dibuat oleh pihak SPR."

Dalam perkembangan berkaitan, satu laporan Bernama hari ini mengutip kenyataan presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Datuk Muhammad Abdul Ghani, yang kesal dengan sikap sesetengah bekas anggota tentera yang tidak menukar status mereka daripada pemilih pos kepada pemilih biasa setelah tamat perkhidmatan.

Mengulas kenyataan tersebut, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula berkata, pengakuan Muhammad itu menunjukkan masih ada anggota tentera yang sudah bersara tetapi masih tetap tersenarai dalam daftar pemilih pos di Bagan Pinang.

"Adalah tidak wajar bagi seorang pesara tentera masih mempunyai nama dalam senarai pemilih pos. Sepatutnya orang yang sudah bersara dikeluarkan daripada senarai pemilih pos.

"Isunya, adakah mereka akan balik mengundi atau ada orang yang akan mengundi bagi pihak mereka, sedangkan mereka berada di Ulu Kelantan pada masa ini, sudah bersara," katanya lagi.

Sumber: Malaysiakini

Pentindihan pengundi: SPR cipta alasan untuk tutup kelemahan - PAS

TELOK KEMANG, 7 Okt: Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak cadangan Pakatan Rakyat untuk mengadakan injunksi pilihanraya membuktikan bahawa badan pelaksana pilihanraya itu juga sedang mencipta alasan untuk menutup kelemahan mereka.

Naib Presiden PAS Salehuddin Ayub yang dihubungi petang tadi bertegas, isu pertindihan nama sejumlah tertentu anggota tentera dalam senarai daftar undi pos dan senarai daftar pemilih biasa bukan masalah teknikal, tetapi masalah pokok yang bertentangan dengan prinsip pilihanraya negara.

"Apa yang diputuskan SPR hanyalah alasan, walhal isu daftar pemilih tidak puteh adalah masalah pokok.

"Bagaimana Wan Ahmad (Timbalan Pengerusi SPR) boleh beri jamina..mahu tunggu dan lihat adakah akan berlaku undian berganda?

"Kalau benar berlaku pengundian berganda, adakah SPR akan melaksanakan pilihanraya semula?

"Itu (tindakan SPR) saya lihat suatu alasan yang langsung tidak rasional dan profesional," katanya.

Sambil melahirkan rasa kesal, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menegaskan bahawa desakan Pakatan tersebut bukanlah bersandarkan soal menang kalah pilihanraya antara kedua-dua parti semata-mata.

"Ini (kes pertindihan nama dalam dua senarai pemilih) bukan isu kalah menang PAS (atau) Umno. Ini kes prinsip...daftar pemilih wajib diputehkan sebelum pilihanraya. Sebab itu perlukan masa dan injunksi," katanya.

Dikatakan terdapat lebih 600 anggota tentera disenaraikan bertindih dalam buku daftar undi pos dan daftar pemilih biasa.

ImageSalehuddin yang juga Pengarah Operasi Jentera Induk PAS N31 berkata, PAS serta Pakatan sedang membuat perhitungan terakhir; termasuk mendapatkan injunksi mahkamah.

Petang tadi, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar menolak cadangan injunksi pilihanraya N31; kerana menganggapnya sebagai alasan remeh Pakatan Rakyat serta PAS sendiri.

Bagaimanapun, Wan Ahmad bersedia menyemak segala dakwaan Pakatan wujudnya sejumlah tentera mempunyai nama bertindih dalam senarai daftar undi pos dan daftar pemilih awam.

Menurut Wan Ahmad, SPR masih menunggu dan lihat segala bukti yang dikemukakan Pakatan secepat mungkin.

Pagi tadi, Salehuddin dalam kenyataan bersama pemimpin Pakatan Rakyat memberi kata dua sama ada SPR menangguhkan serta merta pilihanraya N31 sehingga buku dartar pemilih benar-benar puteh; atau Pakatan proaktif mendapatkan injunksi mahkamah.

Dakwa Salehuddin lagi, tentera berupaya mengundi dua kali kerana mereka masing-masing mempunyai kad pengenalan tentera dan kad pengenalan awam; yang menjadi lesen masuk ke pusat pembungan undi.

Dalam perkembangan berkaitan, pemilik blog Mind No EVIL yang juga pesara tentera darat, Brigadier General (B) Mohamad Arshah Rajia mendedahkan bahawa Tentera bukan sahaja terlibat dalam politik kepartian; sebaliknya termasuk politik wang.

Beliau mendakwa Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Najib Tun Razak memberikan sejumlah RM300 kepada setiap tentera dan pemimpin Umno tempatan yang menyertai keraian di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDAR), baru-baru ini di sini; sebelum mengumumkan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat.

Jika benar dakwaan pengundian berganda serta usaha merasuah tentera oleh Umno BN, pilihanraya kecil ini bakal menjadi satu lagi titik hitam dalam sejarah pilihanraya demokrasi negara.

Sumber: Harakahdaily

Manifesto Calon Pas N31 Bagan Pinang

1. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih kepada pihak media kerana melaporkan dengan adil aktiviti saya, PAS dan Pakatan Rakyat sehingga petang ini.

2. Kesempatan ini, ingin saya sebutkan beberapa fokus kempen saya serta agenda kesejahteraan yang ingin saya tawarkan kepada pengundi N31 Bagan Pinang.

3. Ikhlas saya katakan bahawa di Port Dickson, khususnya di Dun Bagan Pinang ini terdapat banyak isu malar segar yang perlu ditangani bersama. Daripada 13 permasalahan yang dekat dengan rakyat, umumnya rakyat mahu isu penaiktarafan jalan utama dari Telok Kemang ke Pasir Panjang segera diselesaikan. Kedua, rakyat mahu masalah perparitan yang menjadi punca utama banjir kilat, pembiakan lalat serta nyamuk segera diselesaikan. Ketiga dan terakhir, rakyat mahu isu alam sekitar yang melibatkan Pantai Port Dickson kerana dengan berbuat demikian, bukan sahaja menggamit semula kehadiran pelancong malah menjana ekonomi setempat.

4. Ikhlas saya katakan, kemenangan saya tidak akan mengubah lanskap kuasa kerajaan negeri. Tetapi, kemenangan ini akan membawa satu lagi ‘kehendak rakyat’ ke Dewan Undangan Negeri. Pakatan tambah satu kerusi Adun lagi, menjadikan 16 keseluruhannya. Umno tinggal 18 kerusi sahaja. Beza kerusi kita (Pakatan) dan BN hanya 2 kerusi sahaja. Semoga inilah yang dikatakan bersama kehendak rakyat.

5. Tahun lepas, Datuk Shaziman Abu Mansor kata di Parlimen, tiada peruntukan untuk membaiki jalan di sini. Sedangkan tanggungjawab membina jalan sebenarnya di dalam Senarai Persekutuan (Federal List). Jadi, Umno tidak perlulah memperbodohkan rakyat dengan kempen adakah saya mampu memperbaiki jalan jika saya menang. Sedangkan jika Tan Sri Mohd Isa Samad menang sekalipun, itu bukan tanggungjawabnya untuk membina jalan. Maka, saya akan senantiasa membawa isu penaiktarafan jalan ini di Dun kelak, di samping membantu Ahli Parlimen Telok Kemang membawa isu ini di Parlimen. Sama ada jalan siap dulu, atau Umno tumbang di Negeri Sembilan, biarlah rakyat terus membuat perhitungan.

6. Begitu juga dalam isu perparitan, Port Dickson dikenali khalayak tempatan sebagai Bandar Pembiakan Lalat, Banjir Kilat dan beberapa lagi. Akar masalah pada segala permasalahan kedua ini adalah sistem perparitan yang tidak efisyensi. Pembiakan lalat adalah natijah pada masalah perparitan. Bau busuk juga adalah natijah pada masalah perparitan. Banjir kilat yang berlaku setiap kali musim hujan juga adalah natijah pada masalah perparitan. Selesaikan akan masalah, bermakna selesailah segala natijah/masalah berantai tersebut. Selesaikan masalah perparitan, insyaAllah selesailah segala yang membelenggu rakyat hampir sedekad ini.

7. Saya yakin rakyat tempatan tahu tentang privasi pantai awam oleh segelintir pemimpin Umno bersama-sama pihak tertentu. Saya yakin, rakyat tempatan semuanya tahu isu masalah sampah-sarap ini berpunca oleh sistem pengangkutan sampah oleh syarikat SWM. InsyaAllah, pengalaman menjadi sukarelawan dan aktivis alam sekitar dan kemasyarakatan, menjadi pengerusi ‘No Incinerator Broga’; saya sedia mengetengahkan idea-idea yang lebih progresif demi kepentingan rakyat.

8. Dalam maksud yang lebih mudah, manifesto saya untuk rakyat adalah memperjuangkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat khususnya di Telok Kemang. Jadikan Adun Bagan Pinang sebagai satu lagi suara pendesak di Dewan Undangan Negeri (DUN), agent semak dan imbang terhadap projek-projek terbekangkalai serta urus tadbir kerajaan negeri yang dilihat pincang dan pembaziran oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional.

BERSAMA KEHENDAK RAKYAT

Zulkefly Mohamad Omar
Calon Pakatan Rakyat

Solat Hajat Untuk Pelajar Yang Bakal Menduduki Peperiksaan


Bertempat di Masjid An-Nur Kampar, pada 5/10/2009 (Ahad) selepas solat Maghrib, Kelab Komuniti Belia Kampar yang baru ditubuhkan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Kampar telah menganjurkan program bacaan yasin dan solat hajat untuk pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Semoga apa yang dihajati tercapai jua dan diberkati Allah s.w.t.

Berdosa pilih perasuah jadi pemimpin - ulama

KOTA BHARU, 6 Okt: Kitab fiqah menyebut orang yang pernah terbabit dengan rasuah tidak layak untuk dilantik sebagai pemimpin.

Usahkan dipilih sebagai pemimpin menjadi wali bagi perkahwinan anaknya sendiri pun tidak layak.

Ini kerana kesalahan rasuah dikategorikan di bawah dosa-dosa besar.

Sedangkan syarat untuk melayakkan seseorang Islam menjadi saksi atau wali antaranya mesti berkelakuan adil, tidak bercakap bohong, tidak melakukan dosa besar dan tak mengekalkan dosa-dosa kecil.

Ketua Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, orang yang terlibat dengan rasuah dikategorikan sebagai fasik (rosak iman).

"Usahkan mahu dilantik sebagai pemimpin, menjadi saksi kepada perkahwinan pun tidak boleh bagi orang macam itu," katanya di sini.

Calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Bagan Pinang, Tan Sri Isa Samad pernah disabitkan dengan kesalahan korupsi pada 24 Jun 2005 oleh Panel Lembaga Disiplin Umno.

Pengerusinya panel itu, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail menjatuhkan hukuman penggantungan keahlian Umno selama enam tahun terhadap Isa.

Sebelum itu pada perhimpunan agung Umno Isa menang jawatan Naib Presiden Umno. Bagaimanapun dia telah disabitkan bersalah atas lima pertuduhan rasuah (politik wang).

Pada pilihan raya kecil 11 Oktober ini Isa akan ditentang calon PAS, Mohamad Zulkefly Omar.

Ulama muda lulusan sarjana di Jordan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, banyak kitab fiqah menjelaskan orang yang terbabit dengan rasuah tidak layak untuk menjadi saksi bagi sesuatu perkahwinan.

"Kalau hendak menjadi wali bagi perkahwinan anaknya sendiri lagi tidak layak kerana tanggungjawab wali lebih besar," katanya.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika berceramah di Taman Guru dekat sini, malam Jumaat lalu menjelaskan orang yang pernah dijatuhkan hukuman kerana kesalahan rasuah tidak boleh menjadi saksi perkahwinan.

Katanya, kalau menjadi saksi pun tidak boleh macam mana pula hendak dilantik sebagai pemimpin.

Sumber: Harakahdaily

Ganjaran RM1,000 jika ada foto Azeez ditumbuk

KUALA LUMPUR, 6 Okt: Sebuah badan bukan kerajaan NGO, Perikatan Belia Bersatu Malaysia (PEMBELA) menawarkan sejumlah RM 1000 kepada sesiapa sahaja yang memiliki gambar Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ditumbuk pada hari penamaan calon Pilihanraya Kecil Bagan Pinang Sabtu lalu.

Mereka yang menyerahkan gambar tersebut akan menerima bayaran tersebut secara tunai serta merta.

Menurut Timbalan Presiden Pembela, Mohd Dzohir Hamid, mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Pembela petang semalam telah mengambil keputusan untuk menawarkan wang sejumlah RM 1000.00 kepada sesiapa sahaja yang memiliki ataupun mahu menjual gambar Datuk Azeez di tumbuk.

Dzohir berkata, tujuan Pembela membuat tawaran membeli gambar berkaiatan insiden tersebut adalah bertujuan untuk mendapatkan kepastian di atas dakwaan Datuk Azeez bahawa dia di tumbuk oleh penyokong parti Pakatan Rakyat ketika hadir di hari penamaan calon di Dun Bagan Pinang.

"Pembela harap ada pihak yang merakam gambar tersebut sudi menjual kepada pihaknya dengan tawaran harga yang diberikan, sekaligus membolehkan pihaknya membuat tindakan lanjut di atas dakwaan Datuk Azeez berkenaan," katanya.

Adalah suatu yang tidak munasabah jika insiden yang mendapat liputan meluas media cetak dan elektronik yang disiar sejak hari penamaan calon sehingga ke hari ini tidak ada pihaknya yang merakamkan gambar tersebut yang di kira cukup penting sebagai modal politik ketika berkempen oleh Umno/Bn di Dun Bagan Pinang bagi memburukkan Pas khususnya.

Sehubungan itu, pihak yang berkaitan bolehlah menghubungi Mohd Dzohir di talian 019-498 0230 pada bila-bila masa.

Di petik dari sebuah media online, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dikatakan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini sejak kelmarin setelah cedera teruk di muka, leher dan tengkuk.

Abdul Azeez mendakwa, insiden yang berlaku pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Negeri Sembilan kelmarin menyebabkan beliau muntah-muntah serta hampir pengsan sebaik tiba di rumahnya di sini.

Sumber: Harakahdaily

Bukti bergambar, Azeez bukannya ditumbuk!

Laporan Ketua Pemuda Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang mendakwa telah ditumbuk oleh lebih kurang 10 orang penyokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) semasa hari penamaan calon mengemparkan seluruh negara.

Penyokong PAS dikatakan menyerang beliau ketika beliau bersama Datuk Ismail Sabri berjalan berhampiran dengan kawasan penyokong PAS yang sebenarnya menjadi kawasan larangan bagi penyokong Umno-BN semasa hari penamaan calon sabtu lalu.

Beliau telah membuat laporan Polis pada hari yang sama dan mendakwa mengalami lebam di tengkuknya. Beliau juga dilaporkan mengalami muntah-muntah dan telah dimasukan ke Hospital sehari selepas kejadian.

Bagaimanapun 3 keping gambar yang menunjukkan kejadian sebenar telah diterima dan mengesahkan bahawa Azeez telah berbohong. Beliau melalui kawasan penyokong PAS walaupun sudah ditegur oleh pihak Polis.

Image(Gambar1:Ketibaan Azeez dan rombongannya di kawasan penyokong PAS)

(Gambar 2: Azeez disapa penyokong PAS)

Azeez disapa ketika mula tiba di kawasan penyokong PAS. Ketika melalui kawasan berkenaan, seorang penyokong PAS menepuk bahu beliau, bukannya menumbuk seperti yang didakwa.

Image

Rakaman gambar yang dibuat menunjukan beliau hanya tersenyum dan berlalu pergi tanpa adanya sebarang aksi tumbuk menumbuk.

Image

PAS mahu Azeez meminta maaf kepada rakyat Bagan Pinang dan seluruh negara atas pembohongan yang beliau lakukan.

(Gambar 3: Azeez dan rombongan berlaku pergi tanpa sebarang insiden)

PAS yakin rakyat sedar bahawa lakonan beliau kali ini hanyalah semata-mata untuk meraih undi simpati dari rakyat.

Namun rakyat jauh lebih bijak dari pemimpin BN yang gagal membuat skrip dan lakonan yang baik semasa hari penamaan calon.

Ketua Penerangan PAS Pusat.

Sumber: Harakahdaily

Bekas sarjan akui palsukan undi pos

Seorang bekas sarjan hari ini mengakui pernah terlibat memangkah BN bagi pihak anggota-anggota tentera dalam dua pilihan raya umum – pemalsuan undi yang selama ini hanya digembar-gemburkan oleh ahli-ahli politik pembangkang.

Abu Kassim, yang bertugas sebagai "sarjan gaji", berkata beliau dan beberapa kakitangan tentera dalam bahagian pentadbiran, seperti ketua kerani, mendapat arahan bagi memanipulasikan undi pos daripada pegawai pentadbir kem.

Beliau, kira-kira 10 tahun menyertai PAS, bagaimanapun tidak ingat tarikh tepat dan tempat peristiwa itu dengan alasan ia "sudah lama" berlaku tetapi ia didakwa terjadi semasa bawah pentadbiran perdana menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya tidak ingat. Lama sudah. Tetapi dalam pilihan raya besar (umum), zaman Dr Mahathir dulu," katanya kepada Malaysiakini.

Anak kelahiran Kuala Pilah itu menganggotai tentera darat selama 23 tahun sehingga 1989. Beliau paling lama berkhidmat di Markas Stesen Staf Port Dickson.

Pengakuan depan pengerusi SPR

Abu kini seorang ahli jawatankuasa undi pos Pemuda PAS yang diketuai oleh ketua penerangan dewan itu Suhaizan Kaiat.

“Setiap pilihan raya, saya diminta memantau pengundian pos. Mungkin sebab saya bekas askar, mereka pilih saya,” katanya yang kini menetap di Bandar Tenggara, Port Dickson.

Jumaat lalu, Pemuda PAS mendedahkan pengakuan Abu, yang didakwanya bersedia tampil membongkar perkara itu, menjelang pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.

Suhaizan sebelumnya berkata pengakuan Abu itu juga dibuat di depan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam satu pertemuan rombongan PAS, yang diketuai naib presidennya Salahuddin Ayub, pada 28 Ogos lalu.

Menulis di blognya Bila Kentong Berbunyi, pemimpin Pemuda itu berkata, Abu terpaksa berbuat demikian atas arahan pegawainya, yang berdiri di belakang dan memerhati kertas undi dipangkah.

Dihubungi pagi ini, Abu berkata walaupun pernah mengundi untuk orang lain, beliau langsung tidak pernah mengundi untuk dirinya sendiri.

"Sepanjang berpuluh-puluh tahun menjadi askar, saya tidak pernah memangkah bagi pihak diri sendiri, tetapi tolong memangkah bagi pihak orang lain," katanya, dengan mendakwa seramai empat sehingga lima kakitangan pentadbiran kem turut terlibat dalam proses itu.

Diugut dibuang ke laut

Tambahnya, pemalsuan undi pos itu melibatkan sekurang-kurangnya 400 anggota tentera.

Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada pemalsuan undi pos masih berlaku di kem-kem tentera walaupun masih mencurigai amalan itu.

Abu juga berkata, akibat mendedahkan perkara itu secara terbuka kepada umum, beliau pernah "diugut hendak dibuang ke laut" melalui mesej SMS daripada pihak yang tidak dikenalinya.

"Banyak SMS macam itu saya terima," katanya.

Ditanya apa yang membuatkannya berani tampil kali ini, Abu berseloroh berkata: "Takkan sekarang mereka (kerajaan) hendak potong pencen saya."

Dalam setiap pilihan raya, perjalanan pengundian pos sentiasa mendapat bantahan pembangkang kerana dicurigai wujudnya penyelewengan yang akan memenangkan calon BN.

Dalam pilihan raya kecil di kerusi ini, jumlah pemilih pos sangat besar - 4,620 daripada 13,664 orang yang layak membuang undi.

Sumber: Malaysiakini