Titah menyokong Kerajaan BN: Itu hak Tuanku Sultan

KUANTAN, Sept 26 — Titah Tuanku Sultan Pahang baru-baru ini seperti yang dilaporkan Bernama bahawa rakyat perlu terus bersama Kerajaan BN kerana agenda pembangunan yang dirancang dalam jangka pendek dan panjang bakal memberi manfaat berterusan kepada mereka telah menimbulkan reaksi tidak enak di kalangan ramai orang, terutama dari kem Pakatan Rakyat.

PAS Pahang sendiri turut menyatakan kekesalan mereka atas sokongan terbuka yang ditunjukkan Tuanku Sultan Pahang itu kepada BN.

Namun menurut Datuk Shamsuddin Nawawi, Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Pahang, kekecohan yang timbul cumalah satu cubaan memutar berita dari pihak-pihak berkepentingan. Sedangkan, tambah Shamsuddin, jika diteliti laporan yang disiarkan Bernama itu, titah Tuanku Sultan Pahang itu bukanlah untuk rakyat, tetapi untuk pemberita yang hadir ketika perasmian jambatan Kuala Krau.

Tegas Shamsuddin, Tuanku Sultan sebagai Raja Pemerintah Negeri Pahang sekarang berhak untuk bertitah demikian kerana Kerajaan Barisan Nasional yang memerintah Negeri Pahang sekarang adalah kerajaan yang menjalankan pentadbiran bagi pihak Baginda sebagaimana diperuntukkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang.

Bagi Shamsuddin, Tuanku Sultan tidak boleh dituduh dan disalah anggap mencampuri atau terbabit secara langsung dengan politik semata-mata kerana titah seperti yang dilaporkan Bernama itu. Ini kerana adalah hak dan kuasa Tuanku Sultan untuk menyerahkan pentadbiran kerajaan negeri kepada pihak yang Baginda yakini, yang pada masa ini adalah Barisan Nasional.

Shamsuddin sempat menempelak penyokong pembangkang kerana mempersoalkan kuasa Tuanku Sultan Pahang yang sudah termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Jelas Shamsuddin, tindakan Tuanku Sultan menyeru supaya Kerajaan Negeri Pahang sekarang di bawah teraju Barisan Nasional terus disokong tentulah kerana keyakinan Baginda akan keupayaan Barisan Nasional untuk memberi dan membawa pembangunan kepada rakyat dan negeri Baginda.

Ini ujar Shamsuddin akan turut dititahkan oleh Sultan-Sultan di negeri di bawah penguasaan Pakatan Rakyat jika kerajaan yang ada sekarang, yang menjalankan pentadbiran bagi pihak Tuanku-Tuanku Sultan melakukan sesuatu yang baik untuk rakyat negeri mereka.

Shamsuddin dalam rumusannya mengingatkan kepada pihak-pihak berkepentingan yang suka mencari ruang keruh buat menangguk, bahawa titah Tuanku Sultan yang menyeru rakyat meneruskan sesuatu yang baik bukanlah bermaksud Baginda mencampuri urusan politik. Jangan terlalu suka mempertikaikan segala sesuatu sehingga tanpa sedar kedaulatan Raja-Raja Melayu sedang cuba diheret ke tahap yang rendah.

0 Response to "Titah menyokong Kerajaan BN: Itu hak Tuanku Sultan"

Catat Ulasan