CAKAP TAK SERUPA BIKIN

Perdana Menteri ajak umat Islam hayati hikmah Nuzul al-Quran

PUTRAJAYA 7 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu umat Islam menghayati peristiwa Nuzul al-Quran atau penurunan wahyu hari ini kerana ia membawa perubahan besar dalam kehidupan manusia sejagat.

Perdana Menteri berkata, al-Quran yang diturunkan itu membawa prinsip kesejagatan Islam melibatkan prinsip keadilan sosial dan dasar saling menghormati agama-agama lain.

Katanya, kitab suci itu turut melarang umat Islam mencerca agama lain bagi mengelakkan penganut agama tersebut bertindak balas mencerca Islam dengan lebih teruk lagi.

''Dalam Surah al-Maidah:8, Tuhan perintahkan kita supaya kita jangan membenci sesuatu kaum yang lain sehingga kita tidak berlaku adil.

''Dalam surah itu, Tuhan tidak sebut umat Islam, tetapi kaum, bererti Islam adalah untuk semua dalam erti kata menegakkan keadilan sosial secara sejagat dan ini ada hubung kait dengan konsep 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, dua prinsip universal dalam Islam tersebut perlu diamalkan oleh rakyat negara ini supaya negara mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan.

''Kalau kita melakukan perkara ini, umat Islam dan negara Islam akan lebih dihormati dan kita akan menjadi lambang model negara Islam yang berjaya," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menarik perhatian tentang bulan Ramadan, sambutan nuzul al-Quran dan semangat gema kemerdekaan negara yang mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Jelas beliau, ketiga-tiga perkara tersebut membawa erti tentang perubahan yang perlu dilakukan oleh masyarakat Islam.

''Dalam bulan Ramadan, kalau kita menghayatinya sebagai satu tarbiah, maka akan berlaku perubahan yang besar dalam diri kita dan kita sambut hari kemerdekaan juga berlaku perubahan besar kepada negara.

''Hari ini Nuzul al-Quran, ia membawa rahmat kepada manusia sejagat dari zaman kegelapan kepada cahaya, inilah bila kita tekankan perubahan.

''Ia bukan perkara baru sebaliknya sudah dituntut oleh agama, sesuatu yang boleh membawa kejayaan yang besar kepada negara," katanya

Dalam hal ini, beliau turut memuji penjawat awam yang menjalankan tugas seperti biasa malah ada yang bersifat luar biasa meskipun dalam bulan Ramadan.

''Ini menepati sejarah perjuangan Islam di mana umat Islam di zaman Rasulullah mencapai banyak kejayaan dalam bulan Ramadan seperti perang Badar dan Khandak," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memberi komitmen untuk membela nasib dan kebajikan penjawat awam mengikut kemampuan yang ada.

''Sabtu lalu saya melawat kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR), saya tengok sedih, JKR yang buat bangunan untuk orang lain tetapi kakitangan dia dalam keadaan ada yang tinggal dalam rumah satu bilik, ada yang tambah bilik sendiri.

''Ini tidak boleh dipertahankan (dibiarkan), kita akan buat projek baru, Insya-Allah akan dijalankan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

0 Response to "CAKAP TAK SERUPA BIKIN"

Catat Ulasan